Tips Hafazan Al-Quran: 12 Rahsia Mereka Berjaya Hafaz Sempurna
Seringkali kita dengar dan terkagum-kagum dengan mereka yang berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran sehingga 30 juzuk. Tidak kurang, saya dan anda sendiri juga pasti ada keinginan yang tinggi untuk dapat hafal al-Quran dengan sempurna sebelum meninggal dunia!
Sebahagian mereka telah menghafaz al-Quran pada usia yang sangat muda. Seperti adik Musa bin Hanafi dari Indonesia yang menghafal al-Quran sebanyak 29 Juz pada usia 6 tahun.
Ada juga yang bermula ketika usia yang tua seperti kisah Ummu Shalihah ini yang mula menghafal al-Quran pada usia 70 tahun (Rujukan: febryan77.wordpress.com/)
Dan ramai yang mula menghafal pada usia muda seusia 9 tahun hingga 25 tahun kerana mereka bersekolah di madrasah, ma’had tahfiz atau melanjutkan pengajian Islam di IPT. Ketika inilah usia yang paling sesuai kerana mudah untuk ‘serap’ dan ingat apa yang dipelajari dan dihafaz.
Rasululah sallallahu ‘alaihi wa sallam juga diturunkan wahyu kepada baginda pada usia 40 tahun sehingga wafat pada usia 63 tahun.
Begitu juga dengan para sahabat Rasulullah yang sebaya dengan baginda seperti Abu Bakar RadhiAllahu ‘anhu dan lain-lainnya yang mula hafaz al-Quran namun bukanlah pada usia yang muda.
Tidak dinafikan ulamak-ulamak terdahulu ramai yang menghafal al-Quran pada usia yang sangat muda, seperti al-Imam al-Syafie Rahimahullah yang telah menamatkan hafazan al-Quran beliau pada usia 7 tahun dan menghafal keseluruhan kitab al-Muwattha’ pada usia 10 tahun.
Namun yang ingin disimpulkan di sini. Apa sebenarnya rahsia mereka semua dapat menghafal al-Quran sehingga berjaya?
Setelah membaca beberapa buku, artikel, mendengar beberapa video di YouTube dan menerima nasihat-nasihat yang diterima daripada guru kami di UIA seperti Syeikh Dr. Ibrahim Nuhu dan selainnya, cuba diringkaskan di sini antara persamaan yang wujud pada ramai para penghafal al-Quran:
1. Niat Yang Ikhlas
Niat seorang penghafal al-Quran hendaklah ikhlas untuk mendapatkan redha Allah Ta’ala dan bukanlah kerana inginkan kemahsyuran dan sebab-sebab duniawi yang lain.
2. Keinginan Yang kuat
Keinginan yang kuat merupakan pendorong dan penyebab utama kita dapat mulakan hafazan al-Quran dari ayat pertama hingga tamat 30 juzuk al-Quran dengan sempurna. Jiwa kita memberontak mahukannya. Tanpa keinginan dan azam yang kuat, kita tidak mungkin atau susah untuk seseorang capai apa yang diingini.
3. Self-Dicipline Yang Tinggi
Bukan sekadar niat yang ikhlas dan keinginan yang tinggi, bahkan disiplin diri juga sangat penting. Betapa ramai penghafaz al-Quran yang mulakan harinya pada jam 3 pagi dan 4 pagi untuk mengulang hafalan lama atau mulakan hafalan baru secara konsisten. Bagaimana dengan kita, sanggupkah kita?
4. Mencari Guru Hafazan al-Quran
Kebanyakan nasihat guru al-Quran, buku yang saya baca, video yang saya dengar dan tips dari penghafaz al-Quran, satu kesimpulan yang mereka berikan. Kalau nak hafal al-Quran perlulah berguru. Carilah guru yang dapat membimbing kita hingga berjaya. Jangan hafal bersendirian kerana dikhuatiri akan berlaku banyak kesalahan dalam hafalan kelak.
5. Meninggalkan Dosa
Dosa adalah penyebab ilmu luput dari dada kita. Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata,
شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي
“Aku pernah mengadukan kepada Waki’ tentang teruknya hafalanku. Lalu beliau menunjukiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahukan padaku bahawa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak mungkin diberikan pada ahli maksiat.” (I’anatuth Tholibin, 2: 190).
6. Menundukkan Pandangan
Tundukkanlah pandangan kita daripada perkara yang diharamkan. Seperti dalam poin sebelumnya, kerana dosa dapat menyebabkan hafalan seseorang menjadi lemah. Kurangkan juga menonton TV dan YouTube akan perkara-perkara yang kurang bermanfaat seperti drama dan yang sewaktu dengannya.
7. Mengulang Hafazan 3 Hingga 5 Juzuk Sehari
Kata mereka, untuk memastikan hafazan mantap dalam dada maka sangat penting untuk penghafal al-Quran melakukan muraja’ah ulangan hafazan sebanyak 3 hingga 5 juzuk sehari. Tanpa mengulang hafazan, dikhuatiri hafalan kita yang lama akan semakin lemah.
8. Doa – Sendiri, Ibubapa, Guru
Kita sendiri perlu berdoa untuk diri sendiri agar diberikan hidayah, kemudahan, kekuatan dan keikhlasan untuk konsisten dengan hafazan al-Quran sebelum kita meminta kepada orang lain untuk mendoakan kita. Selain itu, mintalah kepada ibubapa dan guru kita untuk mendoakan kita juga.
9. Beriman Dan Yakin
Dalam buku Dr. Zulkifli al-Bakri bertajuk Tips Hafazan al-Quran, katanya perlulah kita beriman dan yakin bahawa tiada suatu yang sukar jika seseorang mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t.
10. Memilih Sahabat Yang Soleh
Pilihlah sahabat yang soleh yang dapat membantu untuk zikrullah. Ini kerana sehabagian sahabat jika kamu mengajaknya untuk membaca al-Quran nescaya beliau mahu lari dari majlis tersebut. Sedangkan jika diajak berbicara dalam sebarang topik yang lain maka dia sanggup bersamanya. (Tips Hafazan al-Quran: Dr. Zulkifli al-Bakri)
11. Lazimi Istighfar
Istighfar sangatlah penting kerana antara sebab lemahnya hafalan adalah kerana dosa.
12. Teknik Yang Betul
Menghafal al-Quran perlulah mengikut teknik yang betul. Kerana teknik yang betul dan sesuai dengan kita dapat mempercepatkan proses hafazan al-Quran kita. Ada terlalu banyak teknik yang diajar oleh ramai guru, buku-buku, video dan sebagainya. Kita boleh cari dan pilih cara yang sesuai dengan kita dan lakukannya dengan konsisten.
Sekali lagi, ini bukanlah tips daripada saya. Kerana saya masih belum hafal 30 juzuk al-Quran lagi. Namun ini adalah kesimpulan persamaan yang saya perolehi dari guru-guru, buku, artikel, video, pengalaman penghafaz al-Quran lain dan lain-lain lagi.
Semoga Allah memberikan kita semua hidayah, taufiq, kekuatan, istiqamah dan keikhlasan untuk menghafaz 30 juzuk Kalamullah al-Quran dengan sempurna, amin!
Buku yang baik dibaca: Tips Hafazan al-Quran oleh SS Dr. Zulkifli al-Bakri. Klik gambar di bawah untuk membeli.
Terima kasih Tuan kerana sudi berkongsi tentang tips hafazan Quran ini.
Sama-sama Tuan. Moga bermanfaat dunia akhirat.
Terima kasih atas perkongsian tuan.
https://arifiskandarshop.com/
Perkongsian yang sangat baik, sangat menyedarkan diri ini yang selalu lupa, terima kasih atas perkongsian, diharap kami boleh terus menikmati lagi perkongsian yang sebegini
Perkongsian yang sangat bermnafaat buat kami yang selalu terlupa ini, banyak teknik yang hebat hebat untuk dibuat dan dipraktikkan, semoga Allah membalas yang terbaik buat tuan
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat 🙂
Terima kasih tuan atas perkongsian yang sangat bermanfaat ini