Tak ada masa untuk menghafaz al-Quran? Selalu kita dengar alasan ini apabila diajukan dengan persoalan menghafaz al-Quran bagi orang yang sibuk.
Ya, betul. Setiap orang ada kesibukan masing-masing. Urusan perniagaan. Urusan keluarga. Urusan itu. Urusan ini.
Jadi bagaimana orang yang sibuk ini mahu menghafaz al-Quran?
Jawapannya, gunakan kaedah ‘Penanda’.
Apa itu kaedah ‘Penanda’?
Gunakan sesuatu perkara yang isyarat atau ‘cue’ untuk kita menghafaz al-Quran. Setiap kali kita jumpa isyarat itu, kita ambil masa untuk menghafaz al-Quran selama 5 minit saja. Ulang tindakan ini setiap hari.
Hanya itu saja? Ya, hanya itu saja.
Contoh, kita jadikan waktu solat sebagai ‘Penanda’. Setiap kali masuk waktu solat, kita hafaz al-Quran selama 5 minit setelah bersolat. Ulang setiap kali waktu solat.
Boleh juga gunakan perkara lain. Telefon misalnya. Setiap kali memegang telefon buat kali pertama selepas tidak menggunakannya untuk jangka waktu tertentu, kita hafaz al-Quran dengan menggunakan aplikasi al-Quran di dalam telefon selama 5 minit. Kalau sebelum ini setiap kali memegang telefon kita buka Whatsapp atau Facebook terlebih dahulu, kita cuma tukar kepada buka aplikasi al-Quran terlebih dahulu. 5 minit saja. Lepas itu bacalah Whatsapp atau Facebook.
Saya secara peribadi mengunakan motorsikal saya sebagai salah satu ‘Penanda’. Setiap kali saya menggunakan motorsikal, saya akan menggunakan masa tersebut untuk mengulang hafazan al-Quran. Kalau jauh dan lama masa perjalanan, lebih banyak hafazan al-Quran yang boleh diulangkaji.
Kaedah ‘penanda’ ini amat berkesan. Cubalah dulu.
~ FB Mohd Izwanuddin Abd Rahim ~
Perkongsian yang sangat baik, sangat menyedarkan diri ini yang selalu lupa, terima kasih atas perkongsian, diharap kami boleh terus menikmati lagi perkongsian yang sebegini
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat 🙂