Sebelum ni baca Tafsir Pimpinan ar-Rahman kat handphone jer, dan terjemahan al-Quran yang biasa.
Harini terdetik nak bukak Tafsir Pimpinan ar-Rahman ni, baru aku tahu rupanya yang ada dalam mobile app dan dalam buku ni tak sama.
Yang dalam mobile app tu hanyalah terjemahan sahaja. Yang dalam buku berbeza sikit sebab ada ditulis muqoddimah kepada surah, dan dijelaskan tafsir ringkas bagi ayat-ayat yang diletakkan nombor rujukan bagi menjelaskan ayat tersebut.
Dalam muqoddimah ada disebut, sengaja dibuat tafsir ini seringkas-ringkasnya yang boleh difahami (oleh orang awam) . So bila baca footnote tafsiran tu memang simple, ringkas dan agak mudah faham. Saya belum jumpa versi Android dan iOS untuk versi terjemahan + Tafsir Pimpinan ar-Rahman ini. Yang ada hanyalah versi terjemahan sahaja.
Tafsir pimpinan ar-Rahman ini ditulis oleh Syeikh Abdullah Basmeih siap dicetak pada tahun 1968, iaitu 53 tahun yang lalu. Sehingga hari ini, inilah terjemahan dalam Bahasa Melayu yang digunakan oleh rakyat Malaysia.
Tafsir Pimpinan ar-Rahman ni juga telah dibuat dengan teliti, dengan merujuk kitab-kitab tafsir yang muktabar, kitab-kitab hadis nabawi, kamus-kamus Arab, kamus-kamus Melayu. Dan ia tidak ditafsirkan, diterjemah mengikut mana-mana aliran. Diusahakan untuk dijadikan tafsir ini berada dalam aliran pertengahan agar dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat.
Kata-kata aluan Tafsir ni dibuat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1983 (Dr. Mahathir jadi PM pada tahun 1981).
Baca muqoddimah bagi surah-surah yang ada dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman ni pun dah best, dapat lah kita nampak secara umum apa kandungan Surah. Lebih kurang macam Tafsir Al Azhar oleh Prof HAMKA jugak, ada muqoddimah surah sebelum masuk kepada terjemahan dan tafsiran ayat-ayat al-Quran.
Bila nak baca tafsir atau terjemahan al-Quran, kita baca introduction kepada sesuatu surah itu, ia dapat bagi kita satu pengalaman dan kefahaman yang berbeza berbanding kita buka al-Quran dan baca jer terus terjemahan mana-mana ayat yang ingin kita baca. Sebab kita nampak konteks yang baru semasa baca muqoddimah tersebut.
_
Kat bawah ni saya share sikit kata pengantar yang agak deep buat diri saya apabila membacanya, oleh Ustaz Haji Muhammad Nur bin Haji Ibrahim:
“Kemunduran dan kelemahan umat Muslimin pada zaman-zaman belakangan ini ialah rupa akibat kecuaian mereka dalam mengamalkan prinsip-prinsip hidup maju dan mulia yang dianjurkan oleh al-Quran; kecuaian yang disebabkan oleh kelemahan iman mereka terhadap maksud kandungan al-Quran; bahkan umat muslimin pada zaman Zaman ini tidak memberi ketulusan hati dan penghormatan yang semesti dan sepatutnya kepada al-Quran; maka mereka seolah-olah tidak lagi memandang sebagai sebuah perlembagaan hidup yang diturunkan oleh Rabb al-‘Alamin yang wajib diamalkan, malah sebuah kitab yang hanya dibaca dan didendang dengan lagu-lagu yang diada-adakan dan dengan suara yang lemak manis semata-mata untuk segera mendapatkan nama, pangkat dan harta benda dalam alam ini sahaja.
Jika kita ingin – dan sewajibnya ingin – mengembalikan keadaan zaman gemilang kita yang lampau maka perlulah kita kembali kepada al-Quran, kembali memahami, mengaji dan seterusnya mengamalkan isi-isi pengajarannya yang mulia dan tinggi tarafnya; dan jalan yang wajar untuk mempelajari maksud kandungan al-Quran ialah memahami akan makna-makna ayatnya; maka disinilah terletaknya kepentingan adanya terjemahan al- Quran dengan gaya bahasa yang dapat difahami oleh orang ramai kita Islam”
(sanggup salin balik sebab tak jumpa pengantar dia kat Google 😅)
Selama ni pernah tengok Tafsir Pimpinan ar-Rahman ni kat kampung jer masa kecik-kecik, kat rumah atuk saya. Tapi memang tak sentuh pun, tak baca pun. Ruginya tak pernah tahu bahawa tafsir Pimpinan ar Rahman ni pun bagus isinya, versi buku ni.
_
Alhamdulillah dengarnya Datuk Dr. Mohamad Zulkifli al Bakri pun dah usahakan terjemahan al-Quran yang terkini, terjemahan al-Quran al-Bayan semasa beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Agama. Looking forward nak baca isi kandungannya kelak. Semoga Allah berkati usaha beliau.
Ada satu lagi yang terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu yang diusahakan oleh kerajaan Arab Saudi dibuat dengan kerjasama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Versi keluaran Kerajaan Arab Saudi ni pun limited. Moga-moga satu hari nanti dapatlah saya miliki kedua-dua versi ini.
Dan besar harapan saya agar dua versi terbaru ini dapat dikeluarkan dalam versi android dan iOS agar dapat dapat kita baca terjemahan al-Quran tersebut bila-bila masa dan di mana jua.
Sebagai orang awam biasa yang tiada kemahiran dalam bahasa Arab, usaha-usaha penterjemahan moden ini sangat diperlukan supaya dapatlah kita dapat memahami al-Quran dengan terjemahan dan bahasa yang mudah difahami. Setiap penterjemahan, kadangkala kita akan jumpa sudut pandang, perspektif yang berbeza pada satu ayat yang sama. Semakin manis dan ‘enak’ lah pengalaman membaca tersebut.
_
Satu perkara saya terfikir, sebelum terjemahan oleh Syeikh Abdullah Basmeih pada tahun 1968, umat Islam di Tanah Melayu gunakan terjemahan dan tafsiran mana untuk faham isi kandungan al-Quran? 🤔
Assalamualaikum, terima kasih atas perkongsian. Saya baru bermula dalam ilmu tafsir Al Quran melalui syarah Dr Abu Anas dan beliau menggunakan tafsir yang tuan kongsikan ini. Sekadar bertanya sekiranya tuan ada belajar menggunakan tafsir ibnu kathir keluaran telaga biru kerana telah diringkaskan oleh team telaga biru.
Wa’alaikumussalam wbt. Alhamdulillah, seronok dengar tafsir pimpinan ar Rahman oleh Ustaz Dr. Abdul Basit di Youtube. Saya tidak gunakan tafsir keluaran Telaga Biru. Yang saya ada adalah keluaran Pustaka Imam Syafi’i. Ada juga beberapa tafsir lain yang baik untuk dibaca dan mudah dihadam oleh orang Melayu kita termasuklah Tafsir al Azhar, Tafsir Tuan Guru Nik Aziz, begitu juga blog ini https://celiktafsir.net
Assalamualaikum wbt. Terima kasih kerana berkongsi pengetahuan saudara melalui blog yang menarik ini. Saya amat meminati bidang tafsir dan sentiasa mencari bahan bacaan berkaitan tafsir Al-Quran. Sekali lagi, terima kasih di atas perkongsian yang penuh bermanfaat ini.