LELAKI MISTERI DARI MESIR (Yang sedang berjalan menuju masjid, kopiah putih)
Kali pertama aku jejakkan kaki ke Masjidil Haram adalah pada bulan Ogos 2017 untuk tunaikan ibadah Haji.
Sebelum-sebelum tu memang tak pernah jejak kaki ke sana, paling kuat pun tengok video kat YouTube jer.
Dulu-dulu memang niat kuat nak pergi, tapi tak ada duit.
Pada hari kedua tiba di sana (seingat aku), masa tu aku baru je lepas buat Tawaf sunat dan berehat sebentar di ground level masjid tersebut – sama level Ka’bah.
Awal-awal bulan 8 tu, karpet masjid masih penuh lagi di sekitar masjid. (Dah masuk musim Haji, karpet dah tak ada lagi.)
Sambil-sambil duduk atas karpet hijau yang empuk tu untuk rehat, aku bawa sekali kurma dan air zam-zam.
Perasaan pada masa tu, fuh masyAllah. Pengalaman awal yang cukup manis.
Kemudian seorang Arab datang pada aku tegur aku, dia bagi salam.
Dia tanya aku dari mana. Aku cakap aku dari Malaysia.
Aku tanya balik dia dari mana?
Katanya dia dari Mesir.
Nasib la masa kat UIA dulu 2 sem kena belajar Bahasa Arab asas – memang asas sangat.
Masa tu aku try cari keyword apa dia sebut jer.
Sambil berborak, aku ambil air zamzam yang diletakkan atas lantai dan minum.
Dia tegur aku, mafhumnya: “Saudaraku, kau tak puasa hari ini?”
Aku jawab, “La…”
Katanya lagi (mafhum): “Saudara, sekarang kau datang jauh-jauh dari Malaysia. Kau datang ke sini dengan untuk tunaikan Haji beribadah kerana Allah, untuk meraih sebanyak mungkin pahala. Hari ini pula hari Isnin, hari yang disunnahkan untuk berpuasa. Kenapa kau tak berpuasa?”
Aku masa tu memang dah rasa tersentap. Sungguh.
Ye lah kan, aku rasa aku datang ke Mekah ni dalam keadaan musafir.
Takkan nak puasa. Penat kot.
Tapi betul katanya, aku datang jauh-jauh dari Malaysia. Patut ibadah lah sungguh-sungguh.
Masa tu aku memang tak terjawab, sebab tak pandai nak jawab. Bahasa Arab kot.
Tak lama lepas tu, dia pergi dalam senyuman.
Aku masih ingat wajahnya dan namanya, Mahmud.
Beberapa hari seterusnya aku pergi ke Masjidil Haram lagi aku masih terserempak dengannya beberapa kali di ruang yang sama.
Bila terserempak memang nampak beliau tersenyum sahaja.
.
Disember 2018, aku pergi lagi ke sana untuk tunaikan ibadah Umrah.
Demi Allah, sesiapa yang pernah ke sana pasti sentiasa merindui Tanah Haram, Mekah dan Madinah.
Maka tahun lepas aku decide untuk pergi Umrah.
Beberapa hari pertama di Madinah, aku banyak lepak di area Masjid sahaja.
Dulu masa aku pergi Haji, banyak masa aku pergi ke perkuburan Baqi’ selepas waktu solat, sebab akan ada pengebumian jenazah setiap kali lepas solat.
Peluang besar di sana sebab Nabi sebut siapa yang solat jenazah akan dapat pahala sebesar 1 Qirat, dan siapa yang mengiringi jenazah akan dapat pahala sebesar 1 Qirat. (1 Qirat sebesar gunung Uhud)
Antara sebabnya adalah hotel aku tak jauh dari Baqi’.
Tapi kali ni, hotel aku terletak di belakang Masjid Nabawi ke arah kanan sikit.
Kiranya memang jauh lah kalau nak pergi ke perkuburan Baqi’ daripada hotel aku.
Aku rasa sebab aku sendiri yang malas, so jarang la pergi ke perkuburan Baqi’ lepas solat.
Sebab lain juga adalah sebab ada mak dan ayah aku sekali ikut pergi umrah, so banyak masa bersama dengan mereka.
Aku teringat hari-hari terakhir sebelum aku berangkat ke Mekah.
Masa tu aku dah insaf (hoho) sebab dah nak pergi Mekah, so aku gunakan sedikit masa untuk ziarah juga perkuburan Baqi’ lepas waktu solat.
.
Ditaqdirkan ada satu malam selepas solat Maghrib aku singgah ke perkuburan Baqi’ untuk ikut jenazah.
Lepas pengebumian aku kembali semula ke masjid.
Aku pergi ke tempat Wudhu untuk berwudhu dan cuci sikit tangan dan kaki sebab berdebu – tanah perkuburan di sana berbeza dari Malaysia.
Sambil selesaikan semua tu, aku tengok kanan.
Nampak seorang lelaki ni.
Macam kenal.
Aku bagi salam, tanya dia.
“Nama kau Mahmud kan? Dari Mesir?”
Jawabnya, “Ya aku Mahmud dari Mesir”
Aku tanya dia, kau ingat tak aku?
Tahun 2017 lalu kau pernah tegur aku kat Masjidil Haram?
“Oh ya ya, aku ingat”
Masa tu aku rasa gembira sungguh.
Aku tanya, “Kau buat apa kat sini?”
Jawabnya, “Aku menetap di Madinah, kerja di sini”
Oooh, begitu rupanya.
Lepas perjumpaan sekejap tu, kami berpisah.
Dia doakan agar aku dapat ziarah untuk Umrah/Haji berkali-kali lagi selepas ini.
Aku aminkan sahaja.
.
Ya pada aku, ia merupakan perjumpaan yang sungguh misteri.
Dalam jutaan umat manusia yang ada di sana, Allah taqdirkan aku berjumpa dengan beliau lagi.
Ya. Jumpa beliau lagi.
Teringat tegurannya, baru aku sedar bahawa ‘standard’ ibadah kita dengan orang-orang soleh ini sangat jauh sekali.
Rasa tenang sungguh jumpa orang sebegini.
.
Aku teringat balik, rasa beruntung sangat sebab aku diberi peluang untuk sambung Degree di UIA pada tahun 2010 yang lalu.
Di sini aku direzekikan jumpa dengan sahabat-sahabat yang jauh lebih baik dari aku dari sudut hati dan amalan.
Bilamana kita berjumpa dengan orang soleh, berkawanlah dengan mereka, berdampinglah dengan mereka.
Sungguh jika kita ada sahabat-sahabat yang ikhlas dan dekat dengan Allah, hidup kita pasti akan lebih bahagia, hati kita pasti akan terasa lebih tenang.
Mereka akan tetap bersama dengan kita dalam susah mahupun senang.
Cukuplah aku berdamping dengan mereka agar sentiasa berada dalam ‘circle’ yang baik, supaya teruk-teruk aku pun tapi janganlah lagha sangat. Huhu.
.
Kawan-kawan.
Manusia yang berkawan dengan kita semata-mata kerana dunia, mereka pasti akan pergi tinggalkan kita apabila kita tiada semua itu.
Manusia yang bersahabat dengan kita kerana Allah, mereka pasti akan bersama kita walaupun kita dalam senang mahupun susah.
Begitulah.
.
Wan Ahmad Fadhil,
Nak Jadi Baik. Sentiasa Rindukan Haramain.