Jaga Keluarga Kita, Usaha Jauhi Penceraian

Nasihat Syeikh Yasir Qadhi pentingnya menjaga institusi kekeluargaan; yang mana kerosakan umat Islam disebabkan perpecahan kekeluargaan yang berlaku dari dalam. (bahkan umat Islam juga semakin kuat sekiranya institusi kekeluargaan semakin kukuh).

Suatu ketika dahulu sekitar 70~80an, pengalaman beliau sebagai generasi pertama di USA sebagai migrant, tak pernah (atau jarang) kedengaran kes penceraian yang berlaku dari kalangan umat Islam di sana.

Namun kini, terlalu banyak kes penceraian yang berlaku dalam kalangan umat Islam dan perkara ini sangat mengejutkan kerana penceraian menjadi sebuah fenomena luarbiasa dari sudut jumlah dan kecepatannya.

Ini tidak menafikan bahawa sesetengah ada keadaan, ’emergency exit’ ini diperlukan. Penceraian bukanlah semestinya sesuatu yang buruk. Ia diperlukan dalam keadaan yang betul-betul diperlukan. TAPI bukan semua keadaan, penceraian itu diperlukan dan itu bukanlah satu-satunya jalan keluar.

Apabila suami dan isteri bercerai, mungkin mereka jumpa jalan keluar. Namun siapakah yang paling banyak terkesan jadi mangsa? Sudah pasti anak-anak.

Jalan keluar ini tidak seharusnya menjadi satu bentuk default apabila berlakunya konflik, suami isteri ‘bergaduh’, salah faham dan sebagainya.

Perkataan ‘cerai’ kini seolah-olah menjadi satu normalisasi dalam kalangan masyarakat. Kita sering dengar kes-kes penceraian dalam kalangan orang-orang ternama, golongan artis, influencer dan sebagainya.

Kita perlu kurangkan (atau berhenti) ambil tahu kehidupan para artis, influencer, asatizah selebriti, kawan-kawan, keluarga yang portray kehidupan mereka di media sosial melebihi kadar yang sepatutnya. Ada sebahagian yang terlebih ‘tunjuk bahagia’ hidup berpasangan seolah-olah merekalah pasangan (keluarga) paling beruntung di muka bumi. Tak kurang ada juga yang ‘tunjuk bahagia’ bila sudah cerai dengan bekas suami atau isteri.

Lambakan berita-berita dan perkongsian begini dapat menambah tekanan orang yang membaca dan melihat, bahkan sedikit sebanyak mempengaruhi orang-orang biasa untuk mengikuti jejak langkah tersebut. Dikhuatiri dapat terdetik dalam hati apabila berkonflik, “Orang ni dah cerai, okay jer. Nampak lebih bahagia hidup dia lepas cerai”. Semoga Allah jauhkan.

Syeikh Yasir juga sebut, perlunya suami, isteri, ibu, ayah untuk kembali kepada ‘gender role’ masing-masing dalam sebuah keluarga. Kita perlu tahu dan faham tanggungjawab seorang suami dan isteri. Kini, suami dan isteri zaman moden sudah semakin jauh daripada gender role yang sepatutnya. Suami semakin hilang fungsi sebagai suami, begitu juga isteri yang semakin hilang fungsi sebagai isteri.

Suami perlu faham apa ertinya menjadi seorang suami dan ayah. Begitu juga isteri juga perlu faham apa ertinya menjadi seorang isteri dan ibu.

Selain itu, maksiat yang wujud di media sosial dan di internet juga memberi impak kepada kesucian sesebuah perkahwinan. (Ini berdasarkan perkongsian masalah-masalah peribadi orang-orang yang berjumpa dan dapatkan konsultansi dengan syeikh Yasir.)

Kita perlu didik generasi akan datang berkenaan perkahwinan bahawasanya ia merupakan sebuah komitmen yang besar. Perkahwinan juga adalah mengenai tanggungjawab membesarkan anak-anak. Benar perkahwinan perlu dimudahkan, namun kita juga perlu faham bahawa ia tak bererti kita perlu bermudah-mudah dalam perkahwinan.

Saya perlu sentiasa nasihatkan diri saya terutamanya; bertaqwa kepada Allah. Penceraian bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Konflik, salah faham itu normal. Sentiasa usaha laksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai suami/isteri sebaik mungkin. Jangan bermudah-mudah guna dengan lafaz talaq. Begitu juga golongan isteri tidak boleh bermudah-mudah bermain dengan lafaz ‘minta cerai’.

Walau badai dan ribut melanda, usaha jaga keluarga kita. Hidup berumahtangga bukan sesuatu yang mudah, ia merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar. Pertahankan rumahtangga kita sebaik mungkin hingga ke syurga 💪

Video ni bukanlah mengenai isu penceraian, ada banyak lagi poin-poin lain yang penting. The Challenges of Our Time – Yasir Qadhi

~Tulisan ini hanyalah sebuah refleksi peringatan untuk diri sendiri ketika mendengar video di atas

Leave a Reply

error: Content is protected !!
Scroll to Top
%d bloggers like this: