Dr. Ibrahim Nuhu pernah sebut teknik untuk menghafaz al-Quran, tak semestinya kena ‘faham’ baru boleh hafal. Bahkan okay sahaja untuk seseorang itu menghafal al-Quran tanpa faham.
Menghafal al-Quran adalah antara proses dan kaedah dalam menuntut ilmu. Ia bukanlah matlamat akhir, tetapi salah satu milestone dalam proses pembelajaran, bahkan menjadikan proses belajar tu lebih sempurna. Ia memudahkan kita untuk menuntut ilmu kepada tahap yang lebih tinggi lagi.
Proses faham al-Quran ni bukanlah sekadar duduk baca terjemahan, baca tafsir sikit, tadabbur sesama kawan-kawan dah boleh faham. Belum tentu. Kita baca tafsir pun belum tentu kita akan faham secara sempurna ayat yang kita baca.
Pemahaman terhadap teks al-Quran ni kita akan dapat ketika kita melalui proses-proses untuk menuntut ilmu seperti bacaan buku begitu juga menghadiri majlis-majlis ilmu. Nak faham al-Quran sudah pasti prosesnya adalah lifetime, bukan one-off sekali belajar terus faham.
Dan tak semestinya bila kita masuk kelas Tafsir sahaja baru kita akan ‘faham’ ayat al-Quran yang sedang kita baca. Bahkan bila kita masuk kelas sirah, fiqh, akidah, bahasa Arab dan sebagainya pun kita akan jumpa dengan ayat-ayat yang pernah dihafal sekaligus membantu untuk faham ayat-ayat tersebut.
Bagi orang dewasa dah umur 30an, 40an, nak taknak bila kita dalam proses untuk menghafal ayat-ayat suci al-Quran hampir pasti kita terpaksa buka juga terjemahan, tafsir dan sebagainya bagi mudahkan proses penghafalan. Tak sama macam anak-anak kecil dan remaja yang boleh hafal dengan mudah walaupun tanpa faham sama sekali ayat yang dibaca.
Saya tak berapa setuju bila kita terus pinpoint kat anak-anak kecil dan remaja yang menghafaz al-Quran ni, kita tanya dia “Kau faham ke apa kau baca? Kau faham ke apa kau hafal?” sebab dah tentulah dia tak faham keseluruhannya. Masalah juga bila kita terlalu memberi high expectation pada anak-anak tahfiz ni. (Kita sendiri yang tak hafal keseluruhan al-Quran pun belum tentu kita faham apa kita baca)
Anak-anak tahfiz ni sama je macam anak-anak orang lain, bezanya diorang dah hafal al-Quran dalam hati. (taknak sembang part ‘ingat’ nanti meleret pulak). Tilawah al-Quran ni tak sama dengan faham sebab masa tengah baca (tilawah) tu belum tentu kita faham pun, tapi tetap dikira sebagai ibadah.
Ustaz saya Dr. Yusuf pernah sebut, kita perlu ada bacaan untuk tilawah dan bacaan untuk tadabbur. Pada masa sama penting untuk kita menyokong usaha untuk membumikan tadabbur al-Quran (dengan kaedah yang sahih). Sebab tadabburlah fungsi utama al-Quran diwahyukan.