Syeikh Dr. Yasir Qadhi merupakan seorang ilmuan dari negara barat yang sangat saya kagumi. Kepakaran beliau adalah dalam Aqidah dan juga sejarah.
Beliau pernah ceritakan bagaimana beliau mula menghafal al-Quran pada usia muda. Dan kaedah beliau menghafal al-Quran bukanlah melalui mana-mana madrasah atau pusat Tahfiz al-Quran.
Bahkan jasa ayahnya yang bertegas agar beliau menghafal al-Quran dan sanggup carikan guru untuk beliau hafal al-Quran walaupun tidak melalui madrasah. Cerita ringkas saya share di sini: http://tiny.cc/bx7o6y
Dalam siri video beliau mengajar ilmu tajwid bagi program Sefratul Keram, beliau kongsikan beberapa langkah praktikal untuk kita mula menghafal al-Quran. Bahkan ia juga praktikal walaupun bagi kita yang sudah berkerja.
(PENTING: pastikan anda mempunyai guru atau cari guru untuk hafazan al-Quran)
Apakah kelebihan menghafal al-Quran? Sudah tentu banyak sekali. Antaranya kedudukannya semakin tinggi di dalam syurga kelak.
Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
يقال لصاحب القرآن اقرأ وارتقِ، ورتل كما كنت ترتل في الدنيا، فإن منزلك عند آخر آية تقرؤها
“Akan dikatakan kepada shahibul Qur’an (di akhirat) : bacalah dan naiklah, bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membaca dengan tartil di dunia. Kerana kedudukanmu tergantung pada ayat terakhir yang engkau baca” (HR. Abu Daud 2240, disahihkan oleh Al Albani).
Bahkan, menghafal al-Quran juga merupakan tradisi para ilmuan Islam sejak dahulu lagi kerana al-Quran adalah sumber utama kepada segala ilmu.
Saya kongsikan di bawah ini adalah salinan nota daripada video yang saya catit untuk diri sendiri. [saya bukan hafiz al-Quran]
Beliau bahagikan kepada 2 faktor: Faktor Spiritual dan Faktor Fizikal
[A – FAKTOR SPIRITUAL]
1 – IKHLAS
Pastikan jika kita ingin menghafaz al-Quran maka pasakkan dalam hati anda lakukannya semata-mata kerana Allah.
Sekiranya kita ikhlas hafal al-Quran kerana Allah, maka Allah akan redha dan beri keberkatan kepada usaha kita.
Menghafal al-Quran kerana selain Allah (tanpa ikhlas) akan menghilangkan redha Allah, bahkan usaha tersebut tidak akan diberkati.
Namun apabila Allah redha dengan kita, nescaya ia akan diberkati dan usaha kita untuk ingat kalam Allah akan menjadi lebih mudah.
2 – RENDAH DIRI
Sedarlah apa yang anda cuba hafaz itu adalah Kalam Allah, bukan perkataan makhluk.
Maka selayaknya kita hadirkan rasa kagum dalam hati kita untuk menghafaznya. Apabila kita rendah diri dan benar-benar hargai al-Quran dalam diri kita, Allah akan mudahkan jalan kita untuk pasakkan al-Quran dalam hati kita.
Banyakkan mengkaji kelebihan-kelebihan al-Quran, mukjizat al-Quran, kelebihan membaca al-Quran.
Dan bacalah juga apakah ancaman sekiranya kita tidak ikhlas dalam usaha tersebut kerana ia dapat membantu kita untuk mencapai rasa rendah diri terhadap al-Quran dan mendatangkan keikhlasan kepada Allah.
Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menceritakan kelebihan-kelebihan tersebut.
3 – BERDOA
Doa adalah senjata mukmin. Jika wujud segala kesusahan yang kita hadapi dalam hidup, maka angkatlah tangan dan berdoa kepadaNya. Firman Allah dalam surah Ghafir:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…” (Surah Ghafir – 60)
Tiada sebarang doa spesifik untuk hafal al-Quran.
Boleh doa kepada Allah, “Ya Allah mudahkanlah urusanku untuk menghafal al-Quran..”, “Ya Allah jadikanlah al-Quran sebagai syafaat buatku di hari akhirat. Jadikanlah ia hujah untukku di hari akhirat kelak..”
4 – TINGGALKAN DOSA
Bagi setiap penuntut ilmu agama, dosa merupakan faktor kritikal yang perlu diawasi.
Ini kerana faktor ingatan kita kepada ilmu sangat berkait rapat dengan dosa-pahala.
Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata,
شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي
“Aku pernah mengadu kepada Waki’ tentang teruknya hafalanku. Lalu beliau menunjukiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahukan padaku bahawa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat.” (I’anatuth Tholibin, 2: 190).
Maka tinggalkanlah sebanyak mungkin dosa daripada kehidupan kita agar kalam Allah mudah untuk dihafal.
5 – PRAKTIKKAN AL-QURAN DALAM HIDUP
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan insan yang paling mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan. A’isyah radhiallahu ‘anha berkata,
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran” [HR. Muslim no. 746, Abu Dawud no. 1342 dan Ahmad 6/54]
Mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan dapat membantu proses kita dalam menghafal al-Quran kelak.
Selain itu, tinggalkanlah muzik daripada kehidupan kita. Al-Quran dan Muzik tidak akan bergabung dalam hati orang yang cintakan al-Quran.
[FAKTOR FIZIKAL]
1 – HAFAL PAGI
Waktu pagi adalah waktu yang mana otak dan jasad kita dalam keadaan yang paling segar.
Kita akan lebih mudah hafal pada waktu pagi.
Bahkan waktu pagi lebih berkat sepertimana doa Nabi kita
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا
“Ya Allah, berkatilah umatku di waktu paginya.” (HR. Abu Daud no. 2606, Tirmidzi no. 1212 dan Ibnu Majah no. 2236. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih)
Carilah masa untuk kita hafal di waktu pagi. Jika kita pergi kerja jam 7.00 pagi, luangkan 30 minit sebelum pergi kerja untuk hafazan.
2 – GUNA SATU AL-QURAN SAHAJA
Pilih hanya satu al-Quran sahaja untuk tujuan hafalan. Jangan bertukar-tukar.
Ini kerana apabila menghafal, bukan sahaja kita menghafal al-Quran. Bahkan kita hafal di mana tempat-tempat spesifik dalam al-Quran.
Tanyalah mana-mana Hafiz al-Quran mana-mana ayat al-Quran, pasti mereka tahu kedudukan ayat tersebut di mana: Atas, bawah, tengah dsb.
3 – KONSISTEN
Pastikan kita konsisten dengan jumlah hafazan kita setiap hari, konsisten dengan ulangan setiap hari, konsisten hanya dengan satu al-Quran, konsisten dengan tempat dan masa untuk menghafal.
Jika kita hafal 5 baris sehari, maka teruskan setiap hari. Jangan skip walaupun sehari.
Lebih banyak kita hafal maka akan proses seterusnya akan jadi lebih mudah kerana otak kita semakin biasa dan terlatih dengan hafalan.
4 – HAFAL DI TEMPAT YANG TENANG
Sediakan satu tempat atau bilik yang mana kita boleh fokus untuk hafal al-Quran.
Pastikan tempat tersebut senyap tanpa sebarang gangguan. Dan tinggalkanlah telefon.
Cipta suasana yang dapat bantu anda untuk fokus tanpa sebarang gangguan.
5 – FAHAMI AL-QURAN
Selain daripada membaca dan menghafal, usahalah juga untuk fahami apa yang ingin dihafal.
Baca terjemahannya. Baca tafsirnya. Bila kita faham, proses hafalan akan jadi lebih mudah untuk kita.
6 – BACA AL-QURAN DALAM SOLAT
Ini antara perkara yang sering dilupakan.
Untuk kuatkan memori hafazan kita, uji diri kita dalam solat. Baca apa yang kita sudah hafal dalam solat.
Di situ kita akan jumpa di mana tempat yang hafalan kita kuat, dan tempat yang kita lemah. Maka bila terjumpa tempat yang kita lemah maka perbaiki tempat tersebut.
___
Semoga nota ini bermanfaat buat kita semua dan dapat diamalkan dalam kehidupan. Dan semoga Allah jadikan kita sebahagian daripada ahli al-Quran dan tetapkan hati kita bersama al-Quran dengan penuh keikhlasan hingga ke akhir hayat.
Link video asal: https://youtu.be/BCk4yKFFgrw (Practical Steps For Memorizing The Quran)
Wan Ahmad Fadhil,
15 Mei 2019 | 10 Ramadan 1440H
Gombak
Perkongsian yang sangat baik, sangat menyedarkan diri ini yang selalu lupa, terima kasih atas perkongsian, diharap kami boleh terus menikmati lagi perkongsian yang sebegini
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat 🙂