Bercuti Ke Perlis – Perkampungan Sunnah 2018

Pada bulan Febuari yang lepas, Mufti Negeri Perlis iaitu SS Prof Madya Dato’ Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali dengan DrMAZA telah mengumumkan mengenai program Perkampungan Sunnah 2018 yang akan diadakan di Masjid Alwi, Kangar Perlis pada tarikh 11 – 13 Mei 2018.

Program ini ikutkan dah lama kami sekeluarga nak pergi. Lepas kahwin, memang tak sempat nak pergi sampai sekarang. Banyak sebab, antaranya sebab kewangan dan waktu berkerja.

Tahun ni, bila wife dok ajak cakap “Jom pergi Perkampungan Sunnah tahun ni..”, saya pun buat keputusan yang tahun ni kami akan pergi ke Perkampungan Sunnah 2018.

 

ETS – KL SENTRAL ke ARAU

ETS

Bulan Mac 2018 kami pergi ke KL Sentral untuk beli tiket tren ETS ke Arau, Perlis. Sebelum ni memang dah terfikir-fikir antara nak drive kereta atau naik tren sahaja. Disebabkan mak dan ayah pun nak ikut, dan mereka kata nak cuba naik tren ETS, maka saya beli tiket ETS sahaja. Itu pun beli tiket ETS lepas dah survey homestay mana yang nak disewa bila ada di Perlis nanti.

Kos untuk naik tren dari KL Sentral ke Arau sekitar RM73/orang untuk dewasa, dan sekitar RM41 untuk kanak-kanak dan warga emas.

Itu untuk pakej biasa, dan ada banyak stop.

Perjalanan balik saya pilih yang lebih premium sebab itu sahaja waktu paling sesuai untuk balik. Kos tiket balik pula RM98/orang. Namun tak banyak berhenti seperti masa pergi.

Tiket boleh juga dibeli secara online.

 

HOMESTAY DI ARAU

AIRBNB
Klik sini untuk dapat FREE kredit RM120

Homestay yang saya sewa pun dekat Arau juga, tak jauh dari lokasi program Perkampungan Sunnah yang saya nak pergi tu. Saya pilih perjalanan keretapi ETS dari KL Sentral ke Arau sebab Arau lebih dekat dengan Kangar berbanding Padang Besar yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand. Homestay saya cari melalui aplikasi AirBNB (https://abnb.me/e/LkqGpK2ZVM) sahaja, memang mudah dan murah berbanding dok di hotel. Sewa bilik pun tak sampai RM100 sehari, dapat duduk 1 rumah dengan segala kelengkapan. Nak cuci baju, jemur baju, peti ais, TV, air con semua ada.

Nak pergi ke Masjid Alwi pun tak jauh, sekitar 2KM sahaja. Kami naik Grab, kena bayar RM4 sahaja untuk satu perjalanan pergi, dan RM4 untuk perjalanan balik ke homestay.

Nak pergi Kuala Perlis pun tak mahal sangat, tak silap saya tak sampai pun RM20 untuk satu perjalanan naik Grab.

Untuk tempah Homestay guna AirBNB, klik sini https://abnb.me/e/LkqGpK2ZVM untuk dapat kredit sebanyak RM120 untuk penginapan pertama anda. Hanya untuk anda yang belum daftar AirBNB sahaja.

 

HARI TRAVEL

cuti perlis

Kami bergerak ke Perlis pada 10 Mei 2018, sehari selepas PRU ke 14. Memang agak meletihkan, sebab sehari sebelumnya baru sampai dari kampung di Kuantan. Esoknya nak travel lagi.

Tiket tren jam 9.45 pagi. Dan kami disuruh untuk berada di KL Sentral 30 minit sebelum berlepas.

Di KL Sentral pada masa ni memang tak sesak, lapang dan aman je. Mungkin sebab pertukaran kerajaan baru dan seluruh Malaysia cuti selama 2 hari iaitu hari Khamis dan Jumaat.

Apa yang best bila naik ETS ni pada saya

  1. Tak perlu nak drive kereta susah payah ke Perlis
  2. Tak perlu nak servis kereta
  3. Lebih selesa, tempat duduk luas
  4. Ada tandas dalam tren
  5. Ada kiosk dalam tren, boleh beli makanan dan minuman
  6. Perjalanan pantas. 5 jam lebih sahaja dah sampai.
  7. Perjalanan yang selamat

Cuma untuk golongan parents muda ni, cabarannya sebab kita bawa anak kecil. Bila anak kita sedang meragam, itu juga memerlukan tenaga nak mengawal ragam mereka.

Dan walaupun jimat dari sudut servis kereta, minyak, tol dan sebagainya. Kos pergi dan balik, kos Grab dan sebagainya juga sudah memakan kos lebih RM800 untuk 5 orang penumpang + 1 bayi.

Kelajuan maksimum tren ETS ini adalah sekitar 140KM/jam. Agak pantas juga, mungkin sebab tu perjalanan kami dari jam 9.45pm, dalam pukul 3.15pm dah sampai.

 

TIBA DI ARAU

cuti perlis

Tiba di stesen KTM Arau, kami pun pergi ke Homestay guna Grab. Kos naik Grab sekitar RM17/kereta untuk satu perjalanan.

Harga agak berpatutan, sebab nak ke homestay tu ambil masa sekitar 15-20 minit.

Dan di Perlis ni tak perlu risau, Grab memang banyak. Kita panggil, dalam 2-3 minit je dah sampai.

 

SAMPAI HOMESTAY KANGAR

cuti perlis

Homestay yang kami sewa ni rumah banglo setingkat. Bayar dalam RM90 je, dapat dok banglo. Fuh, memang puas hati alhamdulillah.

Segala kelengkapan pun ada. Pada saya, memang lagi best daripada duk kat hotel sebab kat hotel tak boleh nak basuh baju sendiri. Kat homestay ni boleh basuh baju dan keringkan baju. Tak perlu nak keluarkan kos lebih. Murah pun murah.

Bila dah sampai, kami letak barang. Rehat sekejap dalam sejam. Lepas tu keluar pergi ke Kuala Perlis pula untuk makan malam.

 

MAKAN SEAFOOD DI KUALA PERLIS

cuti perlis

Tempat ni memang tak dirancang. Masa dalam tren kami cek lokasi makan malam yang sesuai, dan mak ajak pergi ke Kuala Perlis untuk makan malam.

Kami pun ikutkan sahaja. Sebab banyak review tulis makan malam di Kuala Perlis antara yang best.

Dari Kangar ke Kuala Perlis pun tak jauh, sekitar 15-20 minit je naik Grab.

Di medan makanan Kuala Perlis ni pun ada pelbagai gerai makanan. Tinngal pilih je.

cuti perlis

 

Makanan laut yang disediakan di sana pun kebanyakannya segar-segar belaka. Bila tengok pun memang nampak berbeza dengan makanan laut di KL yang kebanyakannya sudah kecut dan tak segar.

Teringat seorang penjual ni kata “Ikan segar, sotong segar, udang segar! Masih baru lagi..”

Kedai makan yang kami singgah ni pun makanannya sedap-sedap belaka. Walaupun agak lambat sikit makanan sampai, tapi makanan yang disediakan memang lazat.

cuti perlis

Tomyamnya yang agak pekat, rasa cukup masam dan pedas ala Thai, sotong celup tepung yang rangup dan segar, ikan bakar dan pelbagai lagi. Puas! Alhamdulillah.

Kira kalau nak makan kat area ni memang saya rekemen lah.

cuti perlis
MAZA – Ingat DrMAZA je guna nama MAZA. Hihi


MASJID AL-HUSEIN

cuti perlis

Ini masjid yang biasa saya tengok orang bergambar di sana. Pemandangan memang cantik, berada di tepi laut.

Pemandangannya cukup cantik berlatarbelakangkan Pulau Langkawi yang ada di seberang.

Lokasinya pula terletak di sebelah tempat makan kami. Jalan kaki 5 minit sahaj dah sampai.

Masjidnya agak kecil, tapi kelihatan selesa untuk solat di sana. Rekabentuknya yang nampak agak klasik, dan udaranya di sana agak refreshing mungkin sebab dah waktu petang sekitar 6.30 petang. Dok di sana sekejap untuk bergambar sahaja, lepas tu balik ke homestay.

 

KERETA KUDA

cuti perlis
Sumber gambar: http://coretanchedai.blogspot.com/

Di sebelah medan makanan di Kuala Perlis ini juga ada kereta kuda yang menjadi tarikan pelancong ke Perlis.

Jika bawa anak kecil, bawa mereka naik kereta kuda ini boleh jadi satu bentuk hiburan bersama mereka.

 

MASJID ALWIcuti perlis

Keesokan harinya, kami pergi ke Masjid Alwi untuk program Perkampungan Sunnah hari pertama, iaitu 11 Mei 2018.

Masjid ini nampak sangat menarik. Mana taknya, ia dibina pada tahun 1932 dan merupakan sebuah masjid yang telah lama terbina di negeri Perlis ini sebelum kemerdekaan negara Malaysia.

Rekabentuknya menarik, berwarna putih. Kalau masuk dalam masjid boleh nampak bentuk masjidnya yang masih kelihatan lama namun sudah di baikpulih dan cat masih kemas.

Bentuknya melebar ke tepi. Ada air con dalamnya dan sejuk jangan cakap, memang sejuk dan selesa sahaja.

Sedikit sejarah mengenai Masjid Alwi saya kongsikan di bawah.

Masjid Alwi telah terbina dan dirasmikan pada 10 Febuari 1932. Ia dirasmikan oleh DYMM Tuanku Syed Alwi ibn Syed Saffi, Raja negeri Perlis.

Baginda Syed Alwi telah ditabalkan menjadi Raja Perlis dan upacara pertabalan baginda telah dilaksanakan di hadapan Raja Chulalongkorn dengan penuh adat istiadat Kerajaan Siam.

Pada masa itu, kerajaan Malaysia belum ditubuhkan lagi sebab ia berlaku sekitar 50 tahun sebelum kemerdekaan negara kita.

Ketika zaman pemerintahan Raja Syed Alwi, Negeri Perlis menghadapi masalah kewangan yang kritikal. Baginda akhirnya terpaksa membuat pinjaman wang daripada pihak Kerajaan Siam.

Justeru itu, pada 4 Oktober 1905, Negeri Perlis di bawah pemerintahan Raja Syed Alwi telah menandatangani satu perjanjian pinjaman wang dengan pihak kerajaan Siam berjumlah dua ratus tiga puluh ribu ringgit.

Atas syarat-syarat yang telah ditetapkan, pihak Negeri Perlis terpaksa menerima perkhidmatan seorang Pegawai Penasihat Siam untuk membantu dalam urusan pentadbiran kewangan negeri.

Secara tidak langsung, keadaan ini membantu ke arah menjayakan aspirasi Siam untuk mengawal dan menyekat kebebasan tertentu di Negeri Perlis.

Maklumat lanjut boleh baca di sini: https://perlisroyalty.perlis.gov.my/index.php/ms/sejarah/syed-alwi

 

PERKAMPUNGAN SUNNAH SIRI 5 2018

cuti perlis

Inilah sebab utama kami hadir ke negeri Perlis pada tahun ini, sebab nak hadir program Perkampungan Sunnah.

Ini adalah program yang setiap tahun diadakan sejak beberapa tahun yang lalu. Dimaklumkan bahawa program Perkampungan Sunnah tahun 2018 ini adalah yang ke-5 pernah diadakan di Perlis.

Tema tahun ini adalah Penyucian Jiwa Menurut al-Quran dan as-Sunnah.

Sebelum ini, saya pernah juga hadir program seperti ini dikendalikan oleh Institut al-Qayyim (IQ) di Pulau Pinang. Saya kira program Perkampungan Sunnah ini menggantikan program yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya selepas SS Mufti Perlis dilantik semula menjadi Mufti.

cuti perlis

Program Perkampungan Sunnah ini diadakan selama 3 hari penuh.

Daripada pagi selepas subuh hingga lepas Isyak, ada sahaja majlis ilmu yang diadakan secara berjadual.

Makan dan minum juga disediakan. Namun boleh juga membeli di tapak jualan berdekatan jika makan sudah habis atau tidak mahu beratur panjang.

cuti perlis
Makan dan minum juga disediakan. Cuma perlu beratur sikit.

Di sana ada juga yang menjual buku-buku agama, menjual pakaian, pakej umrah, penapis air dan sebagainya.

Kuliah diadakan di dalam masjid, namun di luar masjid turut diletakkan TV dan skrin besar bagi yang mahu mendengar dari luar masjid.

Hanya sesi forum pada waktu malam sahaja yang diadakan di luar masjid.

cuti perlis
Sesi Malam di Perkampungan Sunnah di luar masjid Alwi

Beberapa hari kami berkampung di sana, alhamdulillah selesa dan sesi-sesi padat dengan ilmu.

Ramai yang datang dari seluruh negara termasuk ada juga yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

Penceramah yang dijemput juga kebanyakannya yang dikenali ramai, seperti DrMAZA (Tuan rumah), Dr. Rozaimi, Dr. Ismail Lutfi, PU Hafiz, Ustaz Abdullah Bukhari, Syeikh Hussein Yee, Dr. Kamilin Jamilin, Prof Madya Dr Basri Ibrahim, Dr. Fathul Bari, Ustaz Zahiruddin Zabidi, Ustaz Ahmad Hasyimi, Ustaz Sofwan Badrie, Dr. Johari Mat, Dr. Azrul Azlan dan ramai lagi.

cuti perlis

cuti perlis
Ruang luar masjid untuk wanita
cuti perlis
Bersama Dr. Irwan dan sahabatnya

 

PADANG BESAR

cuti perlis
Sumber gambar: http://www.citiestips.com/

 

Saya tak pergi ke sana. Namun dengar orang kata ini adalah antara lokasi attraction bagi yang melancong ke Perlis. Lokasinya terletak di sempadan antara Malaysia dan Thailand. Seberang sana di Thailand, antara daerah terdekat adalah Dannok.

Di Padang Besar inilah antara tempat untuk orang pergi membeli belah. Jualan yang ada di sana yang femes termasuklah pakaian dan makanan.

Mungkin ada lagi yang selain itu, saya pun tak tahu sebab belum berjalan ke sana.

Stesen keretapi Padang Besar menghubungkan antara Malaysia dan Thailand. Jika nak ke Thailand, boleh berhenti di stesen keretapi Padang Besar untuk pergi ke seberang. Ini parents saya bagitahu sebab mereka pergi berjalan ke HatYai.

 

LANGKAWI

cuti perlis
Sumber gambar: https://www.wanista.com/

Mungkin masih ramai yang tak tahu yang sebenarnya kita boleh pergi ke Pulau Langkawi daripada Kuala Perlis naik feri je.

Kos naik feri dari Kuala Perlis ke Kuah, Langkawi untuk seorang dewasa hanyalah RM18/orang. Manakala untuk kanak-kanak hanya RM13/orang. Boleh rujuk di sini untuk dapatkan harga http://www.langkawiferryline.com/

Lokasi jeti feri ini terletak di sebelah Masjid al-Hussein di Kuala Perlis.

cuti perlis
Sumber gambar: http://www.tv14.my/

Kami tak pergi ke Langkawi untuk trip ini.

 

PASAR PAGI NAT POKOK GETAH

cuti perlis
Sumber gambar: http://tatie39.rssing.com/

Tempat ni saya tak pergi, tapi parents saya yang pergi. Sebab masa ni kami anak beranak pergi ke Perkampungan Sunnah.

Di bawah ni saya share apa sahaja yang ada di Nat Pokok Getah ni berdasarkan apa yang parents saya bagitahu dan apa yang saya dah survey kat blog-blog lain.

 

MAKAN TENGAH HARI DI ANJUNG KELI

cuti perlis

Bagi pengunjung yang pergi ke negeri Perlis, pada saya memang wajib pergi ke Anjung Keli ni untuk makan tengah hari. Ini antara tempat the best untuk makan.

Lauknya sangat banyak, restorannya luas, parking pun senang, hidangannya enak belaka, sambal pun sedap. Fuh! Memang puas hati. Alhamdulillah.

Bukan setakat sedap, selesa pulak tu.

cuti perlis

Kami Google je tempat ni dan tengok rating makan di Anjung Keli ni boleh tahan juga.

Kami pergi ke Anjung Keli ni 1 hari sebelum berlepas pulang ke KL Sentral.

Makan pun taklah mahal sangat, harganya agak sederhana.

Nak pergi stesen KTM di Arau pun tak jauh sangat, sekitar 15 minit sahaja. Dan pakai Grab, kami bayar RM13 sahaja.

 

MASJID NEGERI PERLIS & MASJID LAMA ARAU

cuti perlis
Sumber gambar: artmelayu.blogspot.my

Masjid ini adalah destinasi terakhir yang kami pergi sebelum pulang ke KL. Sebabnya masjid ni terletak bersebelahan dengan stesen KTM Arau.

Di hadapan masjid ini adalah Istana Perlis dan satu tanah perkuburan (saya rasa makam diraja negeri Perlis). Dan masjid lama Arau juga terletak di sana.

Masjid Negeri Perlis dan Masjid Lama Arau bukanlah masjid yang sama walaupun kedudukannya berdekatan.

Masjid lama Arau
Sumber: http://www.orangperlis.com/

Masjid Lama Arau ini adalah antara masjid lama yang wujud ni negeri Perlis, dan telah melalui beberapa fasa penambahbaikan sejak ia terbina pada tahun 1870an.

Berikut saya kongsikan sejarah Masjid Lama Arau atau dikenali sebagai Masjid Negeri Perlis sekarang.

Masjid Lama Arau didirikan semasa pemerintahan Raja Syed Ahmad Jamalullail sekitar tahun 1873 hingga 1897M. Tukang-tukang Arab dan Melayu merupakan antara tukang kayu yang diberi tanggungjawab untuk membina Masjid Lama ini. Bahagian tengah masjid diperbuat daripada batu manakala di bahagian lain kebanyakkannya diperbuat daripada kayu.

Bahan binaan Masjid Lama terdiri daripada batu-bata, kayu, tanah liat, telur ayam, telur itik dan berbagai jenis manisan. Proses membina masjid ini mengambil masa yang agak lama. Oleh kerana pada masa tersebut simen belum ada di pasaran maka ia telah digantikan dengan pasir yang dicampur dengan kapur serta batu dan kemudiannya dibancuh dengan manisan lebah, manisan tebu, manisan nipah, telur ayam dan telur itik. Telur ayam dan itik hanya akan diambil telur yang berwarna putih sahaja kerana putih telur dan manisan akan bertindak sebagai simen untuk meneguhkan pegangan antara batu-bata dan juga tanah liat.

Keluasan masjid pada ketika itu berukuran 60 kaki x 60 kaki persegi iaitu berbentuk empat segi tepat. Kecubung masjid tersebut adalah jenis kecubung besar yang berdinding kaca berwarna hijau. Manakala pada bahagian atapnya pula diperbuat daripada zink tebal yang mempunyai bucu empat segi sementara tiangnya diperbuat daripada batu-bata dan tanah liat yang diadun dengan putih telur ayam dan telur itik. Pintu dan alang pula diperbuat daripada kayu yang teguh sementara lantai masjid yang pada awalnya berasal daripada tanah liat namun kemudiannya telah disimen oleh generasi baru.

Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail , ruang beranda telah diperbesarkan di sekeliling masjid. Beberapa tahun kemudiannya pula dibuat lagi tambahan bangunan di sebelah kanan dan kiri masjid yang kelihatannya seperti bersayap bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.

Pada waktu malam akan dipasang lampu minyak tanah untuk menerangi masjid terutamanya pada bulan puasa dan ketika diadakan sebarang sambutan dan kenduri. Tikar mengkuang, tikar menerung atau tikar rumput dijadikan hamparan di dalam masjid. Air untuk mengambil wuduk akan diangkut oleh anak jemaah secara bergilir-gilir seminggu sekali dari sungai yang berhampiran iaitu Sungai Arau dan kemudian akan dituang ke dalam kolah air yang terletak bersebelahan masjid. Kerja-kerja membersih di dalam dan luar masjid pula diusahakan secara bergotong-royong oleh anak-anak jemaah masjid.

Semasa pemerintahan Raja Syed Putra Jamalullail, Masjid Lama Arau telah mengalami pelbagai perubahan. Atap masjid, lampu, tikar dan segala kelengkapan masjid telah ditukar dengan yang baru. Walau bagaimana pun, pada tahun 1973 Masjid Negeri telah dibina di tapak masjid yang ada sekarang menggantikan Masjid Lama Arau. Justeru itu, mulai tahun tersebut fungsi Masjid Lama Arau telah berpindah ke Masjid Negeri baru tersebut.

 

KESIMPULAN

Perjalanan kami ke Perlis ini merupakan antara trip yang menyeronokkan. Walaupun agak penat sebab kena banyak bertukar-tukar transport, tapi pengalaman yang kami dapat saya kira berbaloi.

Negeri Perlis ni adalah negeri yang aman sejahtera pada saya. Kehidupan orang sini pun nampak rileks je. Jalan pun tak ada jam. Mall pun takde. Paling grand pun adalah pasaraya Giant yang ada di Perlis ni.

Perkampungan Sunnah merupakan program tahunan yang diadakan di negeri Perlis. Kalau nak gi Perlis, pada saya masa program Perkampungan Sunnah ni waktu terbaik nak ke sana. Pergi sehari dua awal supaya kita boleh pergi jalan-jalan dulu. Huhu. Rancang sebelum jalan.

 

 

5 thoughts on “Bercuti Ke Perlis – Perkampungan Sunnah 2018”

      1. Muhammad Ridzuan Zukifly

        Terima kasih.. Dapat juga gambaran awal dari tulisan ni. Rancang sebelum jalan 👍😁

Leave a Reply

error: Content is protected !!
Scroll to Top
%d bloggers like this: