Pengalaman (pra-matang) ikuti program Bahasa Arab bersama KBA Al-Jahiz selama 3 minggu.
Di samping mengikuti kelas Madinah Arabic bersama CALSD, saya join juga kelas Al-Jahiz yang dikelolakan oleh Ustaz Ashafizrol.
Sebagai seorang peniaga yang tiada komitmen menyambung pengajian tinggi Masters, 2 kelas seminggu ni bagi saya tidaklah berat mana sebab saya hanya perlukan 3 jam sahaja seminggu untuk kelas.
Itu pun 100% secara online sahaja, dan perlu follow sahaja modul yang disediakan.
__
Saya join program ini pada awal bulan Oktober.
Hanya 3 medium sahaja yang digunakan untuk pembelajaran:
1. Telegram (channel) 2. Telegram kepada Ustaz (homework) 3. Google Meet (kelas mingguan)
Sebelum kelas diadakan, ustaz akan sediakan dahulu modul pembelajaran yang perlu dibaca, ditelaah dan latihannya perlu dibuat terlebih dahulu oleh para pelajar.
Kemudian pada hari Selasa malam, kelas mingguan akan diadakan dan akan membincangkan modul yang telah diberikan, begitu juga modul yang baru sekiranya ia belum diberikan lagi.
Fasa awal memang rasa mudah lah. Kelas pertama tu senang sangat mungkin juga sebab dah ada pengalaman (asas) dalam bahasa Arab.
Tetapi bila masuk fasa seterusnya, baru nampak kelas ni semakin mencabar kerana semakin banyak teori dan kaedah yang diberikan.
Tetapi, disebabkan modul yang disediakan bagi saya agak praktikal juga sebab ada latihan-latihan yang diberikan maka susah mana pun kita akan mula dapat ‘tangkap’ pelajaran tersebut bila latihan dibuat.
Masalahnya jika kita tak buat latihan, tak baca nota, tak hafal kosa kata, tak hafal rumus mungkin ia akan buat proses pembelajaran kita terasa susah.
Setiap satu modul yang diberikan, akan ada sekitar 10 hingga hampir 30 kosa kata baru. Apa yang saya buat last sekali, ambil sekeping kertas dan go through semua modul yang dah dipelajari. Tulis satu-persatu kosa kata yang terdapat dalam modul tersebut supaya senang nak cari balik semasa buat latihan.
Untuk latihan yang diberikan, pelajar hanya perlu gunakan kosa kata yang TELAH diberikan dalam modul. Bermakna, kita tak perlu cari kamus pun untuk kelas ni. Cukup hafal sahaja kosa kata yang dah ada.
–Sesuai ker kelas ni untuk orang yang nak santai-santai belajar Bahasa Arab?
Bagi saya setakat 3 minggu ni, rasanya tak berapa sesuai. Sebab setiap beberapa hari akan dapat pelajaran baru. Seminggu, pelajar akan dapat 2 modul. So, kalau terlepas, tak sempat study, tak hafal, tak kuasai saya rasa kita akan rasa ketinggalan dan mudah nak give-up.
Modul Madinah Arabic (asas) lebih sesuai kalau kita nak belajar dengan lebih santai tapi sampai.
Kedua-dua sistem yang saya join ni ada kelebihan tersendiri.
Cuma satu perkara yang saya nak perbaiki daripada proses pembelajaran saya sejak 10 tahun lepas yang asyik tergendala & sering terhenti tengah jalan: HAFAL sebanyak mungkin kosa kata dan kuasai kaedah/rumus yang diberikan.
Saya cubalah juga motivasi diri sendiri KENAPA saya kena belajar bahasa Arab; antaranya:
– Sampai bila nak taqlid baca terjemahan orang lain? – Nak berdikari boleh baca kitab Arab satu hari nanti – Modal untuk sambung pengajian bidang Masters (jika nak sambung) – Dan paling penting, untuk faham al-Quran dan hadis Nabawi ketika membacanya – Tak nak menyesal umur 60 tahun nanti, zaman muda tak digunakan untuk belajar Bahasa Arab.
Saya share pengalaman pra-matang ini sebagai rekod work in process (WIP) saya sahaja dalam pembelajaran. Barangkali ada kawan-kawan yang memang mencari dan rasa sesuai, mungkin boleh join juga.
Yang paling penting adalah istiqamah walaupun slow progress. Semoga kali ini saya tak stop tengah jalan lagi macam dulu…
Untuk pembelian emas simpanan, antara company yang reliable dan jual emas pada harga murah adalah Maybank.
Maybank ada MIGA-i Maybank Investment Gold Account Islamic yang mana simpanan emas di MIGA-i ini based on physical gold juga.
Sekadar yang saya perasan, harga per gram memang lagi murah dari Public Gold dan lain-lain, mungkin sebab harga jualan adalah spot price (ni saya x ingat baca kat mana).
Harga untuk withdraw keluarkan emas jer yang mahal sikit berbanding pesaing cuma bila calculate balik, ikutkan masih banyak jimat.
Simpan RM10 beli emas pun boleh kat MIGA-i ni.
Saya x pernah beli lagi guna MIGA-i ni. Tapi adalah pembeli lain sebut proses pembelian dan secure pembelian dalam sistem tu cepat. Ini penting sebab ada sebahagian syarikat, proses bayar hingga update gram emas dalam sistem mengambil masa lama.
Ni musim ekonomi tak menentu ni, rasanya ramai akan mula nak menyimpan emas pula kan. Boleh la try riki MIGA-i ni
__
Nak daftar MIGA-i ni, masuk jer Maybank2u.com.my dan login guna web (bukan app). Tekan WEALTH dan apply MIGA-i.
Harga emas di Public Gold dan Quantum Metal ketika screenshot ini diambil adalah sekitar RM280/gramKos premium untuk pengeluaran emas fizikal lebih tinggi berbanding jenama Public Gold. Namun jika banding kos keseluruhan, nampaknya emas Maybank lebih murah.
Nak Beli MIGA-i atau Public Gold/Quantum Metal/KAB?
Untuk pembelian emas simpanan, sudah tentu kita perlu kenalpasti beberapa perkara dan kenapa kita pilih syarikat tersebut?
Apa yang menjadi sebab dan keselesaan anda apabila membeli emas?
Harga per gram lebih murah?
Latar belakang syarikat yang kukuh?
Status patuh syariah syarikat tersebut?
Tahap kesediaan emas fizikal?
Tempoh menunggu emas fizikal cepat/lambat?
Sistem pembelian pantas & dipercayai?
Kaedah pembelian dan penebusan pantas?
Bagaimana anda lihat syarikat itu bagi jangka panjang? (Banyak syarikat emas lingkup!)
Permintaan gold bar jenama tersebut?
Mesra ar-Rahnu?
Bagi saya, jika nak pilih di MIGA-i adalah atas beberapa sebab seperti di bawah
Harga per gram lebih murah
Latar belakang syarikat sangat kukuh, Maybank
Status patuh syarikat yang dipercayai (Maybank mempunyai tim syariah sendiri)
Emas fizikal tersedia, tetapi masih perlu buat appointment untuk ambil emas
Sistem pembelian pantas & cepat update dalam Maybank2u (pengalaman pembeli MIGA-i), tak risau kalau dah beli tapi tak update dalam sistem. Masalah ini berlaku pada syarikat lain.
Goldbar yang dikeluarkan jenama IGR
Jualan semula kepada Maybank adalah mudah
Sumber gambar: https://www.facebook.com/baha.lacky/posts/4892021814170122
Apa pun, untuk simpanan emas ini yang paling penting adalah ada simpanan emas. Pilih yang paling anda yakini dari sudut halal & kemudahan untuk diri anda sendiri.
Anak-anak mudah nak rasa tak puas hati bila mereka rasa salah seorang seolah-olah dilebihkan dari yang lain.
Kadang kala sekecil-kecil perkara pun dapat diungkit bila datang rasa tak puas hati Cabaran nak besarkan anak-anak semuanya berbeza.
Biasanya kisah anak-anak Nabi Adam dan anak-anak Nabi Ya’qub lah menjadi modal hamba untuk menenangkan keadaan, bagi mereka fikir dari sudut pemerhati pula. Kisah ni selalu diulang-ulang kepada mereka bila timbul konflik
Rasa ketidakpuasan hati anak-anak kedua orang Nabi kita tersebut tidak lain tidak bukan berpunca daripada perasaan hasad dengki yang tertanam di dalam hati. Syaitan pula berfungsi ‘tabur garam’ pada luka tersebut (sebab tu perlu selalu isti’azah dan baca zikir pagi petang)
Dengki sebab Qabil dapat lebih daripada Habil, korbannya pula diterima Allah. Dengki sebab Yusuf lebih dicintai lebih daripada abang-abangnya yang lain.
Dengki bermula daripada perasaan rasa sakit hati bila kita rasa orang lain dapat nikmat lebih daripada kita. Dan apabila dipupuk rasa itu maka kita khuatir ia akan jadi barah yang dapat bawa kepada physical abuse di kemudian hari.
Sepertimana kisah Qabil membunuh Habil begitu juga kisah abang-abang Yusuf yang asalnya ingin bunuh Yusuf, kemudian tukar fikiran dan buang Yusuf ke dalam perigi buta.
Hasad dengki cukup merbahaya, berdosa dan perlu dirawat… Banyak sahaja kisah hasad dengki yang kita dengar hingga menyebabkan putus persaudaraan, pukul memukul, maki memaki dan lebih teruk lagi dapat bawa kepada amalan sihir dan pembunuhan.
Kita sebagai parents pun perlu bijak untuk kawal keadaan, situasi agar penyebab rasa dengki itu dapat dirahsiakan. Sepertimana bila Nabi Yusuf cerita mimpi kepada Nabi Ya’qub, cepat-cepat Nabi Ya’qub bagitau Nabi Yusuf untuk simpan rahsia mimpi ini betul-betul dek kerana kecemburuan dan iri hati abang-abangnya yang lain.
Alhamdulillah mereka suka dengar kisah para Nabi, cuma ayahnya sahaja perlu topup ilmu modal untuk bercerita.
__
Bawah ni antara buku sedap baca untuk tadabbur kisah-kisah para Nabi
Nak masuk tahun 2022 sikit lagi. Harini terdetik nak dengar ceramah daripada Ustaz Shamsuri Hj Ahmad berkenaan jiran tetangga. Aku dari kecik dulu memang kerap dengar ceramah-ceramah Ustaz Shamsuri dalam kereta sebab ayah beli kaset-kaset Ustaz Shamsuri.
Dunia sekarang manusia makin hidup “nafsi nafsi” pentingkan diri sendiri. Bahkan jadi sesuatu yang normal di kawasan bandar especially, jiran-jiran saling TIDAK kenal mengenali.. Nama pun tak kenal, nombor telefon pun tak simpan, tidak bertegur sapa. Kadang kala setiap setahun dua jiran-jiran dah bertukar pun tidak perasan. Betapa hilangnya nilai kemasyarakatan dan nilai kejiranan dalam diri manusia zaman moden ini.
Rasulullah ﷺ pula berpesan untuk memuliakan jiran tetangga, penuhi hak mereka. Bahkan malaikat Jibril berkali-kali menasihati Rasulullah ﷺ untuk menjaga hubungan baik dengan jiran sehingga baginda ﷺ menyangka seolah-olah jiran juga layak mendapat harta warisan.
Dari Nabi ﷺ bersabda, “Jibril ‘alaihissalam tak henti-hentinya selalu berwasiat kepadaku untuk berbuat baik kepada tetangga, hingga saya menyangka bahwa seorang tetangga akan mendapatkan warisan (dari tetangganya).” – HR Ahmad
Seni berjiran kini sudah semakin hilang apabila manusia semakin sibuk hanya untuk memenuhi keperluan dan kehendak sendiri. Budaya senyum dan bertegur sapa sesama jiran tetangga semakin hilang. Budaya memberi makanan dan hadiah kepada jiran tetangga semakin hilang. Sensitiviti dan common sense juga semakin hilang. Kita hanya menuntut hak dan lupa memberi hak kepada jiran.
Jika kita mempunyai jiran-jiran yang baik, boleh bertegur sapa, saling beri memberi, saling memahami sensitiviti masing-masing, boleh saling berkerjasama dan bertolak ansur maka bersyukurlah kerana itulah sebahagian daripada kebahagiaan dalam hidup. Doalah agar dijauhkan daripada dapat jiran-jiran yang buruk akhlak dan tiada sensitiviti dalam diri mereka.
Antara adab-adab berjiran:
Memberi salam
Bertegur sapa, bertanya khabar
Nasihat-menasihati
Jaga dan fahami sensitiviti jiran
Jangan ambil/gunakan hak jiran tanpa izin
Tidak menyakiti jiran sama ada dalam perbuatan atau kata-kata
Menolong dan bersedekah jika mereka miskin
Menutup aibnya
Berkongsi (hadiah_ dengan jiran tetangga
Memberi makanan kepada jiran
Tidak membiarkan jiran dalam kelaparan
Ziarah (sebentar) ketika mereka sakit atau berlaku kematian
Bantu apabila diminta tolong
Tidak buat bising pada waktu malam
Tidak membuang sampah merata-rata hingga masuk ke rumah jiran
Jika ingin membuat sesuatu yang mungkin menyusahkan jiran, maklumkan terlebih dahulu
Bak kata Ustaz Shamsuri Ahmad (mafhumnya), kalau nak jiran buat elok dekat kita maka kita kena buat elok dekat jiran dulu. Kalau kita tak nak jiran buat tak elok dekat kita, jangan buat tak elok pada jiran kita.
Walaupun begitu, kita juga harus berhati-hati sekiranya ada jiran tetangga yang mungkin suka mengambil kesempatan ke atas orang lain, yang diketahui/pernah menipu dan lain-lain maka kita sebagai orang Islam tidak boleh biarkan diri kita terus diperbodohkan oleh mereka yang berakhlak demikian.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)
“Kalau dulu, nasihat-menasihati ini menjadi amalan dalam masyarakat dan orang suka dirinya dinasihati oleh orang lain. Tapi hari ini, takdak. Orang dah berubah. Kalau orang mari nasihat dia, dia rasa dia tu bodoh sangat sampai nak kena nasihat. Dia tak boleh terima dia manusia dia boleh buat silap dan apabila orang nasihat dia untuk perelokkan diri dia, dia patut terima kasih dekat orang. Dia tak rasa benda tu… (Begitulah) masyarakat hari ini…”
Ustaz Dato’ Hj. Shamsuri Hj. Ahmad
Sama-sama usahalah untuk jadi jiran yang terbaik buat jiran-jiran kita. Belajarlah untuk mempunyai sikap berlapang dada. Jika kita tak mampu memudahkan hidup mereka, jangan pula kita susahkan hidup mereka.
*Sebahagian penulisan ini adalah daripada ulasan video Ustaz Shamsuri dan sebahagiannya olahan saya sendiri.
Assalamu’alaikum wbt. Negara kita kini (sejak 19 Disember 2021) sedang dilanda musibah banjir besar yang menjejaskan banyak lokasi di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan lain-lain. Di bawah ini, saya kumpulkan senarai barang-barang yang diperlukan untuk membantu mangsa banjir.
15 Barang Yang Diperlukan Segera (Urgent)
Makanan dan minuman (air mineral)
Makanan segera – seperti biskut, roti, pisang dan sebagainya (sebaiknya yang tak perlu dimasak)
Pampers bayi – newborn hingga warga emas
Lampin Wanita – all type
Pakaian dalam (seluar dalam lelaki, wanita, bra)
Kebersihan diri – Sabun, syampu, berus gigi, ubat gigi dsb
Sabun cuci baju
Toto (atau tikar)
Selimut / blanket
Ubat-ubatan asas – Panadol, ORS, minyak angin, minyak urut, ubat batuh dsb
Kain pelikat / kain batik
Towel
Selipar
Sejadah & telekung
Alat pengecasan telefon bimbit (cable, power bank dsb)
Barang Yang Diperlukan Mangsa Banjir (Semua)
1. Selipar 2. Towel 3. Berus Gigi & Ubat Gigi / Tooth Paste 4. Selimut / Blanket 5. Bantal / Pillow 6. Kain Pelikat 7. Sejadah 8. Tudung & Telekung 9. Panadol 10. Seluar dalam (especially wanita. banyak) 11. Pampers – semua size 12. Lampin wanita / disposable panties 13. Air mineral 14. Wet tissue / Tisu basah 15. Tisu 16. Bra / Baju dalam wanita 17. Tikar 18. Kain batik 19. Sabun mandi 20. Sabun cuci baju 21. Penyapu 22. Berus 23. Lilin & mancis 24. T-Shirt 25. Shampoo 26. Power bank 27. Toto 28. Makanan – segera 29. Biskut 30. Roti 31. Ubat nyamuk 32. Extension cable 33. Water jet 34. Generator set 35. Minyak angin & minyak urut 36. Keropok (jajan) 37. Kopi, Teh & Milo 38. Torch light 39. Kurma 40. Ubat batuk & selesema 41. Air kotak 42. ORS (Oral Rehydrating Solution) 43. Baju dan seluar 44. Alat penyusuan 45. Susu bayi & susu formula 46. First aid 47. Bakul/Baldi 48. Mop 49. Pinggan/mangkuk/sudu pakai buang 50. Ampaian 51. Hanger 52. Pengetip kuku 53. Cotton bud 54. Dapur Gas 55. Kabel pengecas telefon / phone charger 56. Duit cash – untuk kelangsungan hidup mangsa
BARANG YANG DIPERLUKAN UNTUK SEARCH AND RESCUE (SAR) MANGSA BANJIR
Nota: Dinasihatkan untuk pergi misi SAR bersama team yang berpengalaman.
Bot / sampan
Kenderaan 4×4
Lampu suluh LED (super bright)
Jaket keselamatan
Powerbank
Walkie talkie
Ubat-ubatan
Air mineral
Pembesar suara
Drone
Tali
Generator
Cutter (potong besi mangga dsb)
Kasut boot
BARANG UNTUK KANAK-KANAK
Barang untuk hiburan kanak-kanak pasca banjir yang sebahagiannya mengalami trauma akibat banjir
Buku mewarna
Pensil warna
Mainan
BARANG KEPERLUAN BANTU SELEPAS AIR SURUT – CUCI RUMAH
1. Water jet (Sebaiknya beli yang gunakan petrol kerana pasca banjir biasanya tiada air dan elektrik) 2. Troli / kereta sorong 3. Cangkul 4. Penyodok air 5. Generator set 6. Penyapu lidi 7. Penyapu bulu keras 8. Sabun cuci baju 9. Glove kain (angkat barang, guna penyapu dsb) & glove getah (cuci barang guna sabun) 10. Boot 11. Stool – memudahkan kerja nak mencuci (kalau duduk tanpa bangku, kebas kaki) 12. Getah paip / hos paip dan pengunci hos 13. Kasut boot (Penting! Supaya tidak pijak besi, kaca dan binatang berbisa) 14. Plastik sampah 15. Baldi 16. Face mask (Penting untuk elak penyakit, bau kurang menyenangkan) 17. Towel 18. Alatan solat – sejadah dsb 19. Air mineral (dan air wudhu’) 20. Pakaian ganti 21. Makanan segera (roti, coklat dsb untuk urusetia)
Sila hubungi Pusat Pemindahan Sementara juga untuk tahu status terkini keperluan mangsa banjir atau tanya team NGO yang lakukan misi-misi kemanusian membantu mangsa banjir.
Semoga Allah permudahkan urusan mangsa banjir begitu juga para sukarelawan dan dermawan yang sanggup berkorban harta, masa dan tenaga bagi membantu saudara-saudara kita yang kesusahan. Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik anda.
Saya merupakan seorang konsultan jualan penapis air dan udara jenama Cuckoo. Juga merupakan pendidik kewangan dan emas, mewakili Public Gold. Selain daripada itu, saya gemar menulis dan berkongsi pengalaman hidup saya dengan anda semua. Saya juga suka berkongsi mengenai bisnes dan buku yang pernah saya baca. Tahun 2017, saya pergi menunaikan ibadah Haji. Saya turut kongsikan sebahagian tips berdasarkan pengalaman saya untuk Haji di usia muda.