Surah Pertama. Diturunkan di Mekah – 7 ayat

MUQADDIMAH SURAH AL-FAATIHAH

Surah ini dinamakan “AL-FAATIHAH” (Pembuka atau yang mula-mula), la juga dinamakan “Ummu’l-Qur’an” (Ibu Al-Qur’an) dan “Ummu’l-Kitab (Ibu Kitab Suci), kerana me-ngandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al-Qur’an diturunkan untuk menerangkannya satu persatu, ia-itu:

(1) Menetapkan wujudnya Allah ‘Azza wa Jalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana yang tersebut dalam الحمد لله رب العالمین : firmanNya

(2) Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al-Jalaal (Ke-besaran) dan sifat-sifat Al-Kamaal (Kesempurnaan), sebagai-mana yang terkandung dalam firmanNya: الرحمن الرحيم

(3) Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagai-mana yang tersebut dalam firmanNya: مالك يوم الدين . supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari ni’mat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata.

(4) Menerangkan tugas yang kerananya manusia di-ciptakan oleh Allah Ta’ala sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya: “اياك نعبد” . Sebab ibadat itu dengan semala jenisnya tak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ta menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memper-baiki akhlak, dan mensucikan jiwa.

Dengan iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik, dan jiwa yang suci, berhasillah kebahagiaan manusia kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya.

(5) Memperkatakan tentang kelemahan manusia, ba-hawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah Ta’ala dan izinNya, sebagaimana واياك نستعين : yang tersebut dalam firmanya

(6) Menerangkan bahawa perkara yang utama dihajati dan dipohonkan daripada Allah Ta’ala ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan, dan cara melaluinya, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Kerana telah sedia ada اهدنا الصراط المستقيم ” :Nya berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya pula banyak, berbilang-bilang, dan berlain-lain, disebabkan berlain-lainnya tabi’at, adat, dan hawa nafsu yang beranika ragam.

(7) Mengarahkan manusia kepada memerhati dan me-mikirkan kisah-kisah umat-umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih akan apa yang menyebab-kan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia ini dalam keadaan yang selamat, dan berjaya mendapat ni’mat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga “Daru’s-Salaam”.

Surah ini juga dinamakan “As-Sab’u’l-Mathaani” (Tujuh ayat yang diulang-ulang) bacaannya dalam sembahyang yang berbilang-bilang rak’at, atau (tujuh dasar yang diulang-ulang) huraiannya di dalam Al-Qur’an.

Rasulullah (s.a.w.) pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang berma’na: “Tidak ada di dalam Kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Ummu’l-Qur’an”.

Demikianlah kelebihan surah Al-Faatihah yang diwajib-kan kepada orang yang mengerjakan sembahyang membaca-nya. Sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam jika ia tidak musafir.

Terjemahan & Tafsir Surah al-Fatihah

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)

[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1)

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)

[2] Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan men-tadbirkan sekalian ‘alam. (2)

ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣)

[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤)

[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)

[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan (3)

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)

[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus. (4)

صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

[7] laitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni’mat kepada mereka (5), bukan (jalan( orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (6).

Tafsir

(1) “Al-Qur’an” ialah Imam kita dan Panduan kita. Dalam ayat suci ini Allah Ta’ala mengajar kita supaya tiap-tiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah, iaitu dengan membaca : بسم الله الرحمن الرحيم semoga pekerjaan kita itu diberkati Allah dan berjaya.

Dengan melakukan yang demikian, berma’na kita berserah bulat-bulat kepada Allah Azza wa Jalla sesudah kita berusaha dan berikhtiar.

“Allah”: ialah nama yang khas bagi Dzat Tuhan Yang Wajib Al-Wujud, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya. Kalimah “Allah” ini dinamakan “Lafzu’l Jalalah” ya’ni kalimah yang menunjukkan “Kebesaran Allah”, dan juga dinamakan “Sultanu’l Asmaa'”” ya’ni “Raja segala nama Tuhan”.

“Ar-Rahmaan”: (Yang Maha Pemurah), “Ar-Rahiim”: (Yang Maha Menga-sihani), kedua-duanya ialah di antara nama-nama Allah (Al-Asmaa’u’l Husna) yang menunjukkan bahawa Allah Ta’ala amat melimpah rahmatNya kepada sekalian makhluk Nya.

(2) Puji-pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna pada yang dipuji; seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran, dan keagungan.

Kerana segala kesempurnaan dan kebesaran serta keagungan dan kekuasaan itu hanya ada pada Dzat Allah Yang Maha Kuasa; maka hanya Allah sahaja yang berhak menerima puji-pujian, sebagaimana Allah jua berhak memuji DzatNya sendiri.

(3) Menurut huraian Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor, Penyemak Kitab Tafsir ini:

Satu-satunya jalan bagi menyatakan iman dan taqwa kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kuasa, yang menguasai hari Pembalasan (hari Akhirat), ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepadaNya dengan penuh rasa ikhlas dan tawadhu’.

Tidak ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain dari Allah Yang Maha Kuasa; demikian juga tidak ada lain tempat kita memohon pertolongan selain dari Allah Yang Maha Pemurah.

Pengertian “ibadat” secara ringkas dapat diertikan sebagai menunjukkan rasa ta’at setia dan perhambaan diri kepada Allah’Azza wa Jalla yang dikenangkan limpah kurnia kebaikanNya serta dirasai dalam hati nurani akan kehaibatan kekuasaanNya.

Allah Ta’ala perintahkan supaya kita tidak menyembah selainNya, kerana Dialah sahaja Tuhan yang wajib disembah dengan sebenar-benarnya. Kita juga diperintahkan supaya hanya memohon pertolongan kepadaNya. Ayat ini seolah-olahnya bertentangan dengan ayat 2, surah Al-Ma’idah yang menyuruh manusia bertolong-tolongan antara satu sama lain dalam membuat amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah. Yang bererti kita disuruh supaya meminta pertolongan sesama manusia; sementara ayat 5 dalam surah Al-Faatihah ini menyuruh supaya kita hanya memohon pertolongan kepada Allah semata-mata.

Sebenarnya tidak ada pertentangan di antara kedua-dua ayat itu, kerana usaha dan amal perbuatan manusia adalah bergantung kepada adanya sebab-sebab yang dapat menghasilkan kejayaan itu dan ketiadaan halangan-halangan yang merintanginya. Demikianlah kejadian alam ini, segala yang berlaku itu pada keseluruhannya adalah melalui adanya sebab-sebab dan syarat-syarat yang telah diatur oleh Allah ‘Azza wa Jalla.

Manusia sebagai makhluk Tuhan telah diberikan ni’mat ilmu pengetahuan melalui akal fikirannya yang waras, di samping itu diberikan tenaga kekuatan untuk mengatasi sesuatu halangan. Oleh itu, yang menjadi tanggungjawab bagi manusia ialah menggunakan segala ikhtiar dan daya usaha, meliputi cara-cara bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain, yang disertakan dengan do’a memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala. Semuanya ini adalah merupakan sebab-sebab yang telah ditentukan oleh Allah bagi pelaksanaan sesuatu pekerjaan. Dan segala-galanya itu tidak lain hanyalah merupakan usaha ikhtiar kita sahaja.

Setelah kita berusaha dan berikhtiar maka kita serahkan pula penentuan natijah dari usaha kita itu kepada Allah Yang Maha Kuasa.

(4) Pertunjuk hidayah yang dipohonkan di sini ialah pertunjuk yang disertakan dengan taufik supaya kita sentiasa berada pada jalan yang diredhai Allah.

(5) “Orang-orang yang dikurniakan ni’mat oleh Allah kepada mereka” ialah Nabi-nabi, Rasul-rasul dan orang-orang yang beriman serta beramal salih. Dan jalan mereka, selain daripada beriman serta beramal salih ialah membimbing manusia ke jalan kebaikan dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan perkataan yang murni serta sanggup menanggung beban dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, sabar dan bertaqwa. Itulah dia “As-Siraatu’l Mustaqiim” (jalan yang lurus).

(6) Menurut Hadith Nabi (s.a.w.): “Orang-orang yang dimurkai” itu ialah kaum Yahudi, dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi, 1:90).

Ada juga Ahli Tafsir yang memberikan huraian lanjut mengenainya. Menurut Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim – Penyemak Kitab Tafsir ini bahawa kesimpulannya seperti berikut:

“Orang-orang yang dimurkai Allah” ialah orang-orang yang mengingkari atau menyembunyikan sesuatu perkara ugama yang telah diketahuinya betul dan benar, atau orang yang tidak mahu menerima sesuatu hukum ugama yang sampai kepadanya dengan keterangan-keterangan yang sah kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya seperti: perasaan ta’assub atau fanatik kepada sesuatu pendapat, keinginan hendak menjaga nama dan taraf, ingatan hendak memelihara keadaan dan kedudukannya yang turun temurun, atau fikiran hendak menghormati sesuatu keadaan masyarakat.

“Orang-orang yang sesat” pula ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan ugama kerana tidak berusaha untuk mempelajarinya atau orang yang pengetahuan ugamanya tidak betul, kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan yang sebenarnya.

Orang-orang yang tersebut kalau mereka tidak sesat dalam urusan kebahagiaan hidup dunia kerana sihat pancaindera dan tepat pendapat akal mereka pada zahirnya, maka tak dapat tidak mereka sesat dalam urusan kebahagiaan hidup di akhirat, kerana pengetahuan ugama Allah sahaja yang sanggup menunjuk dan membimbing pengikutnya kepada kebahagiaan akhirat.