Select Page

Tips Pergi Haji Usia Muda Ikut Muassasah Tabung Haji – Part 1

Assalamu’alaikum wbt, saya Fadhil. Saya berumur 28 tahun, berasal dari Gombak, sudah berkahwin dan sekarang berkerja sebagai konsultan jualan penapis air Cuckoo.

Dalam post kali ni saya nak share mengenai pengalaman saya menunaikan ibadah haji pada tahun 2017 yang lepas.

Pada masa itu, umur saya baru 27 tahun. Dan saya pergi haji bersama isteri tercinta yang pada masa itu umurnya baru 26 tahun.

Alhamdulillah atas nikmat yang Allah berikan kerana kami dapat menunaikan ibadah haji pada usia yang muda.

Menunaikan haji pada usia sebelum 30 tahun merupakan impian saya dan life goal saya sejak bertahun-tahun yang lepas.

Saya pergi bersama Tabung Haji, bukan ikut pakej swasta.

Sebab sebelum ni saya langsung tak pernah jejakkan kaki ke tanah Arab walaupun sekali.

Umrah pun tak pernah pergi.

Memang dalam hati ada niat nak tunaikan ibadah umrah, dah tercari-cari pakej murah sekitar RM5000.

Tapi hati tetap rasa berat nak pergi sebab bila difikirkan, kumpul separuh lagi dah boleh pergi haji dah.

Ada kawan yang berkerja sebagai ejen Umrah pun dah quote kepada saya harga untuk pergi Umrah, tapi saya terpaksa tolak juga pada masa itu.

So dalam post ni, saya just nak share apa yang saya dan keluarga dah buat menyebabkan saya dapat pergi haji sebelum 30 tahun.

UPDATE! Saya dijemput oleh TV Alhijrah pada 6 Ogos 2018 bagi slot Rezeki Haji Muda. Video di bawah

1. Daftar Haji

Pada tahun 2003, mak dan ayah saya pergi daftar untuk diri mereka dan untuk saya pergi haji.

Pada masa tu, kesedaran mengenai daftar haji ni masih belum famous.

Belum ramai lagi yang ada kesedaran mengenai haji ni.

Sebab tu kalau dulu-dulu, orang daftar haji dalam masa beberapa tahun je dah dijemput sebagai tetamu Allah.

Tapi masa tu saya masih muda sangat lagi, umur belasan tahun ketika parents pergi haji.

Tahun 2005, parents pergi haji dulu walaupun perancangan asalnya nak bawa saya sekali ikut pergi haji.

Namu atas kekangan bajet, saya tinggal di Malaysia dan parents pergi Haji ikut pakej Rayhar.

Tips: Pastikan anda telah daftar dengan Tabung Haji untuk pergi Haji. Buka akaun simpanan Tabung Haji bukan bermaksud kita dah daftar Haji. Pendaftaran pergi Haji TIDAK berlaku secara automatik.

Ada 2 langkah penting di sini:

a. Buka akaun simpanan di Tabung Haji

b. Cukupkan RM1350 dalam akaun, kemudian terus DAFTAR untuk pergi Haji.

2. Terpaksa Tolak Tawaran Haji

Seingat saya, pada tahun 2012 saya sebenarnya dah dijemput pergi Haji sebab dapat surat pada masa tu.

Mak ayah cakap sebenarnya beberapa tahun sebelum 2012 pun Tabung Haji dah hantar surat jemputan pergi haji.

Tapi terpaksa ditolak juga sebab masa tu saya masih sekolah. Tapi pada masa tu duit dalam akaun dah cukup

Tahun 2012 pun saya terpaksa tolak sebab masa tu tengah sambung belajar di UIA Gombak.

Bukanlah sekadar tolak tawaran tersebut sebab saya tengah sambung belajar. Boleh je pun nak pergi. Tapi duit yang tak ada.

Sebab sejak belajar di Kolej Shahputra untuk program Diploma, dan kemudian sambung Ijazah Sarjana Muda di UIA, duit simpanan dalam Tabung Haji banyak dikeluarkan.

Dikeluarkan untuk bayar yuran belajar, beli laptop, perbelanjaan harian dan sebagainya. Masa tu memang poket tengah kering sangat. Duit pun cukup-cukup je. Saya tak ambil PTPTN untuk sambung belajar.

Duit daripada dekat RM10 ribu, tinggal RM1350 sahaja sebab banyak dah dibelanjakan.

 

3. 2017 – Sudah Bersedia Pergi Haji

pengalaman naik haji muda

Pada bulan Januari 2017, ketika itu saya masih lagi berkerja di sebuah syarikat pengurusan acara.

Saya tulis sepucuk surat rayuan peruntukan semula untuk pergi Haji.

Kenapa ‘Peruntukan Semula?’

Sebab saya dah pernah dijemput untuk pergi Haji pada tahun 2012 yang lepas.

Tapi kuota pada tahun tersebut saya terpaksa lepaskan atas sebab yang telah dinyatakan sebelum ini.

Sejak tahun 2016 lagi saya dah mula menyimpan semula duit untuk pergi Haji.

Masa tu alhamdulillah, bisnes part-time yang saya buat makin menjadi.

Duit untuk pergi Haji sempat dikumpul sebanyak RM10,000 lebih.

Setiap kali dapat untung lebih je, simpan terus dalam Tabung Haji dan tidak diusik.

Tips: Simpan duit pergi Haji cepat-cepat. Jangan bertangguh dan jangan boros.

Duit untuk pergi Haji dikumpul penuh dalam akaun Tabung Haji pada awal tahun 2017.

Pada tahun-tahun sebelumnya ada juga tulis emel Peruntukan Semula untuk pergi Haji, tapi diletakkan tarikh untuk tahun seterusnya.

Tabung Haji reply pada emel tersebut dengan menyatakan bahawa rayuan hanyalah dibenarkan untuk tahun semasa, bukan tahun akan datang.

Tips: Buat surat rayuan pergi Haji hanya pada tahun yang kita nak pergi Haji

 

4. Hantar Surat Rayuan Haji

pengalaman naik haji muda

Surat rayuan peruntukan semula pergi Haji telah saya hantar pada bulan Januari 2018.

Saya hanya hantar melalui emel sahaja. Tak hantar surat fizikal pun.

Tapi kalau nak buat cara lebih bersungguh, cuba buat semua cara:

a. Emel

b. Hantar surat kepada pejabat Tabung Haji

c. Pergi HQ Tabung Haji untuk hantar surat rayuan

d. Hantar faks

e. Follow up dengan kerap dengan pihak Tabung Haji, tanya status rayuan

Surat rayuan Tabung Haji itu saya emel ke emel berikut: th-info@lth.gov.my

Surat fizikal pula boleh dihantar ke alamat berikut:

Bahagian Operasi Domestik,
Lantai 30, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji,
201 Jalan Tun Razak,
50732 Kuala Lumpur.

Isi kandungan surat tersebut adalah seperti berikut:

Daripada:

Wan Ahmad Fadhil bin XXXXX XXXXX,
+6 013 991 6967,
(Alamat Rumah).

Kepada:

Bahagian Operasi Domestik,
Lantai 30, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji,
201 Jalan Tun Razak,
50732 Kuala Lumpur.

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Tuan/Puan, 19.01.2017

PER: RAYUAN MENUNAIKAN IBADAH HAJI BAGI PENDAFTAR YANG PERNAH

DIPANGGIL HAJI

Saya merupakan pendaftar haji yang berdaftar pada tarikh 10 Ogos 2003 dan telah dipanggil untuk menunaikan ibadah haji oleh pihak Tabung Haji pada tahun 2012 (1433 Hijrah).

Namun pada tahun tersebut, saya tidak dapat memenuhi panggilan haji pada tarikh tersebut kerana saya masih lagi menyambung pengajian saya pada tahun ke-2 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia..

Semasa menerima surat panggilan haji pada tahun tersebut, saya tidak membalas surat tersebut semula kepada pihak Tabung Haji menyatakan tangguhan untuk melaksanakan ibadah haji.

Oleh itu, selaku seorang pendaftar haji saya ingin membuat rayuan untuk peruntukan semula tarikh untuk menunaikan ibadah haji. Tarikh yang dicadangkan adalah pada tarikh berikut:

Tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi

Dilampirkan butir peribadi saya seperti berikut:

Nama penuh: WAN AHMAD FADHIL BIN XXXXXXXXXX
No kad pengenalan: XXXXXXXXXX
No akaun TH: XXXXXXXXX
No daftar: XXXXXXXXXX
Tarikh diperuntukkan: 1433 Hijrah/2012 Masihi
No telefon: +6 013 xxxxxxxx

Timbang rasa pihak Tuan/Puan sangat dihargai. Saya akhiri dengan ucapan jazakumullahu khairan jazaa’.

Yang benar,

………………………….

WAN AHMAD FADHIL BIN XXXXXXXXX

Surat ini anda boleh download di sini.

Contoh Surat Rayuan Pergi Haji

5. Dapat Tawaran Haji 2 Minggu Sebelum Berlepas

pengalaman naik haji muda

Sebenarnya masa hantar surat rayuan pergi Haji tu, saya langsung tak expect yang saya akan diterima pergi Haji.

Saja hantar sebab nak cuba nasib, mana tahu tahun 2017 boleh pergi Haji.

Walaupun masa discuss dengan isteri, saya dah plan elok-elok yang saya nak pergi Haji pada tahun 2018.

Sebab pada tahun 2016 anak kedua saya baru sahaja lahir.

Rasa macam tak sesuai nak pergi Haji tahun 2017.

Tapi entah mengapa, jiwa ni memberontak rasa nak sangat pergi ke Masjidil Haram sebab dah lama memendam rasa untuk berada di hadapan Ka’bah.

Sebab tu surat rayuan peruntukan Haji tu saya hantar juga pada Januari 2017.

Beberapa bulan kemudian pada bulan Syawal, masa tu saya dan keluarga berada di Brunei untuk ziarah keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kembali sahaja dari Brunei, pada 16 Julai 2017 mak saya call maklumkan yang saya dah diterima untuk pergi Haji pada tahun 2017.

Perasaan saya pada waktu tu tak tahu nak cakap macam mana.

Mak dan ayah pun call terburu-buru masa tu sebab katanya kalau saya tak reply surat tu selewatnya 18 Julai 2017, tawaran tersebut dibatalkan.

Rupanya surat tu boleh jadi dah lama sampai sebab pada minggu sebelumnya, saya dan keluarga berada di Brunei.

Masa tu saya ada masa 2 hari sahaja untuk buat keputusan.

Masa tu rasa susah sangat nak buat keputusan. Rasa berat sangat hati nak tinggalkan anak-anak yang masih lagi kecil ini di Malaysia.

Anak pertama berusia 2 tahun setengah, dan anak kedua belum sampai 1 tahun lagi.

Isteri pun rasa keberatan.

Masa tu tanya keluarga, tanya juga kawan-kawan rapat, tanya juga pada ustaz untuk minta pendapat.

Tempoh tersangatlah pendek.

Ada yang kata, “Tak apa tangguhkan je dulu. Pergi tahun depan masa anak dah besar sikit”

Ada juga yang kata, “Pergi je Fadhil. Ni rezeki kau. Allah yang jemput kau untuk pergi Haji. Dah berapa kali kau tolak untuk pergi Haji.”

Sahabat saya Ustaz Masri pula kata, “Kalau saya di pihak Fadhil, saya pergi je. Macam ni lah pengorbanan Nabi Ibrahim ketika meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Isma’il di Mekah tanpa meninggalkan apa-apa”

Masa dengar Ustaz Masri kata begitu, jiwa saya rasa makin kuat pulak nak pergi Haji pada tahun 2017 yang lepas.

 

6. Istikharah: Terima Tawaran Pergi Haji

pengalaman naik haji muda

Masa ni berjumpa dengan Ustaz Abdullah Bukhari. Beliau hadiahkan saya karyanya Ceritera Haji Wartawan al-Quran. Saya sempat habiskan bacaan sebelum berangkat. Pada saya, buku ini anda ‘wajib’ ada dan baca!

Selesai berbincang dengan keluarga, rancang pengurusan anak yang akan di Malaysia dan sebagainya, lalu saya buat keputusan untuk pergi juga.

Lalu kami beristikharah, mohon kepada Allah agar pilihan yang kami ambil ini adalah yang terbaik.

Maka pada hari Selasa berikut, saya pergi ke pejabat HQ Tabung Haji di Jalan Tun Razak untuk mengesahkan penerimaan tawaran untuk pergi Haji.

Di pejabat HQ Tabung Haji, saya perlu pergi ke tingkat 30 dan ground floor untuk mengesahkan pendaftaran tersebut.

Dokumen yang perlu dibawa akan dikongsikan dalam poin yang seterusnya.

*Surat Tawaran Haji saya tak dapat nak bawa sebab surat tu ada di rumah parents. Memang tak sempat nak hantar dah dari kampung ke KL sebab waktu sangat singkat. Tapi boleh minta di pejabat Tabung Haji untuk tolong print kan satu set.

Selesai urusan di tingkat 30 dan di tingkat Ground Floor, Tabung Haji menyerahkan kepada kami beberapa dokumen seperti surat pengesahan penerimaan tawaran, buku putih Tabung Haji, surat untuk urusan medical check up dan lain-lain lagi.

Disebabkan tarikh nak pergi Haji tu tinggal 2 minggu sahaja, beratur di pejabat Tabung Haji tu agak mengambil masa panjang.

Pergi keluar ke pejabat Tabung Haji awal pagi, dekat pukul 4 petang baru balik rumah.

Letih jugak. Fuhh.

 

7. Rayuan Untuk Pasangan – Isteri

pengalaman naik haji muda

Semasa saya hantar surat terima tawaran Haji, pada masa sama saya dah siap-siap bawa surat rayuan untuk bawa pasangan ikut sekali pergi Haji.

Perkara ni saya dah study sebelum ni.

Memang banyak dah research kat Google.

Ada pelbagai blog yang share mengenai rayuan untuk bawa isteri atau keluarga terdekat untuk turut ikut sama pergi Haji pada tahun yang sama.

Saya beriya-riya nak bawa isteri ikut sebab dalam otak dah terfikir.

“Kalau bukan sekarang bawa isteri aku, bila lagi? Bila lagi dia akan ada mahram untuk turut serta pergi Haji?”

Itu yang buat saya rasa penting sangat untuk kami pergi bersama.

Tidak dinafikan, emosi pada masa itu sangat berat.

Ikutkan, isteri saya memang dalam dilema sebab anak kami yang ke-2 masih kecil lagi.

Saya akan cerita dalam poin yang seterusnya nanti.

 

8. Dokumen Yang Perlu Disediakan

Antara dokumen yang saya bawa pada termasuklah:

  1. Buku Tabung Haji
  2. IC
  3. Surat rayuan untuk bawa mahram (untuk apply untuk) – 2 salinan
  4. Sijil Nikah (untuk apply untuk pasangan) – 2 salinan

Surat rayuan bawa mahram dan sijil nikah hanya perlu dibawa jika anda ingin bawa pasangan anda turut sama pergi menunaikan ibadah Haji.

Sijil nikah (dan surat rayuan) tersebut perlu ada cop tandatangan daripada Jabatan Agama Islam.

Saya sarankan, sebelum anda serahkan dokumen kepada Tabung Haji. Dapatkan dahulu cop pengesahan dan tandatangan daripada pegawai agama yang bertauliah supaya anda tak perlu buat kerja banyak kali seperti saya.

Cop dan tandatangan tersebut adalah cop dan tandatangan pengesahan Mahram.

 

8. Medical Check Up & Injection

pengalaman naik haji muda

Haa, antara fasa penting sebelum pergi Haji adalah wajib untuk kita buat medical check up di hospital atau klinik.

Untuk medical check up dan injection ni, ikutkan ada 2 pilihan.

Sama ada korang nak pergi yang kerajaan atau swasta.

Paling mudah sekali, pergi ke ke klinik atau hospital swasta.

Habis cerita.

Sebab tak perlu nak tunggu berhari-hari untuk dapatkan check up.

Cuma kosnya pun boleh tahan. Paling murah sekitar RM200 seorang.

Untuk warga emas pula, biasanya mereka akan ambil pakej injection yang lebih mahal sebab nak vaksin lebih.

Tapi kalau nak save bajet, pergi je ke klinik kerajaan.

Call je klinik kesihatan, poliklinik atau hospital terdekat. Tanya, pusat kesihatan mana yang boleh buat check up untuk pergi haji dan injection.

Klinik atau hospital kerajaan ni free je kalau kita nak dapatkan medical check up dan injection Haji.

Kalau 2 orang, dah jimat RM400 kat situ.

Dalam kes saya, saya pergi ke Pusrawi dan bayar sekitar RM200.

Isteri pula pergi ke klinik kerajaan. Dapat rawatan percuma.

 

9. Persediaan Ilmu – Kursus Ringkas

pengalaman pergi haji muda

Ini adalah bahagian yang paling penting. Sebelum pergi Haji, korang wajib belajar asas Feqah Haji tau.

Sebab, diterima atau tidak Haji kita ni adalah berdasarkan ilmu.

Kalau rukun Haji tak tahu, wajib Haji pun tak tahu, bahkan kita buat pula perkara yang menyalahi rukun Haji maka Haji kita tidak diterima.

So, kalau boleh pergi lah ke kursus Haji yang disediakan oleh Tabung Haji.

Tiap-tiap tahun ada sahaja kursus Haji di seluruh Malaysia.

Tapi, kes kami pula agak berbeza.

Sebab kami dapat panggilan Haji 2 minggu sebelum berlepas.

Memang tak pernah pergi kursus Haji pun sepanjang hidup.

Umrah pun tak pernah pergi, inikan pula Haji.

So, pada masa tu saya cari ustaz yang boleh bimbing untuk bagi kursus ekspress Haji.

Ayah dan mak mertua pun tersangatlah supportif.

Hari-hari mereka pula yang bersemangat nak ajar kami ilmu dan pengalaman mereka pergi Haji sebelum ni.

Kadang-kala terasa lucu juga, kami yang nak pergi Haji bahkan mereka pula yang bersemangat lebih.

Pastikan sebelum pergi Haji tu, dapatkan buku-buku rujukan Haji.

Kalau boleh, bawa satu bersama kita untuk dijadikan panduan semasa berada di Tanah Suci.

Bila ada keraguan ataupun terlupa, boleh rujuk terus buku atau jumpa terus ustaz pembimbing Haji di Maktab kita di Tanah Suci nanti.

pengalaman pergi haji muda

 

10. Persediaan Untuk Tinggalkan Anak

pengalaman pergi haji muda

Anak-anak kami yang perlu ditinggalkan ada 2 orang.

‘Abdurrahman yang berusia 2 tahun setengah dan Hafsah yang berusia 11 bulan.

Hafsah masih lagi breastfeeding.

Dan saya seorang yang berkerja dari rumah, isteri pun surirumah sepenuh masa.

Tak pernah kami tinggalkan anak-anak untuk tempoh yang lama.

Namun kali ini, terpaksa saya dan isteri tinggalkan mereka untuk tempoh 45 hari.

So, ini antara perkara yang perlu aku dan isteri sediakan sebelum berangkat pergi Haji

a. Cari Ibu Susuan

Ini antara part yang mencabar. Sebab anak kedua kami masih lagi menyusu badan.

Memang tak pernah sehari pun tak menyusu.

Untuk situasi kami, memang agak unik sikit. Sebab ada beberapa orang ibu susuan yang sudi membantu.

Dan pada masa sama, ada seorang ibu susuan yang sudi membekalkan susu simpanan stok beku.

Kami sendiri memang tak ada stok susu beku sebab isteri saya memang di rumah full time, memang tiada keperluan untuk menyimpan sebelum ini.

Ibu susuan ni kita boleh tanya pada keluarga terdekat atau rakan-rakan terdekat.

Kalau tak ada keluarga atau kawan yang sedia jadi ibu susuan atau bekalkan susu beku, boleh juga cari di Facebook Groups.

Pasti ada sahaja yang sudi memberikan lebih susu beku yang mereka ada.

Stok susu ini perlu diberikan kepada penjaga anak kita kelak supaya mereka dapat memberi mereka susu badan.

Kami pilih supaya anak kami tetap minum susu breast milk sahaja atas alasan tersendiri.

Jika anda ingin memberikan susu dalam tin dan sebagainya juga tiada masalah.

b. Cari Penjaga

Kedua-dua orang anak kami perlu dijaga di kampung.

Pada asalnya, cadangan kami adalah untuk mereka kedua-duanya dihantar ke rumah ibu bapa saya, atau ibu bapa mertua saya.

Ini adalah keputusan yang paling sukar dan paling ‘emosional’ kerana anak-anak masih lagi kecil.

Bagi mengurangkan beban kedua-dua belah pihak, kami buat keputusan untuk hantar ‘Abdurrahman ke rumah ibu bapa saya, dan Hafsah ke rumah ibu bapa mertua saya.

Berpisah dua negeri.

Anak pertama dijaga oleh ibu bapa saya.

Anak kedua pula dijaga oleh adik ipar saya yang sedang cuti semester di UIA pada ketika itu.

 

c. Sediakan Wang Secukupnya

Berapa wang yang secukupnya itu?

Tepuk dada tanya bajet.

Kalau nak pergi Haji tu, pastikan kita ada lebihan duit yang mesti ditinggalkan untuk anak-anak kita supaya kelak kita tidak menyusahkan orang yang menjaga mereka.

 

d. Sediakan Pakaian dan Pampers

Pampers dan pakaian perlu disediakan secukupnya.

Pampers sebolehnya sediakan sekitar 4 atau 5 pek untuk seorang.

 

e. Sediakan Dokumen Penting

Dokumen penting yang perlu disediakan adalah kad MyKid, pasport dan surat beranak.

Jika ada buku rawatan juga boleh diserahkan kepada penjaga.

 

f. Sediakan Makanan Dan Resipi Masakan

Makanan juga perlu disediakan untuk anak-anak.

Anda sendiri tahu apa yang mereka makan.

Seperti kami sendiri, kami sediakan makanan home made frozen dan juga beberapa perencah organik segera bagi memudahkan penjaga anak-anak kami berikan mereka makan.

 

g. Wasiat

Apa yang anda nak wasiatkan untuk anak-anak?

Apa yang anda harapkan?

Dan apa-apa sahaja yang ada dalam fikiran anda yang anda rasa penting, maka tuliskan ia dan berikan kepada penjaga anak-anak kita.

 

h. Jangan Harap Kesempurnaan

Jangan sesekali kita harap kesempurnaan apabila anak kita dijaga oleh orang lain selain daripada kita.

Ini kerana cara pembawaan setiap orang adalah berbeza.

Kita sendiri akan merana bila kita terlalu mengharapkan kesempurnaan, terlalu mengharapkan segalanya berlaku ikut cara yang kita mahu.

 

i. Tawakkal

Setelah selesai kesemua di atas, maka bertawakkal lah kepada Allah.

Sesungguhnya Dia lah yang menguasai dan mengatur segala sesuatu.

Kerana hakikatnya yang menjaga anak kita bukanlah para penjaga tersebut, bahkan Allah-lah yang akan menjaga mereka.

Serahkan dan bulatkan tawakkal kita sepenuh hati kita dan serahkan segala urusan kita kepada Allah.

Nescaya jiwa kita akan sentiasa tenang semasa di Tanah Haram kelak.

Jangan risau, nanti masa di Mekah dan Madinah boleh je video call anak-anak.

11. Barang Yang Perlu Dibawa Ke Tanah Suci?

Kalau kita teliti dalam Google dan pelbagai blog, sangat banyak barang yang dicadangkan untuk dibawa ke Tanah Haram. Namun, saya sendiri ada cadangan tersendiri apa barang yang boleh dibawa untuk pergi Haji.

Antaranya:

Lelaki

  • Wang: SR1000 untuk Haji (Ikut kemampuan)
  • T-Shirt – 2 atau 3 helai
  • Baju dalam – 2 atau 3 helai
  • Kain Ihram – 1 set memadai
  • Towel Kecil – 2
  • Tower Besar – 1 (saya guna brand Decalthon, cepat kering)
  • Jubah – 1 (Di Mekah boleh beli lagi)
  • Seluar – 2
  • Seluar Dalam – 5 atau 6
  • Kain Pelikat – 2
  • Hangar – 3 hingga 5 batang
  • Sabun – 1
  • Berus & Ubat Gigi – 1 atau 2
  • Pencuci Muka & Toileteries – Secukupnya
  • Pisau Cukur – Beberapa batang
  • Extension Cable – 1
  • Universal Plug – 1
  • Charger Telefon – 1
  • Power Bank – 1
  • Selipar – 1
  • Beg Ikea – 1 (mudah nak angkat baju cucian)
  • Gunting Kecil – 1
  • Cable Tie – Sedikit
  • Uncang Kasut – 1
  • Mesin Rambut – 1 (kalau nak shave sendiri)
  • Stokin – 1
  • Yoga Mat – 1 (boleh beli di Decalthon yang ringan. Guna semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina)
  • Tali Pinggang Ihram – 1 (saya tak pakai)
  • Sleeping Bag – Selesa untuk tidur di hotel dan di Arafah, Muzdalifah & Mina)
  • Ubat-Ubatan
  • Minyak Angin Cap Kapak – 1
  • Minyak Urut – 1
  • Ketip Kuku – 1
  • Sejadah Kecil – 1
  • Pen Marker – 1
  • Botol Air – 1
  • Spray Wudhu – 1
  • Buku Nota & Pen – 1
  • Buku Doa – 1
  • Al-Quran – 1
  • Nescafe – 1 Paket (ikut keperluan)
  • Senarai Doa (Tulis sebelum berangkat ke Mekah)
  • Buku Panduan Haji – 1
  • Makanan Tambahan – Terserah ikut keperluan (Seperti Sambal kering, serunding, sos cili dan sebagainya)

*Saya bawa sambal kering untuk hilangkan muak makanan di sana.

Wanita

Hampir sama seperti di atas. Tambahan seperti berikut:

  • Telekung – 2 set
  • Tudung – 3 Pasang
  • Anak Tudung – 4 helai
  • Losyen dan Rawatan Kulit – Secukupnya
  • Baju Dalam Wanita – 6 helai
  • Jubah – 3 helai
  • Abaya – 3 helai
  • Kain Dalam – 4 helai
  • Stokin – 5 pasang
  • Lampin Wanita – Secukupnya
  • Sarung Tangan – 3 helai
    Kain Batik – 2 helai
  • Bag Pack – Saiz sederhana (Jangan bawa yang besar, tak boleh bawa masuk masjid)
  • Pam Susu – 1 (untuk ibu yang menyusukan anak)
  • Plastik Milk Storage – Secukupnya untuk 45 hari
  • Ice Pack – 1 atau 2 (untuk susu)

 

11a. Wang Untuk Dibawa Ke Mekah & Madinah

Untuk jemaah Muassasah Tabung Haji, anda tak perlu bawa terlalu banyak wang ke Mekah & Madinah. Sekitar SR1000 ke SR2000 mencukupi.

Namun, sebaiknya simpan duit anda dalam akaun Tabung Haji yang selebihnya jika perlu untuk dibelanjakan di Tanah Suci.

Ini kerana di Mekah dan Madinah, terdapat pusat-pusat Maktab yang mana kita boleh keluarkan duit kita dari akaun Tabung Haji di sana.

Buku Tabung Haji tak diperlukan untuk keluarkan duit. Hanya gunakan tag nama yang diberikan oleh pihak Tabung Haji sahaja untuk keluarkan wang di pusat Maktab Tabung Haji di sana. Mudah sahaja.

 

12. Dah Dapat Tarikh Penerbangan, Isteri Belum Dapat.

pengalaman haji muda

Selepas beberapa hari saya hantar surat pengesahan pergi Haji di Tabung Haji Jalan Tun Razak, saya telah menerima surat pengesahan tarikh penerbangan ke Mekah.

Pada kertas itu tertulis: XY18B

Yang mana tarikh penerbangan pergi adalah pada 2 Ogos 2017 ke Jeddah.

Tarikh penerbangan pulang pula adalah pada 15 September 2017 dari Madinah.

Ini bermakna, saya perlu berihram di dalam kapal terbang kerana saya masuk ke Mekah terlebih dahulu dan perlu ber-miqat di Qarn al-Manazil.

Saya akan berada di Tanah Haram selama 45 hari.

Satu nikmat tidak terhingga kerana dengan Tabung Haji, perbelanjaan sekitar RM10,000 yang dibayar kepada Tabung Haji boleh menampung hampir keseluruhan kos kita sepanjang berada di sana.

Selebihnya subsidi ditanggung oleh kerajaan.

Sepanjang tempoh nak menunggu tarikh penerbangan, saya kerap juga telefon pejabat Tabung Haji dan pergi ke Tabung Haji cawangan Batu Caves untuk tanya status terkini pendaftaran isteri saya.

Tempoh menunggu tidak terlalu lama. Juga dalam minggu yang sama isteri saya sudah menerima tawaran pergi Haji bersama mahram.

Alhamdulillah, kerana sepatutnya isteri saya berlepas lagi 90 tahun daripada sekarang.

Namun rezeki beliau boleh pergi bersama saya.

Untuk surat peruntukan pergi Haji mengiringi Mahram, anda boleh dapatkan format surat itu di sini:

Daripada:

Wan Ahmad Fadhil bin XXXXX XXXXXX,
+6 013 991 6967,
(Alamat).

Kepada:
Bahagian Operasi Domestik,
Lantai 30, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji,
201 Jalan Tun Razak,
50732 Kuala Lumpur.

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Tuan/Puan, 16.07.2017

PER: RAYUAN MENUNAIKAN IBADAH HAJI BAGI PENDAFTAR YANG PERNAH DIPANGGIL HAJI

Saya merupakan pendaftar haji yang berdaftar pada tarikh 10 Ogos 2003 dan telah dipanggil untuk menunaikan ibadah haji oleh pihak Tabung Haji pada tahun ini, 2017.  Saya telah menerima surat tawaran yang menyatakan saya terpilih untuk menunaikan ibadah haji bagi musim haji 1438H mengikut no rujukan JH***/***/1 JLD.12(**) pada surat tersebut.

Namun saya mempunyai isteri yang telah mendaftar haji dan mempunyai kewangan yang mencukupi, sihat tubuh badan dan bersedia untuk untuk turut serta bersama saya. Kami ingin mengambil kesempatan ini kerana saya merupakan mahram sah bagi beliau.

Oleh itu, selaku seorang pendaftar haji saya ingin membuat rayuan untuk peruntukan mempercepatkan tarikh untuk menunaikan ibadah haji bagi isteri saya bagi tahun ini.

Tahun 1438 Hijrah/2017 Masihi

Dilampirkan butir peribadi isteri saya seperti berikut:

Nama penuh: **** *****
No kad pengenalan: *******
No akaun TH: *******
No daftar: *******
Tarikh diperuntukkan: 1519H / 2096M

Timbang rasa pihak Tuan/Puan sangat dihargai. Saya akhiri dengan ucapan jazakumullahu khairanjazaa’.

Yang benar,

………………………….

WAN AHMAD FADHIL BIN XXXXXXXXX

Copy dan paste sahaja surat ini dan serahkan kepada pejabat Tabung Haji.

Hanya hantar surat ini jika anda sudah confirm dapat pergi Haji pada tahun ini.

 

13. Hari Perpisahan – Penerbangan Ke Mekah

pengalaman pergi haji muda

Hari perpisahan kami semua adalah pada 2 Ogos 2018.

Hari ini adalah hari yang sangat menghibakan dan membuatkan ramai ahli keluarga menangis.

Penerbangan kami dijadualkan pada waktu malam dan kami perlu berdaftar di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada pada jam 5.00 petang.

Ibu bapa saya telah rancang untuk kembali ke kampung halaman pada jam 12.00pm.

Segala barangan sudah disediakan.

Pakaian dan pampers anak-anak pun sudah siap.

Duit pun sudah diberikan kepada mereka.

Masuk jam 12.00pm, saya berikan kunci kereta saya kepada mereka untuk dibawa pulang ke kampung.

Anak kami yang ikut pulang ke Kuantan adalah ‘Abdurrahman, anak sulung yang baru berusia 2 tahun setengah.

Masa tu, saya ingat lagi. Dia masih lagi seolah-olah bayi yang baru nak besar.

‘Abdurrahman masa tu dah nak tidur.

Masa kereta ingin diundurkan, mata isteri dan mertua saya sudah kemerah-merahan menangis tidak tahan lagi emosi sebab ini kali pertama kami lepaskan anak kami bagi tempoh yang sangat panjang.

Bahkan, kedua-dua anak kami pula terpaksa dipisahkan.

Selepas solat Zuhur di masjid, saya pulang ke rumah dan sudah bersiap sedia untuk pergi ke Tabung Haji Kelana Jaya untuk daftar diri.

Setibanya kami di Kelana Jaya, suasana di sana tersangatlah ramai orang.

Sesak yang teramat sangat.

Semua orang nak hantar keluarga mereka pergi Haji.

Kelibat warga emas adalah yang paling ramai dalam keadaan sudah berihram dan bertelekung putih.

Saya pada masa tu masih lagi pakai T-Shirt dan seluar 3 suku. Huhu.

Kami tiba di pejabat Tabung Haji pada jam 3.30pm.

Pada masa tu, saya dan isteri nak daftar dah di kaunter pendaftaran tapi pegawai tidak izinkan daftar lagi sebab waktu pendaftaran kami yang telah dijadualkan adalah pada jam 5.00pm.

Oleh itu, tempoh 1 jam setengah itu kami habiskan untuk menunggu dan pada masa sama, keluarga terdekat juga datang untuk menziarahi kami.

Kami menunaikan solat Asar di surau Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Jangan risau, surau memang besar. Cuma tandas di sana sahaja yang agak limited.

Kalau boleh, selesaikan dahulu ‘hajat’ anda sebelum pergi ke sana sebab dikhuatiri tandas sangat ramai orang dan anda pun susah nak buang air di sana.

Ingat, antara ujian terawal anda untuk pergi Haji adalah semasa di Kompleks Tabung Haji tau.

Sebab dalam keadaan orang yang terlampau ramai, keadaan yang agak panas, anda akan mudah rasa stres dan rimas.

Itu baru di Kompleks Tabung Haji, belum lagi ke Masjidil Haram atau ke Arafah.

Proses yang perlu dilalui semasa di Kompleks Tabung Haji akan diceritakan pada poin yang seterusnya.

pengalaman pergi haji muda

Kami dipanggil masuk check in sekitar jam 6.30pm.

Masa tu pula, perasaan sedih datang sekali lagi kerana nak tinggalkan anak kedua kami yang masih kecil berusia hampir 11 bulan.

Masa kami nak pergi tu, suasana semakin hiba. Masa tu keluarga mertua dan adik beradik ipar yang ramai ada di sana.

Ramai antara mereka yang matanya sudah kemerah-merahan dan bergelinangan air mata. Mungkin sebab rasa sebak sangat.

Ayah mertua yang nampak gagah pun, first time saya tengok air mana menitis airmatanya.

Ibu-ibu mertua saya pula sudah teresak-esak (bukan saya ada 2 orang isteri tau, tapi isteri saya ada 2 ibu). Adik-adik ipar pun sama juga.

Semua melihat kepada Hafsah yang masih kecil itu.

Dia seolah-olah tak faham apa-apa, langsung tidak menangis. Bila saya dan isteri memeluknya pun, dia seolah-olah okay sahaja.

Mungkin itu antara ketenangan yang Allah turunkan kepada kami supaya tidak terlalu bersedih dan beremosi untuk tinggalkan anak-anak dan keluarga di Malaysia.

Alhamdulillah kedua-dua anak kami seolah-olah sudah bersedia untuk ditinggalkan di Malaysia.

Teringat pula kisah Nabi Ibrahim ketika baginda diwahyukan untuk meninggalkan anak dan isterinya di Mekah. Pada waktu itu, bandar Mekah pun belum wujud lagi. Sungguh tinggi tawakkal Nabi Ibrahim kepada Allah.

Saya harap agar anda semua kerap berdoa untuk diberikan kekuatan hati untuk tinggalkan keluarga di Malaysia.

Dan usahalah untuk baca dan tadabbur kisah Nabi Ibrahim dan sirah Rasulullah supaya kita dapat menghayati ibadah kita sepanjang kita berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

 

14. Kompleks Tabung Haji

pengalaman pergi haji muda

Jam 5.00pm di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, kami perlu pergi ke kaunter pendaftaran untuk daftar diri pergi Haji.

Masa ni memang ramai sangat orang. Hanya jemaah Haji sahaja yang boleh beratur. Selain daripada itu, semua orang lain tak boleh masuk walaupun untuk menemani jemaah Haji.

Sebelum masuk untuk daftar, pastikan semua dokumen kita sudah dibawa seperti pasport, buku perubatan dan lain-lain lagi.

Dan waktu pendaftaran wajib ikut waktu yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji.

Tak boleh lambat. Dan tak boleh awal sangat. Nanti pegawai tak bagi masuk.

Semasa daftar, jangan terkejut kalau staf Tabung Haji mula panggil anda ‘Haji’.

Rasa kekok pula, tiba-tiba orang panggil kita Haji. Haha.

Okay, lepas kita serahkan dokumen kita untuk diperiksa, segala dokumen kita akan diserahkan kembali kepada kita.

Selepas itu, staf Tabung Haji akan berikan kepada kita 2 buah beg, gelang tangan, name tag dan beberapa barangan untuk dibawa bersama ke Mekah nanti.

1 beg 5 Kg dan satu beg sandang.

Beg 5 Kg tersebut isinya kosong sahaja. Biasanya akan digunakan masa pergi ke Arafah nanti.

Tapi beg sandang tu pula ada banyak barang yang diberikan. Antaranya, ada kain kanvas multipurpose, spray antiseptic, topeng muka dan beberapa barang lain. Saya pun tak berapa ingat barang apa lagi yang diberikan.

Name tag dan gelang Haji tu wajib pakai terus. Jangan bertangguh.

Dan untuk jemaah Haji lelaki muda, jangan ego sangat nak tukar ihram dalam kapal terbang.

Pakai je terus kain Ihram satu set sebelum naik bas pergi KLIA.

Saya dulu pakai kain ihram bawah sahaja dan pakai T-Shirt sebelum masuk kapal terbang.

Ingatkan mudah kerja kita nanti, bahkan cara macam ni akan susahkan kita bila nak bertukar pakai kain Ihram semasa dalam kapal terbang.

Pakai je kain Ihram lengkap terus.

Nanti sebelum kita masuk check in dalam bangunan Tabung Haji, kita kena letak beg yang nak dimasukkan dalam kargo di yang telah disediakan. Manakala beg sandang kita boleh dibawa terus.

Air dan barang-barang tajam (seperti gunting dan pisau) tak boleh bawa dalam bag pack, sebab nanti air tu kena buang dan barang tajam kita pun kena rampas. Rugi sahaja kalau buang.

Sediakan spray wudhu, sejadah mini dan kompas kiblat (kalau ada jam kiblat lagi bagus) sebab kena expect nanti di tandas ada ramai sangat orang dan mungkin kita kena solat di tempat lain selain surau.

Okay, sambung cerita.

Lepas barang dah dihantar dan kita dah dipanggil masuk untuk check in, itulah masa untuk berlepas pergi.

Masa ni Tabung Haji pasang audio Talbiyah yang sangat sentimental dengan speaker besarnya.

“LabbaikAllahumma Labbaik, Labbaika Laa Syarikalaka Labbaikk. Innal Hamda Wa Ni’mata Laka Wal Mulk La Syarikalak”

Saya cuba nak tahan menangis pada waktu ni sebab dah mula terkenang dekat anak-anak.

Masa masuk je dalam bangunan Tabung Haji, jemaah Haji kena beratur untuk serahkan pasport kepada imigresen manakala bagasi pula perlu ditimbang.

pengalaman pergi haji muda

Dah malam, pukul 7 lebih pada waktu ni.

Tanya pada staf, boleh tak nak solat kejap. Staf Tabung Haji kata

“Tak boleh solat lagi kat sini. Nanti solat di KLIA sahaja jama’ Ta’khir”.

Kami pun akur sahaja.

Nasihat saya, jangan minum air kerap sangat, siap-siap pergi tandas untuk tunaikan hajat buang air besar/kecil, pakai ihram lengkap dan berwudhu sebelum naik bas pergi ke KLIA.

Sebab nanti bila dah sampai KLIA, semua orang berebut nak ke tandas dan nak berwudhu’.

Masa tu juga semua orang nak berkejar untuk solat. Nanti kita yang terlambat masuk kapal terbang.

Kesannya kalau lambat masuk kapal terbang nanti, kita tak boleh nak pilih tempat duduk di lokasi yang strategik.

Baik. Saringan kedua, bag pack kami di scan oleh pihak Kastam sebelum naik bas. Gunting saya dirampas. Sedih betul sebab gunting tu diperlukan nanti untuk bertahallul nanti.

pengalaman pergi haji muda

Bersama Abang Nabil

Kemudian barulah kami semua naik ke dalam bas.

Bas yang bawa kita tu nanti akan di-escort oleh motor-motor dan kereta-kereta polis sepanjang jalan tau.

Fuh, memang rasa macam VVIP. Langsung tak ada berhenti untuk tunggu traffic light dan sebagainya.

Kalau jalan tengah jam pun kita tersenyum sahaja sebab bas dibawa dengan lajunya.

Masa dalam bas tu, banyakkan berzikir kepada Allah.

Dalam kita menginsafi perpisahan kita dengan keluarga, syukuri nikmat yang kita sudah dipilih oleh Allah untuk pergi Haji.

Sebab, dalam dunia ni tak semua orang direzekikan untuk pergi Haji. Ada orang yang berduit atau tidak pun, kalau Allah tak izinkan dia tak akan dapat pergi.

Bila seseorang itu dapat panggilan Haji, maka yakinlah itu semua jemputan direct daripada Allah Ta’ala.

pengalaman pergi haji muda

Setibanya kami ke KLIA, kami semua tak masuk kapal terbang terus.

Maka inilah peluang terbaik untuk kami pergi solat dulu.

Masa ni, saya dan isteri tiada wudhu. Dan spray air pun tidak berisi sebab kena buang air sebelum naik bas.

Ramai betul orang serbu masuk ke dalam tandas.

Memang chance nak masuk tandas awal tu agak tipis.

Kami suami isteri antara yang lambat masuk kapal terbang, bagi peluang dekat warga emas dulu untuk ke tandas.

Masa ni, jemaah Haji perlu solat dalam KLIA di ruang menunggu atau kalau terlambat, kena solat dalam kapal terbang.

Saya ni tak berapa gemar nak solat dalam kapal terbang. Rela solat dulu sebelum masuk kapal terbang.

Kami solat di kawasan laluan orang, namun alhamdulillah ada bawa sejadah mini. Boleh solat terus walaupun tengah jalan.

Tapi yang menyedihkan sebab pada awalnya, saya tersilap kiblat. Huhu.

Lepas solat, kami terus masuk dalam kapal terbang.

Kapal terbang yang kami naiki bukanlah seperti yang dinaiki oleh ramai orang lain.

Standard kapal terbang yang biasa kita dengar jemaah Haji naiki adalah seperti Malaysia Airlines, Emirates dan sebagainya.

Kami naik kapal terbang biasa sahaja, tempat duduk pun standard macam Air Asia yang basic tu. Agak sempit dan sakit tengkuk sebab duduk dalam 8 ke 10 jam.

Tapi, tempat duduk adalah free seating. Boleh duduk mana-mana yang kosong.

Tips yang saya nak kongsikan bila tempat duduk free seating ni adalah pilih seat yang tak jauh dengan tandas (bukan terlalu dekat) dan jangan pilih seat bahagian tengah.

Jangan terkejut kalau sampai satu masa nanti, air dalam bilik air pun habis. Ini standard tau.

Kalau perlu solat fardhu dalam kapal terbang, solat sahaja.

Pastikan kita dah belajar cara nak solat dalam kapal terbang. Cari guru agama yang kita yakini ilmunya, tanya dan yakin sahaja dengan apa yang diajar olehnya.

Boleh juga rujuk di sini: https://www.youtube.com/watch?v=tvjYsfjl7Yc

Dan satu perkara lagi, anda wajib tahu di mana Miqat untuk jemaah Haji dari Malaysia yang terus ke Mekah. Apabila sampai di kawasan Miqat, dah tak boleh ada pakaian berjahit dan kopiah di tubuh badan anda (bagi lelaki). Dan kena niat paling lewat pun semasa kita berada di Miqat.

Miqat tu apa? Nanti boleh rujuk pada ustaz anda.

Pengalaman saya ketika tiba di Jeddah dan yang seterusnya akan dicoretkan dalam siri yang akan datang, insyaAllah.

pengalaman pergi haji muda

 

15. Duit Perbelanjaan Sebelum Pergi Haji?

Kos Haji keseluruhan ni anda perlu kira sebelum pergi Haji.

Kalau tambang Haji RM10,000, simpanan pun cukup-cukup RM10,000 maka hakikatnya anda masih belum mampu pergi Haji.

Sebab kos Haji bukan sekadar pada tambang sahaja. Bahkan ada kos-kos lain yang perlu anda tanggung.

Saya senaraikan beberapa kos supaya dapat bantu anda buat keputusan satu hari nanti.

a. Kos Haji – RM9980. Sepatutnya kos pergi Haji lebih RM20,000. Tapi sebab ada subsidi, kita hanya perlu bayar jumlah tersebut sahaja

b. Duit Belanja – Ikut kemampuan. Paling kurang, bawalah RM1000 untuk sarapan dan beli keperluan lain. Kalau ada lebih, tak salah bawa lebih. Boleh guna untuk makan, membeli barangan, bersedekah dan sebagainya.

Dan sebaiknya, bawa sedikit wang tunai yang telah ditukarkan ke Saudi Riyal. Selebihnya simpan sahaja dalam akaun Tabung Haji.

Sebab masa di Mekah dan Madinah nanti, boleh sahaja kita keluarkan duit kita di hotel Maktab. Akan ada tempat untuk mengeluarkan duit dan akan convert terus ke Saudi Riyal.

c. Duit Anak-Anak – Boleh sediakan untuk anak-anak ikut kemampuan kita. Duit tu nanti untuk dibelanjakan oleh penjaga untuk beli keperluan anak-anak juga nanti.

d. Upah Penjaga – Bila kita dah minta tolong orang jagakan anak kita, kita pun sebolehnya bersikap ihsan dengan para penjaga. Sediakan mereka sedikit duit upah supaya mereka pun rasa gembira.

e. Kos Barang Keperluan – Seperti yang telah ditulis di atas, beberapa ratus atau ribu ringgit perlu dibelanjakan untuk beri barang keperluan sebelum berangkat.

f. Kos-Kos Lain – Kos yang biasa kita belanjakan seperti sewa rumah, bayaran bulanan kereta, takaful, internet, bil telefon, bil air dan sebagainya. Sediakan duit lebih in advance supaya kos-kos ni dapat dibayar tanpa perlu bertangguh.

Ini antara perbelanjaan yang perlu disediakan.

Nak pergi Haji ni jangan takut sangat duit akan berkurangan. Allah akan ganti balik duit kita, yakinlah.

Biasa kalau nak pergi Haji ni, ada sahaja saudara mara dan kenalan kita yang akan hulur duit.

Terima sahaja, sebab memang duit sangat diperlukan semasa di Tanah Haram nanti.

Dan orang yang memberi kepada kita memang niatnya untuk dapat pahala berinfaq bagi anda yang nak pergi Haji.

TAMAT PART 1

Saya merupakan seorang konsultan jualan penapis air dan udara jenama Cuckoo. Selain daripada itu, saya gemar menulis dan berkongsi pengalaman hidup saya dengan anda semua. Saya juga suka berkongsi mengenai bisnes dan buku yang pernah saya baca. Tahun 2017, saya pergi menunaikan ibadah Haji. Saya turut kongsikan sebahagian tips berdasarkan pengalaman saya untuk Haji di usia muda.

error: Content is protected !!