Select Page
“Jangan buat sesuatu yang mana kelak kita perlu minta maaf kepada orang tersebut..”, kata Dr. Ibrahim Nuhu dalam kuliah Riyadhus Salihin malam semalam.
 
Meminta maaf apabila sudah melakukan kesalahan adalah satu perbuatan yang mulia.
 
Namun ada hikmah besar nasihat daripada Dr. Ibrahim Nuhu tersebut. Kerana menjaga perkataan dan perbuatan adalah termasuk sunnah Rasulullah ﷺ yang wajar diikuti sepanjang zaman.
 
Apabila perbuatan atau percakapan kita pada seseorang menyebabkan kita perlu minta maaf kepadanya, rasa hormat orang terhadap kita yang selayaknya akan terhakis.
 
Nilai hormat dan kemuliaan yang disebut ini adalah kemuliaan yang berasaskan Taqwa kepada Allah.
 
Bahkan jika perbuatan dan perkataan kita dijaga rapi, rasa ‘Izzah (kehormatan) terhadap diri kita akan lebih terpelihara.
 
Sungguh, nasihat ini nasihat yang selayaknya diperhatikan oleh setiap Muslim.
 
Lihat sahaja apabila kita lakukan temu janji, namun seringkali kita lambat dari masanya. Akan berkurang rasa hormat orang kepada kita. Bahkan kita perlu minta maaf sebab terlambat.
 
Lihat sahaja apabila kita tersilap kata yang membuat orang rasa kurang senang, akan berkurang rasa hormat kepada kita. Bahkan kita perlu minta maaf sebab tersalah kata.
 
__
 
Dr. Ibrahim Nuhu juga sebut ada terlalu banyak hikmah (wisdom) yang telah wujud dalam sunnah Rasulullah ﷺ yang sangat wajar diikuti sepanjang zaman.
 
Namun sayangnya Muslim kini lebih mencari-cari hikmah dan karakter yang wujud selain dari apa yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.
 
Ini adalah kerugian yang sangat besar buat kita kerana Hikmah yang dicari tersebut telah wujud dalam sunnah Nabi, bahkan ada barakah apabila kita ikut sunnah Nabi.
 
Hikmah ini hanya perlu digali dengan menghadiri ke majlis-majlis ilmu dan pada bacaan.
 
Semoga kita semua menjadi golongan yang sentiasa berusaha membina karakter, akhlak dan hikmah berasaskan sunnah Rasulullah ﷺ dalam kehidupan kita.
 
Wan Ahmad Fadhil.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: