Select Page

“Ayah ni asyik kerja je…”

Kata ‘Abdurrahman bila aku tengah pegang handphone atau menghadap laptop.

“Ayah main lah Lego dengan abang. Buatkanlah abang bangunan tinggi-tinggi. Duduklah sini ayah…”

Tapi seringkali aku abaikan permintaan si abang yang masih berumur 3 tahun setengah. Ye lah kan, aku ni kerja daripada rumah full time.

Kerjaya dan income yang aku terima sejak buat bisnes online pada aku agak membanggakan untuk aku. Alhamdulillah.

Aku orang yang bercita-cita tinggi. Namun, apabila kita terlalu ‘hustle’ untuk dapat kejayaan demi kejayaan yang ingin dicapai. Maka ada sesuatu yang perlu kita korbankan dalam hidup ni.

Masa.

Si abang pula dah semakin besar dan makin kuat merajuk. Tak boleh kena marah sikit. Huhu.

Kalau si abang buat mainan bersepah, especially dalam bilik kerja aku. Ada masanya aku naik marah juga. Sebab itu bilik perang aku.

Kalau tengah sibuk, aku minta mereka keluar bilik. Itu pun abang dan adik ketuk-ketuk bilik perang aku sebab nak masuk juga.

Bila kena marah, mula lah si abang buat mulut muncungnya dan tangannya disilangkan. Kemudian dia pusing ke belakang dan kata:

“Tak nak kawan ayah… Ayah duduk sana sorang-sorang…”, dan mula menangis.

Kau tahu bila kau orang yang sangat passionate dalam apa yang kau buat, ada masa anak kau merajuk dan menangis pun kau tak dapat nak handle.

Dan kau biarkan dia pergi dekat ibu dia. Bukan sebab kau tak boleh nak pegang dia, tapi pada masa tu kau terpaksa utamakan kerja lagi.

Petang semalam pula, si abang sepahkan blocks dan mainan di ruang tamu. Abang sangat suka main air. Dia ambil air guna bekas daripada penapis air di rumah. Kemudian dia tuang pada buku dan bekas letak mainan blocks yang diperbuat daripada kotak.

Pada awalnya memang rasa nak marah. Sebab kesian kat ibunya yang seharian melayan karenah anak-anak. Pada masa sama, dia pun banyak bantu aku buat kerja sales juga. Tapi aku paksa diri untuk kawal diri aku, cakap pada ‘Abdurrahman (dengan nada yang agak tinggi), “Abang! Kenapa buat air tumpah macam tu. Ambil kain dan lap basah tu!”

Si abang dengan muka rasa bersalah lap kawasan basah tu. Kemudian sekali lagi dia kata kat aku,

“Taknak kawan ayah…!” dan pergi ke kawasan terpencil belakang sofa. Itulah tempat si abang selalu menyorok bila merajuk, atau bila rasa guilty.

Lepas 5 minit je, tengok dia dah tidur. Penat sangat bermain seharian semalam.

Aku rasa aku seorang ayah yang agak garang juga, kot.

Banyak perkara yang jika Allah buang hijab ‘aib tersebut daripada aku, memang aku masukkan kepala aku dalam tanah.

Sebab kadang-kadang, diri kita yang buat anak-anak kita terkesan secara fizikal dan mental.

Dah beberapa kali anak aku tidur dalam keadaan menangis disebabkan diri aku kerja sampai tengah malam. Dan bila si abang dah tidur, masa itu aku mula rasa nak menangis bila lihat raut wajahnya.

Monolog diri aku, “Comelnya budak ni, darah daging aku. Tapi kenapalah aku tergamak abaikan dia? Sedangkan dia nak aku peluk dan sayang dia je”

Aku akui aku bukan seorang ayah yang hebat dan penyabar seperti ayah-ayah yang lain. Kawan-kawan aku banyak aku nampak cool je.

Walaupun dulu belajar di UIA (dan di sana baru first time belajar lifestyle yang agak Islamik), pergi lah juga ke majlis ilmu sekali sekala, suka juga dengar video kuliah agama, ceramah pendidikan anak, circle aku ramai ustaz (kecuali aku) dan aktivis agama, namun itu tak menjadikan aku hebat tarbiyah dan mendidik anak.

Tapi aku tahu di mana kelemahan dan kesilapan aku. Dan semua ni bukan untuk dicontohi.

Tujuan aku share ni sebab nak share adalah nak bagitahu bahawa sebenarnya anak-anak kita sangat perlukan kita.

Dalam kesibukan kita dalam urusan dunia siang dan malam, anak kita juga sangat perlukan ayahnya untuk bermain dengan mereka, belajar bersama-sama, ketawa bersama-sama, makan bersama-sama dan pelbagai aktiviti lain bersama-sama.

Pernah tak bila kita bermain dengan anak kita, dan anak kita tergelak riang dan kita terasa sangat bahagia dalam hati?

Pasti pernah.

Bila kau bagi masa untuk anak-anak, bukan mereka sahaja akan gembira. Bahkan isteri kau akan jadi manusia paling gembira.

Sebab itulah masa untuk dia berehat, untuk uruskan diri, memasak dan tak dengar anak menangis meminta-minta sesuatu.

Bila aku pilih untuk utamakan anak, bukan bermaksud aku perlu tinggalkan cita-cita aku.

Bahkan itu bermaksud aku perlu korbankan masa rehat aku, masa main FB, tengok YouTube dan perkara-perkara lagha lain untuk bersama bina bonding time dengan anak. Masa lain tu boleh digunakan untuk hustle habis-habisan sampai kaya dan berjaya. Hoho.

Ingat Fadhil, pelaburan yang paling mahal dalam hidup kita bukanlah pelaburan duniawi semata-mata. Bahkan pelaburan masa, akal fikiran, wang dan tenaga kita untuk menjadikan anak-anak kita manusia yang ‘manusiawi’, baik dan bertaqwa itulah yang lebih berharga dan berkekalan hingga ke hari akhirat.

Ini nota dan peringatan untuk diri aku sendiri.

Fadhil,

Ayah sibuk berkerja dari rumah.

____

Sila share jika bermanfaat

Saya merupakan seorang konsultan jualan penapis air dan udara jenama Cuckoo. Selain daripada itu, saya gemar menulis dan berkongsi pengalaman hidup saya dengan anda semua. Saya juga suka berkongsi mengenai bisnes dan buku yang pernah saya baca. Tahun 2017, saya pergi menunaikan ibadah Haji. Saya turut kongsikan sebahagian tips berdasarkan pengalaman saya untuk Haji di usia muda.

error: Content is protected !!