Select Page
Riyadhus Salihin – Memenuhi Hajat Orang Lain…

Riyadhus Salihin – Memenuhi Hajat Orang Lain…

Setiap insan pasti mempunyai hajat keperluan, namun ada masanya tidak tercapai atas sebab tertentu.

Hakikatnya, bukan semua orang dikurniakan dengan kecukupan dan terbeban dengan pelbagai masalah yang ada kalanya seolah tiada jalan keluar pada masa itu.

Namun Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk agar kita mempunyai jiwa yang suka membantu dan usaha untuk penuhi keperluan orang lain.

Dalam kuliah Riyadhus Solihin hari ini Dr. Ibrahim Nuhu berkongsi syarahan hadis berkenaan bab ‘Memenuhi Hajat Kaum Muslimin’, antaranya:

Dari Ibnu ‘Umar, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وَمَنْ كَانَ فِى حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِى حَاجَتِهِ

“Siapa yang biasa memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan sentiasa menolongnya dalam hajatnya.” (HR. Bukhari no. 6951 dan Muslim no. 2580).

Bagaimana kita berinteraksi dengan (hajat) saudara se-Islam kita, begitulah Allah ﷻ akan berinteraksi dengan (hajat) keperluan kita.

Lebih banyak kita menghulurkan tangan untuk membantu, lebih banyak yang Allah ﷻ akan bantu dan permudahkan urusan hidup kita.

Dan kita tidak akan melalui sesebuah kesusahan dalam hidup kita melainkan Allah ﷻ akan akan tunjukkan kita jalan keluar.

__

Bahkan bagi kita yang membantu juga Allah ﷻ menjanjikan kita kemudahan di hari akhirat kelak.

Dan bagi setiap Mukmin, itulah harapan terbesar kita agar kita diselamatkan daripada ujian yang lebih dahsyat pada hari tersebut.

Siapa yang boleh ‘gerenti’ pada hari akhirat kita akan dihisab dengan hisab yang ringan?

Pada hari tersebut, para Nabi dan Rasul yang maksum dijanjikan syurga pun dalam keadaan yang sangat takut akan kemurkaan Allah. Apatah lagi kita?

Maka kita berharap agar usaha kita tersebut kesusahan, keperitan kita akan diringankan dan dimudahkan. Dan menjadi modal kita untuk ke syurga kelak.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنِ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Barangsiapa menghilangkan satu kesulitan seorang Mukmin dari kesulitan-kesulitan dunia, maka Allah akan menghilangkan kesulitan darinya dari kesulitan-kesulitan di hari Kiamat.” (HR Muslim)

Benarlah bagi tangan yang memberi, tiada apa yang ‘hilang’ daripada kita melainkan Allah ﷻ akan kurniakan kemudahan dan keuntungan kepada kita dunia dan akhirat.

Sikap suka bantu urusan orang lain juga akan jauhkan diri kita dari sifat pentingkan diri sendiri. Dan perasan tak, mereka yang ringan tulang dan suka membantu inilah yany biasanya lebih mudah disenangi.

Semoga Allah kurniakan kita dengan hati yang lembut, ringan tulang untuk membantu orang lain.

~ Nota kuliah Riadussolihin,
29 Oktober 2019,
Masjid SHAS, UIAM.

Riyadhus Salihin – Menutup Aib Muslim Yang Lain

Riyadhus Salihin – Menutup Aib Muslim Yang Lain

Semasa kuliah Riyadhus Salihin semalam, masuk bab ‘Menutup Aib Kaum Muslimin dan Larangan Menyiarkan Tanpa Alasan Yang Mendesak’.

Dalam mensyarahkan hadis-hadis dalam bab ini, Dr. Ibrahim Nuhu sebut berkenaan dosa-dosa mahupun aib saudara se-Islam kita tidak perlu dihebahkan, tak perlu dikongsikan kepada sesiapa pun.

Pengecualian hanya sekiranya ada keperluan yang mendesak menyebabkan aib seseorang itu perlu dibongkarkan untuk kemaslahatan umum.

Termasuk larangan untuk menyebarkan aib seseorang muslimin juga adalah untuk rahsiakan dosa-dosa PERIBADI yang pernah kita lakukan suatu ketika dahulu.

Sekiranya ada dosa, ada aib yang pernah kita buat dan tiada siapa yang tahu. Itu adalah kerana Allah telah selamatkan kita daripada aib tersebut.

Maka simpanlah ‘rahsia’ itu hanya antara kita dengan Allah. Jangan heboh, jangan kongsi, jangan buat public announcement berkenaan dosa tersebut.

Yang penting, wajib bertaubat daripada dosa yang telah dilakukan tersebut dan tidak mengulanginya lagi. Tanpa taubat yang sebenar, dikhuatiri penghujung hidup (kematian) kita akan berakhir hina dengan dosa yang kita lakukan tersebut, walaupun sebelumnya dosa tersebut tidak pernah diketahui oleh sesiapa sekalipun.

__

Dalam dunia moden sekarang, penyebaran aib, bercerita mengenai aib dan dosa seseorang, buat dosa secara terang-terangan semakin berleluasa dan ia seolah-olah perkara normal dalam kehidupan kita hari ini.

Hanya dengan mengikuti sunnah baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka akhlaq kita akan terpelihara.

Moga Allah lindung lidah kita daripada menyebut dan menyebarkan dosa diri sendiri dan orang lain tanpa sebab.

#SelfReminder

Riyadhus Salihin – Menjaga Kemuliaan Diri Sebagai Seorang Muslim

Riyadhus Salihin – Menjaga Kemuliaan Diri Sebagai Seorang Muslim

“Jangan buat sesuatu yang mana kelak kita perlu minta maaf kepada orang tersebut..”, kata Dr. Ibrahim Nuhu dalam kuliah Riyadhus Salihin malam semalam.
 
Meminta maaf apabila sudah melakukan kesalahan adalah satu perbuatan yang mulia.
 
Namun ada hikmah besar nasihat daripada Dr. Ibrahim Nuhu tersebut. Kerana menjaga perkataan dan perbuatan adalah termasuk sunnah Rasulullah ﷺ yang wajar diikuti sepanjang zaman.
 
Apabila perbuatan atau percakapan kita pada seseorang menyebabkan kita perlu minta maaf kepadanya, rasa hormat orang terhadap kita yang selayaknya akan terhakis.
 
Nilai hormat dan kemuliaan yang disebut ini adalah kemuliaan yang berasaskan Taqwa kepada Allah.
 
Bahkan jika perbuatan dan perkataan kita dijaga rapi, rasa ‘Izzah (kehormatan) terhadap diri kita akan lebih terpelihara.
 
Sungguh, nasihat ini nasihat yang selayaknya diperhatikan oleh setiap Muslim.
 
Lihat sahaja apabila kita lakukan temu janji, namun seringkali kita lambat dari masanya. Akan berkurang rasa hormat orang kepada kita. Bahkan kita perlu minta maaf sebab terlambat.
 
Lihat sahaja apabila kita tersilap kata yang membuat orang rasa kurang senang, akan berkurang rasa hormat kepada kita. Bahkan kita perlu minta maaf sebab tersalah kata.
 
__
 
Dr. Ibrahim Nuhu juga sebut ada terlalu banyak hikmah (wisdom) yang telah wujud dalam sunnah Rasulullah ﷺ yang sangat wajar diikuti sepanjang zaman.
 
Namun sayangnya Muslim kini lebih mencari-cari hikmah dan karakter yang wujud selain dari apa yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.
 
Ini adalah kerugian yang sangat besar buat kita kerana Hikmah yang dicari tersebut telah wujud dalam sunnah Nabi, bahkan ada barakah apabila kita ikut sunnah Nabi.
 
Hikmah ini hanya perlu digali dengan menghadiri ke majlis-majlis ilmu dan pada bacaan.
 
Semoga kita semua menjadi golongan yang sentiasa berusaha membina karakter, akhlak dan hikmah berasaskan sunnah Rasulullah ﷺ dalam kehidupan kita.
 
Wan Ahmad Fadhil.

error: Content is protected !!