Select Page
Dr. Yasir Qadhi – 11 Tips Praktikal Untuk Hafal Al-Quran (Nota Kuliah)

Dr. Yasir Qadhi – 11 Tips Praktikal Untuk Hafal Al-Quran (Nota Kuliah)

Syeikh Dr. Yasir Qadhi merupakan seorang ilmuan dari negara barat yang sangat saya kagumi. Kepakaran beliau adalah dalam Aqidah dan juga sejarah.
 
Beliau pernah ceritakan bagaimana beliau mula menghafal al-Quran pada usia muda. Dan kaedah beliau menghafal al-Quran bukanlah melalui mana-mana madrasah atau pusat Tahfiz al-Quran.
 
Bahkan jasa ayahnya yang bertegas agar beliau menghafal al-Quran dan sanggup carikan guru untuk beliau hafal al-Quran walaupun tidak melalui madrasah. Cerita ringkas saya share di sini: http://tiny.cc/bx7o6y
 
Dalam siri video beliau mengajar ilmu tajwid bagi program Sefratul Keram, beliau kongsikan beberapa langkah praktikal untuk kita mula menghafal al-Quran. Bahkan ia juga praktikal walaupun bagi kita yang sudah berkerja.
 
(PENTING: pastikan anda mempunyai guru atau cari guru untuk hafazan al-Quran)
 
Apakah kelebihan menghafal al-Quran? Sudah tentu banyak sekali. Antaranya kedudukannya semakin tinggi di dalam syurga kelak.
quran madinah free original

Al-Quran Madinah (Original)

 
Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
 
يقال لصاحب القرآن اقرأ وارتقِ، ورتل كما كنت ترتل في الدنيا، فإن منزلك عند آخر آية تقرؤها
 
“Akan dikatakan kepada shahibul Qur’an (di akhirat) : bacalah dan naiklah, bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membaca dengan tartil di dunia. Kerana kedudukanmu tergantung pada ayat terakhir yang engkau baca” (HR. Abu Daud 2240, disahihkan oleh Al Albani).
 
Bahkan, menghafal al-Quran juga merupakan tradisi para ilmuan Islam sejak dahulu lagi kerana al-Quran adalah sumber utama kepada segala ilmu.
 
Saya kongsikan di bawah ini adalah salinan nota daripada video yang saya catit untuk diri sendiri. [saya bukan hafiz al-Quran]
 
Beliau bahagikan kepada 2 faktor: Faktor Spiritual dan Faktor Fizikal

 

Al-Quran Madinah (Original)

[A – FAKTOR SPIRITUAL]

 

1 – IKHLAS

Pastikan jika kita ingin menghafaz al-Quran maka pasakkan dalam hati anda lakukannya semata-mata kerana Allah.
 
Sekiranya kita ikhlas hafal al-Quran kerana Allah, maka Allah akan redha dan beri keberkatan kepada usaha kita.
 
Menghafal al-Quran kerana selain Allah (tanpa ikhlas) akan menghilangkan redha Allah, bahkan usaha tersebut tidak akan diberkati.
 
Namun apabila Allah redha dengan kita, nescaya ia akan diberkati dan usaha kita untuk ingat kalam Allah akan menjadi lebih mudah.
 

2 – RENDAH DIRI

Sedarlah apa yang anda cuba hafaz itu adalah Kalam Allah, bukan perkataan makhluk.
 
Maka selayaknya kita hadirkan rasa kagum dalam hati kita untuk menghafaznya. Apabila kita rendah diri dan benar-benar hargai al-Quran dalam diri kita, Allah akan mudahkan jalan kita untuk pasakkan al-Quran dalam hati kita.
 
Banyakkan mengkaji kelebihan-kelebihan al-Quran, mukjizat al-Quran, kelebihan membaca al-Quran.
 
Dan bacalah juga apakah ancaman sekiranya kita tidak ikhlas dalam usaha tersebut kerana ia dapat membantu kita untuk mencapai rasa rendah diri terhadap al-Quran dan mendatangkan keikhlasan kepada Allah.
 
Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menceritakan kelebihan-kelebihan tersebut.
 

3 – BERDOA

Doa adalah senjata mukmin. Jika wujud segala kesusahan yang kita hadapi dalam hidup, maka angkatlah tangan dan berdoa kepadaNya. Firman Allah dalam surah Ghafir:
 
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…” (Surah Ghafir – 60)
 
Tiada sebarang doa spesifik untuk hafal al-Quran.
 
Boleh doa kepada Allah, “Ya Allah mudahkanlah urusanku untuk menghafal al-Quran..”, “Ya Allah jadikanlah al-Quran sebagai syafaat buatku di hari akhirat. Jadikanlah ia hujah untukku di hari akhirat kelak..”

4 – TINGGALKAN DOSA

Bagi setiap penuntut ilmu agama, dosa merupakan faktor kritikal yang perlu diawasi.
 
Ini kerana faktor ingatan kita kepada ilmu sangat berkait rapat dengan dosa-pahala.
 
Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata,
 
شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي
“Aku pernah mengadu kepada Waki’ tentang teruknya hafalanku. Lalu beliau menunjukiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahukan padaku bahawa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat.” (I’anatuth Tholibin, 2: 190).
 
Maka tinggalkanlah sebanyak mungkin dosa daripada kehidupan kita agar kalam Allah mudah untuk dihafal.
 

5 – PRAKTIKKAN AL-QURAN DALAM HIDUP

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam merupakan insan yang paling mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan. A’isyah radhiallahu ‘anha berkata,
 
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
 
“Akhlak beliau adalah Al-Quran” [HR. Muslim no. 746, Abu Dawud no. 1342 dan Ahmad 6/54]
 
Mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan dapat membantu proses kita dalam menghafal al-Quran kelak.
 
Selain itu, tinggalkanlah muzik daripada kehidupan kita. Al-Quran dan Muzik tidak akan bergabung dalam hati orang yang cintakan al-Quran.
 

[FAKTOR FIZIKAL]

 

1 – HAFAL PAGI

Waktu pagi adalah waktu yang mana otak dan jasad kita dalam keadaan yang paling segar.
 
Kita akan lebih mudah hafal pada waktu pagi.
 
Bahkan waktu pagi lebih berkat sepertimana doa Nabi kita
 
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا
 
“Ya Allah, berkatilah umatku di waktu paginya.” (HR. Abu Daud no. 2606, Tirmidzi no. 1212 dan Ibnu Majah no. 2236. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih)
 
Carilah masa untuk kita hafal di waktu pagi. Jika kita pergi kerja jam 7.00 pagi, luangkan 30 minit sebelum pergi kerja untuk hafazan.
 

2 – GUNA SATU AL-QURAN SAHAJA

Pilih hanya satu al-Quran sahaja untuk tujuan hafalan. Jangan bertukar-tukar.
 
Ini kerana apabila menghafal, bukan sahaja kita menghafal al-Quran. Bahkan kita hafal di mana tempat-tempat spesifik dalam al-Quran.
 
Tanyalah mana-mana Hafiz al-Quran mana-mana ayat al-Quran, pasti mereka tahu kedudukan ayat tersebut di mana: Atas, bawah, tengah dsb.
 

3 – KONSISTEN

Pastikan kita konsisten dengan jumlah hafazan kita setiap hari, konsisten dengan ulangan setiap hari, konsisten hanya dengan satu al-Quran, konsisten dengan tempat dan masa untuk menghafal.
 
Jika kita hafal 5 baris sehari, maka teruskan setiap hari. Jangan skip walaupun sehari.
 
Lebih banyak kita hafal maka akan proses seterusnya akan jadi lebih mudah kerana otak kita semakin biasa dan terlatih dengan hafalan.
 

4 – HAFAL DI TEMPAT YANG TENANG

Sediakan satu tempat atau bilik yang mana kita boleh fokus untuk hafal al-Quran.
 
Pastikan tempat tersebut senyap tanpa sebarang gangguan. Dan tinggalkanlah telefon.
 
Cipta suasana yang dapat bantu anda untuk fokus tanpa sebarang gangguan.
 

5 – FAHAMI AL-QURAN

Selain daripada membaca dan menghafal, usahalah juga untuk fahami apa yang ingin dihafal.
 
Baca terjemahannya. Baca tafsirnya. Bila kita faham, proses hafalan akan jadi lebih mudah untuk kita.
 

6 – BACA AL-QURAN DALAM SOLAT

Ini antara perkara yang sering dilupakan.
 
Untuk kuatkan memori hafazan kita, uji diri kita dalam solat. Baca apa yang kita sudah hafal dalam solat.
 
Di situ kita akan jumpa di mana tempat yang hafalan kita kuat, dan tempat yang kita lemah. Maka bila terjumpa tempat yang kita lemah maka perbaiki tempat tersebut.
 
___
 
Semoga nota ini bermanfaat buat kita semua dan dapat diamalkan dalam kehidupan. Dan semoga Allah jadikan kita sebahagian daripada ahli al-Quran dan tetapkan hati kita bersama al-Quran dengan penuh keikhlasan hingga ke akhir hayat.
 
Link video asal: https://youtu.be/BCk4yKFFgrw (Practical Steps For Memorizing The Quran)
 
Wan Ahmad Fadhil,
15 Mei 2019 | 10 Ramadan 1440H
Gombak
Al-Quran Madinah Original / Asli Percuma? Di Mana?

Al-Quran Madinah Original / Asli Percuma? Di Mana?

Mushaf al-Qur’an Madinah cetakan Kompleks Raja Fahd (semakan nama diperlukan):
Inilah mushaf berkulit hijau gelap yg digunakan secara meluas dan menjadi pilihan kebanyakkan jemaah di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, disamping mushaf berkulit biru gelap (khat arab yg tebal, setahu hamba yg daif ni dipanggil Qur’an Majid, mohon perbetulkan sekiranya salah) yg dilihat menjadi pilihan bagi jemaah-jemaah dari benua India, Pakistan, Bangladesh dan yg sewaktu dengannya. Mushaf yg ada pada hamba ini bukan yg dapat secara percuma, bahkan dibeli di Abraj al-Bayt (Kompleks Beli Belah Menara Jam Mekah).

Cuma ingin dikongsikan, mushaf ini boleh diperolehi secara percuma di lokasi-lokasi khas sekitar dua masjid ini. Bukan senaskah, bahkan boleh dapat sehingga 20 naskah (banyak tu), DENGAN SYARAT: untuk diwakafkan di masjid di tanahair masing-masing, bukan untuk kegunaan peribadi.

Jika di Masjidilharam, agihan dibuat setiap hari (waktunya lupa jam berapa, yg pastinya sebelah pagi sekitar jam 8 pagi) di bilik sebelah luar bangunan berhampiran Bukit Marwah (berdekatan bilik cas skuter tawaf). Mungkin ada lagi lokasi-lokasi lain, itu di luar pemerhatian & pengetahuan hamba. Perlu beratur, boleh jadi barisan panjang atau pendek, ikut rezeki masing-masing.

Al-Quran Madinah (Original)

Jika di Masjid Nabawi, agihan juga dibuat setiap hari seawal jam 8 pagi (meskipun di skrin LCD masjid nyatakan jam 10 pagi) di pintu nombor 18 bilik kecil sebelah dalam masjid. Jemaah yg beratur akan diminta oleh pegawai masjid utk menunjukkan tag haji masing-masing dan bersedia utk ditebuk dengan penebuk lubang sebagai bukti pernah mengambil sumbangan mushaf wakaf. Jemaah nusantara akan ditanya soalan ‘masjid/rumah?’ sebagai ingatan kesemua mushaf yg diterima bukan utk kegunaan peribadi. Jika tersilap jawab ‘rumah’, maka bersedialah utk diberi syarahan oleh pegawai tersebut 🙂 ..Jika dapat giliran awal, jemaah akan memikul keluar sebiji kotak berwarna putih yg terdapat di dalamnya 20 mushaf al-Qur’an Madinah. Jika giliran belakang, jemaah hanya akan mendapat seikat al-Qur’an yg bercampur sama ada mushaf Madinah hijau gelap atau biru gelap atau mushaf yg tak diketahui edisi mana. Jadi terimalah seadanya atau serahkan pada jemaah negara lain yg benar2 memerlukan mushaf tersebut utk dimanfaatkan, khususnya mushaf biru gelap yg mungkin kurang digunakan misalnya di Malaysia.

Al-Quran Madinah (Original)

NOTA:
Bagi wakaf mushaf al-Qur’an Madinah di Masjidilharam, hamba kurang pasti mana satukah kaedah yg paling berkesan. Ada yg mengingatkan supaya tidak beli sendiri dan letak sendiri di rak2 al-Qur’an dalam Masjidilharam kerana dikhuatiri silap naskah dan bakal dikeluarkan oleh petugas2 masjid. Ada yg wakilkan kepada pegawai TH, ada yang wakilkan pada ustaz-ustaz mutawif tempatan yg berkhidmat dengan TH. Semuanya dengan harapan supaya mushaf tersebut kekal berada dalam rak-rak dalam masjid dan dimanfaatkan oleh jemaah yg hadir agar menjadi amal jariah yg berkekalan, ditambah pula pahala 100,000 kali ganda yg dijanjikan. Moga2 Allah menerima niat ikhlas setiap jemaah yg mengeluarkan belanja utk wakaf al-Qur’an, sama ada utk diri sendiri ataupun kiriman sahabat handai di tanahair.

Al-Quran Madinah (Original)

Bagi wakaf mushaf al-Qur’an Madinah di Masjid Nabawi, hamba kira perkongsian Tn Hj Mohd Khairul Muhamed (jazahullah khairan) ini sudah amat memadai:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156134495297585&id=591812584

Kredit 1 (Penulis): https://www.facebook.com/ridzuan.zukifly

Kredit 2 (Gambar): https://www.facebook.com/khairul.mohd.33/posts/10156134495297585/

Kasih Sayang Fir’aun Kepada Nabi Musa

Kasih Sayang Fir’aun Kepada Nabi Musa

Sewaktu Nabi Musa masih bayi, Fir’aun memerintahkan bala tenteranya untuk membunuh anak-anak kecil lelaki dan membiarkan hanya yang wanita.

Kerana dia takut jika satu hari nanti ada pemuda yang akan menumbangkan kerajaannya yang agung pada masa itu.

Namun ketika isteri Fir’aun menemui nabi Musa yang masih bayi, rasa kecintaan kepada Musa membuatkan baginda Nabi tidak dibunuh walaupun dialah yang dicari-cari selama ini untuk dibunuh.

Bahkan keluarga Fir’aunlah yang menjaga dan membesarkannya hingga dewasa dengan penuh kasih sayang.

Dr. Ibrahim Nuhu selalu sebut dalam kuliahnya di Masjid UIA sebelum ni, kuasa Allah, hanya dengan menghantar rasa kasih sayang ke dalam hati Fir’aun dan keluarganya untuk dijadikan ‘tenteraNya’ untuk menewaskan kerajaan Fir’aun.

Sungguh, dalam al-Quran ada banyak kisah-kisah yang Allah Ta’ala sajikan untuk menguatkan keimanan dan jati diri manusia.

Cuma kita sahaja yang seringkali melalaikannya daripada hidup kita.

Sama-sama kita usaha, baca al-Quran dan terjemahannya. Juga hadirlah juga ke majlis ilmu tadabbur dan tafsir al-Quran untuk faham mesej Allah buat hambaNya.

Fadhil,
Nak faham al-Quran

Kisah Dr Yasir Qadhi Ditarbiyah Oleh Ayahnya

Kisah Dr Yasir Qadhi Ditarbiyah Oleh Ayahnya

Dr. Yasir Qadhi pernah cerita mengenai bagaimana ayahnya tarbiyah beliau sewaktu usia muda remaja.
 
Ayahnya agak strict jika muzik dipasang di dalam rumah.
 
Sebabnya ayahnya nak Dr. Yasir untuk hafaz al-Quran dan pastikan suasana rumah se-Islamik yang mungkin.
 
Maka, jika Dr. Yasir ingin mendengar lagu dan muzik maka pada usia muda itu beliau perlu pasang muzik dengan begitu perlahan supaya ayahnya tak tahu beliau sedang dengar muzik.
 
Namun jika ayahnya tahu beliau dengar muzik maka itu akan mengundang kemurkaan ayahnya.
 
Ayahnya bertegas supaya Dr. Yasir mesti habiskan hafazan al-Quran juga pada usia muda.
 
Tak kisah kalau tak nak masuk madrasah pun tak mengapa, nak main dengan kawan-kawan waktu petang tak apa, nak buat apa-apa aktiviti lain pun tak mengapa, yang penting kena hafal al-Quran.
 
Ayahnya sanggup cari Imam untuk mendengar bacaan hafazan al-Quran beliau.
 
Dr. Yasir pada masa tu rasa ‘tak suka’ sebab terpaksa juga hafaz al-Quran.
 
Namun, ayahnya bagi beliau pilihan. Beliau boleh pilih masa sendiri bila yang beliau nak jumpa dengan guru hafazan al-Quran.
 
Selepas habis persekolahan, beliau sambung pelajarannya di universiti dalam bidang Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering).
 
Namun atas sebab tertentu, lepas habis belajar Chemical Engineering, beliau pergi semula ke Arab Saudi pula untuk sambung pengajiannya dalam bidang pengajian Islam di Universiti Islam Madinah.
 
Beliau kata, “Aku rasa sangat terhutang budi dengan ayahku kerana telah ‘memaksa’ aku menghafaz al-Quran semasa aku remaja dahulu”. Dengan al-Quran yang tersemat dalam hati itulah kini beliau telah menjadi seorang ‘Islamic Scholar’ yang hebat dan sangat mahsyur di negara barat.
 
Begitulah, walaupun sekarang terlalu banyak ‘mazhab’, ada kelompok yang terlalu memaksa untuk hafaz al-Quran, ada yang kata “Jangan paksa anak”, dan ada juga yang meremehkan mereka yang hafaz al-Quran dengan berkata “Apa gunanya hafaz al-Quran ‘tak faham’?”.
 
Akhir sekali, aku rasa aku sendiri sebagai parent yang perlu bantu anak-anak aku bermula sekarang, dan aku sendiri perlu TAHU kenapa aku pilih cara didikan tertentu.
 
Bukan semata-mata sebab ikut cara orang.
 
Yang penting aku kena jadi parent yang PEDULI pasal anak, tahu keperluan mereka dan bagaimana aku boleh bantu mereka.
 
Aku suka cara Dr. Yasir cerita bagaimana beliau ditarbiyah oleh ayahnya, sebab hakikatnya beliau diberi kebebasan untuk buat apa sahaja, belajar apa sahaja. Yang penting kena Hafaz al-Quran.
Tips Hafazan Al-Quran: 12 Rahsia Mereka Berjaya Hafaz Sempurna

Tips Hafazan Al-Quran: 12 Rahsia Mereka Berjaya Hafaz Sempurna

Tips Hafazan Al-Quran: 12 Rahsia Mereka Berjaya Hafaz Sempurna

Seringkali kita dengar dan terkagum-kagum dengan mereka yang berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran sehingga 30 juzuk. Tidak kurang, saya dan anda sendiri juga pasti ada keinginan yang tinggi untuk dapat hafal al-Quran dengan sempurna sebelum meninggal dunia!

Sebahagian mereka telah menghafaz al-Quran pada usia yang sangat muda. Seperti adik Musa bin Hanafi dari Indonesia yang menghafal al-Quran sebanyak 29 Juz pada usia 6 tahun.

Ada juga yang bermula ketika usia yang tua seperti kisah Ummu Shalihah ini yang mula menghafal al-Quran pada usia 70 tahun (Rujukan: febryan77.wordpress.com/)

Dan ramai yang mula menghafal pada usia muda seusia 9 tahun hingga 25 tahun kerana mereka bersekolah di madrasah, ma’had tahfiz atau melanjutkan pengajian Islam di IPT. Ketika inilah usia yang paling sesuai kerana mudah untuk ‘serap’ dan ingat apa yang dipelajari dan dihafaz.

Rasululah sallallahu ‘alaihi wa sallam juga diturunkan wahyu kepada baginda pada usia 40 tahun sehingga wafat pada usia 63 tahun.

Begitu juga dengan para sahabat Rasulullah yang sebaya dengan baginda seperti Abu Bakar RadhiAllahu ‘anhu dan lain-lainnya yang mula hafaz al-Quran namun bukanlah pada usia yang muda.

Tidak dinafikan ulamak-ulamak terdahulu ramai yang menghafal al-Quran pada usia yang sangat muda, seperti al-Imam al-Syafie Rahimahullah yang telah menamatkan hafazan al-Quran beliau pada usia 7 tahun dan menghafal keseluruhan kitab al-Muwattha’ pada usia 10 tahun.

Namun yang ingin disimpulkan di sini. Apa sebenarnya rahsia mereka semua dapat menghafal al-Quran sehingga berjaya?

Setelah membaca beberapa buku, artikel, mendengar beberapa video di YouTube dan menerima nasihat-nasihat yang diterima daripada guru kami di UIA seperti Syeikh Dr. Ibrahim Nuhu dan selainnya, cuba diringkaskan di sini antara persamaan yang wujud pada ramai para penghafal al-Quran:

 

1. Niat Yang Ikhlas

Niat seorang penghafal al-Quran hendaklah ikhlas untuk mendapatkan redha Allah Ta’ala dan bukanlah kerana inginkan kemahsyuran dan sebab-sebab duniawi yang lain.

 

2. Keinginan Yang kuat

Keinginan yang kuat merupakan pendorong dan penyebab utama kita dapat mulakan hafazan al-Quran dari ayat pertama hingga tamat 30 juzuk al-Quran dengan sempurna. Jiwa kita memberontak mahukannya. Tanpa keinginan dan azam yang kuat, kita tidak mungkin atau susah untuk seseorang capai apa yang diingini.

 

3. Self-Dicipline Yang Tinggi

Bukan sekadar niat yang ikhlas dan keinginan yang tinggi, bahkan disiplin diri juga sangat penting. Betapa ramai penghafaz al-Quran yang mulakan harinya pada jam 3 pagi dan 4 pagi untuk mengulang hafalan lama atau mulakan hafalan baru secara konsisten. Bagaimana dengan kita, sanggupkah kita?

 

4. Mencari Guru Hafazan al-Quran

Kebanyakan nasihat guru al-Quran, buku yang saya baca, video yang saya dengar dan tips dari penghafaz al-Quran, satu kesimpulan yang mereka berikan. Kalau nak hafal al-Quran perlulah berguru. Carilah guru yang dapat membimbing kita hingga berjaya. Jangan hafal bersendirian kerana dikhuatiri akan berlaku banyak kesalahan dalam hafalan kelak.

 

5. Meninggalkan Dosa

Dosa adalah penyebab ilmu luput dari dada kita. Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata,

شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي

“Aku pernah mengadukan kepada Waki’ tentang teruknya hafalanku. Lalu beliau menunjukiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahukan padaku bahawa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak mungkin diberikan pada ahli maksiat.” (I’anatuth Tholibin, 2: 190).

 

6. Menundukkan Pandangan

Tundukkanlah pandangan kita daripada perkara yang diharamkan. Seperti dalam poin sebelumnya, kerana dosa dapat menyebabkan hafalan seseorang menjadi lemah. Kurangkan juga menonton TV dan YouTube akan perkara-perkara yang kurang bermanfaat seperti drama dan yang sewaktu dengannya.

 

7. Mengulang Hafazan 3 Hingga 5 Juzuk Sehari

Kata mereka, untuk memastikan hafazan mantap dalam dada maka sangat penting untuk penghafal al-Quran melakukan muraja’ah ulangan hafazan sebanyak 3 hingga 5 juzuk sehari. Tanpa mengulang hafazan, dikhuatiri hafalan kita yang lama akan semakin lemah.

 

8. Doa – Sendiri, Ibubapa, Guru

Kita sendiri perlu berdoa untuk diri sendiri agar diberikan hidayah, kemudahan, kekuatan dan keikhlasan untuk konsisten dengan hafazan al-Quran sebelum kita meminta kepada orang lain untuk mendoakan kita. Selain itu, mintalah kepada ibubapa dan guru kita untuk mendoakan kita juga.

 

9. Beriman Dan Yakin

Dalam buku Dr. Zulkifli al-Bakri bertajuk Tips Hafazan al-Quran, katanya perlulah kita beriman dan yakin bahawa tiada suatu yang sukar jika seseorang mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t.

 

10. Memilih Sahabat Yang Soleh

Pilihlah sahabat yang soleh yang dapat membantu untuk zikrullah. Ini kerana sehabagian sahabat jika kamu mengajaknya untuk membaca al-Quran nescaya beliau mahu lari dari majlis tersebut. Sedangkan jika diajak berbicara dalam sebarang topik yang lain maka dia sanggup bersamanya. (Tips Hafazan al-Quran: Dr. Zulkifli al-Bakri)

 

11. Lazimi Istighfar

Istighfar sangatlah penting kerana antara sebab lemahnya hafalan adalah kerana dosa.

 

12. Teknik Yang Betul

Menghafal al-Quran perlulah mengikut teknik yang betul. Kerana teknik yang betul dan sesuai dengan kita dapat mempercepatkan proses hafazan al-Quran kita. Ada terlalu banyak teknik yang diajar oleh ramai guru, buku-buku, video dan sebagainya. Kita boleh cari dan pilih cara yang sesuai dengan kita dan lakukannya dengan konsisten.

Sekali lagi, ini bukanlah tips daripada saya. Kerana saya masih belum hafal 30 juzuk al-Quran lagi. Namun ini adalah kesimpulan persamaan yang saya perolehi dari guru-guru, buku, artikel, video, pengalaman penghafaz al-Quran lain dan lain-lain lagi.

Semoga Allah memberikan kita semua hidayah, taufiq, kekuatan, istiqamah dan keikhlasan untuk menghafaz 30 juzuk Kalamullah al-Quran dengan sempurna, amin!

 

Buku yang baik dibaca: Tips Hafazan al-Quran oleh SS Dr. Zulkifli al-Bakri. Klik gambar di bawah untuk membeli.

error: Content is protected !!