Select Page

Bagaimana Dubai yang pernah menjadi hanya padang pasir gersang di persisir laut kini menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia?

Sesiapa yang singgah ke Dubai pasti akan nampak bangsa dari seluruh dunia melancong ke sana.

Tidak kira bangsa Amerika, Eropah, Afrika, Arab, Asia, teemasuklah Malaysia semuanya datang ke sini untuk melancong.

Namun apakah strategi dan tarikan yang dilakukan untuk tarik orang ramai ke negara ini?

PALING BESAR, PALING PANJANG, PALING TINGGI – Antara tarikan yang dibuat oleh mereka termasuklah dengan membina bangunan yang terbesar dan tertinggi dunia.

Lihat sahaja Burj Khalifa yang menjadi bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 848 meter (hampir 1km) dan 163 tingkat. Ia menjadi lokasi tumpuan ke-6 dunia pada tahun 2018.

Burj Khalifa menerima anggaran 5000 pelawat sehari dan tiket paling murah adalah pada harga 149 AED (sekitar RM171.15) seorang untuk naik ke tingkat 124 dan 125. Untuk naik ke tingkat paling tinggi iaitu tingkat 152, 153 dan 154 bayarannya adalah sebanyak 608 AED (sekitar RM700). Filem Amerika berjudul Mission Impossible juga pernah dilakonkan di Burj Khalifa.

Selain menjadi tumpuan pelancong, Burj Khalifa menempatkan pejabat korporat, hotel mewah, sekolah golongan elit dan rumah mewah.

Begitu juga pusat beli belah yang ada berhampirannya iaitu Dubai Mall, yang menjadi pusat beli belah ke-2 paling besar di dunia.

Dengan wujudnya pusat beli belah ke-2 terbesar di dunia ini, ia telah menarik ratusan atau ribuan jenama-jenama terkenal untuk letakkan kedai-kedai mereka di sana sekaligus menarik minat warga dunia untuk ke sana membeli belah.

Di tepi Burj Khalifa adalah The Dubai Fountain. Ia merupakan tasik buatan manusia yang mempunyai sistem air pancut koreografi (air pancut musikal & menari) yang terbesar di dunia dengan keluasan 12 hektar (30 ekar) keseluruhannya. Ia menjadi tumpuan utama pelancong pada waktu malam kerana setiap malam bermula 6.30 petang hingga 11.00 malam, pertunjukan air pancut akan diadakan di sana.

Selain pertunjukan, pelancong juga boleh menaiki bot yang disediakan di The Dubai Fountain untuk melihat keindahan tasik dan bangunan di sekelilingnya.

Dubai juga mempunyai hotel tertinggi di dunia iaitu Gevora Hotel dengan ketinggian 356.3 meter dan 75 tingkat yang siap pada tahun 2017. Sebelumnya pula JW Marriott Marquis Dubai pernah menjadi hotel tertinggi di dunia dan kedua-duanya adalah di Dubai.

Taman tema dalam bangunan (indoor theme park) terbesar dunia juga terletak di Dubai, iaitu IMG Worlds of Adventure dengan keluasan 1.5 juta kaki persegi dan mampu menerima pelawat hingga 20,000 pada satu masa. (harga tiket seorang adalah 299 AED – sekitar RM350)

Dubai juga mempunyai pulau buatan manusia yang cukup besar, dan antara yang terbesar di dunia iaitu Palm Jumeirah. Namun akan ada beberapa buah pulau buatan manusia yang lebih besar yang akan siap dibina di Dubai antaranya Palm Jebel Ali dan The World Islands. Yas Island yang terletak di Abu Dhabi pula merupakan pulau buatan manusia ke-2 terbesar di dunia, juga terletak di UAE.

Lapangan terbang terbesar dunia pula akan terletak di Abu Dhabi, iaitu sebuah pusat bandar di UAE yang paling terkenal selepas Dubai. Kapasiti lapangan terbang tersebut dapat menampung sehingga 30 juta orang setahun.

UAE (United Arab Emirates) merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber asli, iaitu minyak dan gas asli. Sekitar 85% daripada kekayaan negara tersebut adalah hasil dari eksport minyak (2009).

Namun industri pelancongan pula menjadi industri kedua terbesar di Dubai. Di timur tengah, Dubai merupakan lokasi pelancongan nombor 1. Manakala di seluruh dunia, Dubai menjadi negara ke-5 paling popular bagi sektor pelancongan (menurut MasterCard Global Destination Cities Index).

66% sumber ekonomi UAE bagi sektor pelancongan hanya terletak di Dubai.

Negara UAE sangat berkerja keras untuk memastikan negara tersebut dapat menjadi tumpuan warga dunia supaya ia kekal terus relevan di mata dunia, sekaligus menjadikannya sebuah negara yang dapat ‘survive’ dengan bisnes dalam sektor pelancongan selepas sektor minyak dan gas asli.

Syeikh Muhammad bin Rasyid al-Maktoum, iaitu perdana menteri UAE dan pemerintah Dubai merupakan seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mempunyai impian besar untuk menjadikan Dubai nombor 1 di mata dunia.

Sejak dahulu beliau berimpian untuk membina bangunan pencakar langit di Dubai, yang mana sekitar 50 tahun lalu Dubai hanyalah padang pasir di persisir lautan.

Kuncinya: Jadi berbeza dengan yang lain (Differentiate)

Bangunan besar dan bangunan pencakar langit ada di hampir setiap bandar besar di seluruh dunia. Namun bandar mana sahaja yang mempunyai bangunan PALING besar dan PALING tinggi?

Dengan impian yang besar, strategi yang betul dan gerak kerja yang luarbiasa, kini Dubai merupakan antara bandar yang sangat kaya, mempunyai bangunan tertinggi dunia dan antara bandar paling moden yang menjadi tarikan pelancong di seluruh dunia.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: