Select Page

Alhamdulillah atas nikmat Allah telah menjemput aku dan isteri untuk menunaikan haji pada usia yang muda sebelum 30 tahun.

Siapa yang tak nak dijemput untuk menjadi ‘Tetamu Allah’.. atau Dhuyufurrahman?

Lebih-lebih lagi pada usia yang muda. SubhanAllah. Sudah tentu ia menjadi cita-cita setiap umat Islam untuk menjejakkan kaki ke Baitullah.

Dari Ibnu ‘Umar, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,

الْغَازِى فِى سَبِيلِ اللَّهِ وَالْحَاجُّ وَالْمُعْتَمِرُ وَفْدُ اللَّهِ دَعَاهُمْ فَأَجَابُوهُ وَسَأَلُوهُ فَأَعْطَاهُمْ

“Orang yang berperang di jalan Allah, orang yang berhaji serta berumrah adalah tetamu Allah. Allah memanggil mereka, mereka pun memenuhi panggilan. Oleh kerana itu, jika mereka meminta kepada Allah pasti akan Allah beri” (HR. Ibnu Majah no 2893. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan).

Pergi Haji pada usia sebelum 30 tahun memang merupakan impian aku dan isteri sejak awal berkahwin lagi. Aku pergi ketika itu pada usia 27 tahun dan isteri pada usia 26 tahun. Pergi laki bini tau.

Gambar semasa kami ada di Mina untuk hari Tasyrik

Kerana aku sendiri belum pernah pergi lagi ke Tanah Haram sebelum ini. Maka bagi aku, alang-alang mengumpul duit tu baik kumpul terus untuk pergi Haji.

Okay. Mungkin yang sedang membaca blog aku bagi topik ini ini adalah golongan yang berusia muda 20an hingga 30an.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya macam mana nak kumpul duit sedangkan gaji mungkin sedang-sedang sahaja. Bahkan masa tu aku masih lagi fresh graduate beberapa tahun selepas habis Ijazah Sarjana Muda di UIA.

Aku hanya akan kongsikan tips yang paling praktikal sahaja cara untuk anda semua boleh kumpul duit pergi Haji berdasarkan pengalaman sendiri.

Dan aku juga akan tambah beberapa tips yang aku tak buat, tapi aku dapati ramai orang lain buat dan dapat membantu untuk cukupkan duit pergi Haji.

(Tips aku share ni tanpa menafikan, boleh jadi Allah kurniakan ‘keajaiban’ buat hamba-hambaNya untuk pergi Haji walaupun tanpa menabung. Tapi untuk lebih realistik, bukan semua orang ada peluang begitu. Lagipun pergi Haji ni tanggungjawab kita sebagai umat Islam)

 

1. NIAT DAN KEAZAMAN YANG MAKSIMA

Apa yang aku maksudkan di sini.

Kalau kita serius nak pergi Haji pada usia muda ini maka kita perlu ada niat daripada sekarang.

Niat bukan sekadar niat.

Niat mestilah juga datang dengan keazaman yang tinggi.

Sebab kita semua perlu ingat semula bahawa pergi Haji ini adalah Fardhu ‘Ain.

Wajib bagi setiap Muslim yang berkemampuan untuk pergi menunaikan ibadah Haji.

Bila kita sedar yang Islam menyatakan ibadah Haji ini adalah kewajiban setiap Muslim, maka niat kita pergi mestilah kerana Allah.

Bukan semata-mata nak orang panggil kita dengan gelaran Haji. (Kalau orang dah panggil, takpe lah)

“Tapi gaji aku tak besar Dil…”

Aku faham, mungkin sebahagian kita tak mempunyai gaji yang besar. Aku sendiri pun sama, bukan kerja syarikat gergasi pun sebelum ni. Kerja biasa jer.

Cuma bagi aku, kita kena ada plan. Kena cari cara untuk cari duit lebih walaupun duit gaji kita mungkin cukup-cukup makan je.

Ini poin yang aku akan kongsi lepas ni.

Cara untuk kita buktikan keazaman kita untuk pergi Haji di usia muda ini adalah dengan —> DAFTAR PERGI HAJI DENGAN LEMBAGA TABUNG HAJI.

pengalaman naik haji muda

Ya, selagi kita tak daftar untuk pergi Haji melalui Lembaga Tabung Haji, selagi itu kita tak akan dapat giliran pergi Haji.

Kalau ada duit lebihan sekarang ni, pergi ke pejabat Tabung Haji untuk daftar pergi Haji.

RM1300 sahaja yang diperlukan untuk daftar pergi Haji.

Buktikan kita komited nak pergi Haji bermula dengan mendaftar pergi Haji.

Pada aku lah, kalau korang memang dah tekad nak pergi juga dalam setahun dua lagi maka tahun ni pergilah ke kursus Haji.

Kursus Haji ni ada berbelas siri. Pergi semuanya so masa tu kita akan dapat feel nak pergi Haji. Sekaligus memotivasikan diri kita untuk kumpul duit pergi Haji nanti.

Dan sedarlah bahawa duit yang kita simpan, kumpul dan belanjakan untuk pergi Haji itu Allah akan ganti semula. Yakinlah.

Dari Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِى الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

“Ikutkanlah umrah kepada haji, kerana keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa-dosa sebagaimana pembakaran menghilangkan karat pada besi, emas, dan perak. Sementara tidak ada pahala bagi haji yang mabrur kecuali syurga.” (HR. An Nasai no. 2631, Tirmidzi no. 810, Ahmad 1/387. Kata Syaikh Al-Albani hadits ini hasan shahih)

 

2. KENALPASTI KOS UNTUK PERGI HAJI

Ziarah Maqam Rasulullah s.a.w.

Selepas niat, kita perlu tahu sebenarnya berapa kos perbelanjaan untuk pergi Haji ni.

Nak pergi Haji di Malaysia ni, biasanya ada 2 cara sahaja

a. Muassasah Tabung Haji – Pergi dengan Tabung Haji
b. Pakej Haji Furada – Pergi Haji ikut pakej Haji swasta

Untuk pergi Haji melalui Tabung Haji, perbelanjaan untuk Haji sahaja adalah sekitar RM9980 untuk seorang. Kos ini meliputi hampir semua perbelanjaan pergi Haji termasuklah tiket penerbangan, tempat tinggal, makan tengah hari dan malam dan lain-lain.

Masa aku pergi Haji ikut pakej Tabung Haji dulu, kami dibekalkan dengan makanan tengah hari dan malam sahaja secara percuma. Sarapan kena beli sendiri.

Tapi ikutkan okay dah tu. Sebab RM9980 kita belanjakan tu dah termasuk subsidi kerajaan tau. Sepatutnya kos dia lebih RM20,000 untuk seorang jemaah.

Duit lebih yang kita nak bawa ke sana aku share dalam blog post aku yang ini http://www.fadhilk.com/pengalaman-haji-muda-part-1/

Okay, mungkin anda juga sekarang ni plan nak pergi Haji ikut pakej Haji swasta.

Biasanya orang daftar ikut pakej Haji swasta ni ada beberapa sebab sahaja.

Antaranya nak dapatkan perjalanan yaang lebih selesa, lebih dekat dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, atau mungkin sebab nak dapatkan kuota Haji dengan lebih cepat.

Nak pergi Haji ikut pakej Haji Furada / swasta ni kosnya kebiasaannya bermula pada harga sekitar RM35,000 seorang. Dan harga tengah-tengah adalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000. Siapa yang berkemampuan maka boleh lah pergi ikut pakej swasta.

Bagi yang kurang berkemampuan, maka pilihlah untuk ikut pakej Tabung Haji.

Melontar jamrah

 

3. SET TARGET TAHUN BILA NAK PERGI HAJI

Baik, sekarang kita dah tahu berapa belanja nak pergi Haji.

So kita dah boleh anggarkan bila kita kita nak pergi Haji.

Ya mungkin banyak perkara nak kena ambil kira seperti kewangan, urusan anak, cuti kerja dan sebagainya.

Tapi kita perlu tahu apa yang perlu kita persiapkan sekiranya kita dipanggil.

Ya mungkin sahaja tawaran kita pergi Haji adalah pada tahun 2098 nanti. Tapi boleh jer buat rayuan pergi Haji awal kan.

Contoh surat rayuan Haji ada di sini: http://www.fadhilk.com/contoh-surat-rayuan-haji-download-sini/

 

4. PERUNTUKKAN BERAPA DUIT PERLU DIKUMPUL UNTUK CAPAI TARGET DI ATAS

Baik, sekiranya kita rancang untuk pergi Haji lagi 5 tahun (60 bulan) ikut pakej Tabung Haji.

Maka wang yang perlu kita simpan adalah seperti berikut:

RM9980 / 60 bulan = RM167/bulan

Wah! RM167 sahaja sebulan?

InsyaAllah semua boleh kumpul RM167 sebulan!

Ya mungkin satu hari nanti kos pergi Haji akan meningkat. Mungkin juga kita perlu tambah sekitar RM200 sebulan simpanan pergi Haji.

Namun bila kita dah ada plan macam ni, kita tahu berapa kita nak simpan tiap bulan.

Kalau satu hari nanti kosnya meningkat pun, sekurang-kurangnya dalam akaun Tabung Haji kita meningkat setiaap bulan.

Kalau kita nak pergi pakej swasta pula perbelanjaannya mungkin dalam RM35,000 seorang.

Maka jika nak pergi 5 tahun dari sekarang, wang kita perlu peruntukkan adalah sekitar:

RM35,000 / 60 bulan = RM585/bulan

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi, bolehlah kumpul duit begini setiap bulan KALAU memang rancang nak pergi Haji ikut pakej swasta.

Tepuk dada, cek poket sendiri.

Kalau nak pergi lebih cepat, bermakna lagi banyak nak kena simpan. Begitu sahaja logiknya.

 

 

5. SAVING, SAVING, SAVING!!!

Wajibkan diri kita untuk menyimpan duit dalam akaun Tabung Haji setiap bulan.

Kita dah ada target kan berapa nak simpan tiap bulan.

So pastikan duit simpanan untuk Haji ini tidak boleh disentuh walau apa sebab sekalipun.

Duit Haji hanyalah untuk pergi Haji bukan untuk perbelanjaan lain seperti beli rumah, handphone, laptop, iPad, bercuti, renovate rumah, deposit beli kereta, dan sebagainya.

Kalau ada nak guna untuk keperluan di atas, simpan kat tempat lain.

Jangan ganggu duit tabung Haji.

Aku sendiri pernah la juga ‘ter’ganggu duit tabung Haji masa zaman belajar dulu atas sebab darurat yang teramat. Masa tu kan takde income.

Tapi disebabkan itu juga bila aku dah kerja dan dah berazam nak pergi Haji, masa tu duit Tabung Haji aku kumpul tiap bulan dan aku tak ganggu untuk beli benda-benda remeh.

Jangan pandang rendah pada saving ni.

Walaupun kita simpan sikit-sikit tiap bulan pun, percayalah lepas 1 tahun, 2 tahun, 3 tahun kita akan nampak jumlahnya semakin besar.

Makin lama kita makin konfiden yang jarak kita dengan Haji dah semakin hampir, insyaAllah.

Sama hotel dengan mak uteh, pak uteh di Rehab al-Janadriyah

 

6. DUIT GAJI TAK CUKUP? CARI PENDAPATAN ALTERNATIF

Bukan semua orang direzekikan dengan gaji lebih RM5000 setiap bulan.

Rata-rata orang muda hanya bergaji sekitar RM1800 hingga RM4500 sebulan.

Dan tak ramai yang ada gaji melebihi jumlah tersebut walaupun ada.

Cuma kita sebagai anak muda perlu merancang dengan bijak dan berstrategi.

Ya mungkin sahaja duit gaji bulanan kita untuk belanja bulanan pun tak cukup.

Maka jadikanlah peluang ini untuk anda berusaha lebih, tanpa banyak beralasan.

Walaupun anda sedang berkerja, carilah bisnes-bisnes yang anda boleh buat secara sambilan.

Zaman teknologi dan IT ini, banyak sangat peluang bisnes yang kita boleh buat dengan modal yang kecil atau tanpa sebarang modal.

Kini kita boleh menjual apa-apa sahaja di hujung jari.

Paling mudah, boleh buat bisnes secara dropship.

Sekarang ada banyak sangat bisnes, supplier yang sedang mencari ejen-ejen dropship untuk jual produk mereka.

Boleh baca di sini aku kongsikan idea bisnes menguntungkan tanpa modal atau modal kecil http://www.fadhilk.com/125-idea-bisnes-kecil-menguntungkan-tanpa-modal-atau-modal-kecil/

Seperti aku sendiri, aku pernah jual buku, supplement dan lain-lain lagi secara dropship sahaja.

Namun sekarang, aku dah berkecimpung dalam bisnes menjual penapis air Cuckoo sebagai ejen jualan. Kerja pun macam dropship hanya perlu cari pelanggan sahaja. Peluang pendapatan secara part-time adalah sekitar RM75 hingga RM4000 sebulan. Aku sendiri boleh guide kalau nak buat bisnes ini. Baca pengalaman aku jadi ejen Cuckoo di sini http://www.fadhilk.com/ejen-cuckoo/

Selain itu, boleh juga cari bisnes lain seperti jadi pemandu Grab, buat kelas home tusyen, ajar mengaji dan sebagainya. Dari situ sahaja pun dah boleh hasilkan lebihan RM500~RM1000 setiap bulan.

Selain itu, jika ada duit bonus gaji yang anda dapat tiap tahun tu boleh lah disimpan untuk pergi Haji juga.

Ada yang dapat bonus 1 bulan gaji, 3 bulan gaji, 6 bulan gaji. Duit tu jangan guna untuk beli benda-benda mewah atau benda yang tak perlu.

Masuk terus ke akaun tabung Haji.

 

7. ISTERI PUN NAK IKUT SUAMI GI HAJI..?

Ya boleh sahaja kalau nak ikut suami kalau suami dapat tawaran pergi Haji.

Begitu juga bagi suami, jika isteri dapat tawaran pergi Haji maka boleh sahaja ikut isteri untuk pergi Haji bila dah diseru.

Yang penting, perlu ada persediaan kewangan, ilmu dan niat yang ikhlas.

Sebab tu ada baiknya jika nak berkahwin, pastikan calon suami/isteri dah ada kuota Haji. Hoho. Tapi kalau takde pun takpe, boleh buat cara lain.

Bagi golongan isteri yang masih ada duit hantaran masa kahwin dulu, simpan duit tu dalam akaun Tabung Haji.

Itu yang isteri aku buat untuk pergi Haji.

Alhamdulillah duit hantaran kahwin ketika itu dia masih ada lagi. Duit tu boleh digunakan untuk tambah modal pergi Haji.

Okay, mungkin juga ada antara kita yang dah gunakan wang hantaran kahwin tu untuk tujuan kenduri, atau apa-apa tujuan sekalipun.

Maka sekiranya anda berkerja, duit kerja tersebut simpanlah juga sebahagian untuk Haji.

Sekiranya anda surirumah, dan nak kumpul duit sendiri pergi Haji tanpa bergantung pada duit suami. Mungkin anda boleh consider juga buat bisnes part-time dari rumah.

Sama macam poin sebelum ni. Banyak jer peluang bisnes part-time, dropship dsb yang ada sekarang ni.

Yang penting cari peluang bisnes yang sesuai dengan diri kita dan boleh mendatangkan hasil dan bantu untuk capai target simpanan yang kita kehendaki. Tak perlu ikut orang lain pun.

Aku teringat dulu nenek saudara aku jual Aiskrim Malaysia jer untuk simpan duit pergi Haji tau! Masa kecil dulu dia jual satu bungkus 10 sen. Tapi dengan duit jualan itu juga dia menabung pergi Haji.

 

8. JUAL BARANG-BARANG TERPAKAI DI RUMAH

Sejujurnya, aku tak buat benda ni untuk menabung.

Tapi aku perasan kat dalam rumah aku ada banyak barang-barang lama yang terpakai dan boleh dijual.

Antaranya pakaian, pakaian baby, barang elektronik, buku, laptop lama, handphone lama, periuk, pinggan mangkuk (mungkin hadiah kahwin) dan sebagainya.

Semua ni kalau tak digunakan, boleh jer nak jual.

Hasil jualan disimpan dalam akaun Tabung Haji.

Kalau dah jual tu hati pun lagi puas. Rumah makin lapang. Duit pun makin bertambah dalam akaun.

Berada di Mina, dalam perjalanan pulang ke Mekah

 

9. KURANGKAN PERBELANJAAN YANG KURANG PENTING

Ya antara sebab poket kita makin tipis antaranya adalah pengurusan kewangan yang tak bagus.

Ini tak dapat nak dinafikan lagi.

Pasti ada masanya kita berbelanja perkara ‘kehendak’ lebih banyak dari ‘keperluan’.

Berada di Arafah untuk Hari Arafah

Bagi aku, tidak salah sekiranya nak berbelanja perkara-perkara kehendak.

Namun bila kita tahu pengurusaan kewangan kita tidak begitu baik, maka ini masanya untuk kita perbaiki semula cara kita berbelanja.

Antara yang kita boleh kurangkan mungkin termasuk:

a. Kurangkan makan di luar
b. Perbelanjaan Astro
c. Downgrade bil telefon (sekiranya bayar lebih dari keperluan)
d. Kurangkan bercuti. Atau pilih lokasi bajet.
e. Kurangkan lepak di restoran dengan kawan-kawan
f. Berhenti merokok
g. Kurangkan minum di Starbucks dan seangkatannya
h. Kurangkan shopping
i. Pilih tempat belibelah barangan keperluan di supermarket yang jimat
j. Tak perlu upgrade handphone atau gadget baru tiap tahun
k. Kurangkan penggunaan elektrik di rumah
l. Dan sebagainya

Dengan mengurangkan perbelanjaan pada perkara yang kurang penting juga dapat bantu sedikit sebanyak untuk meningkatkan simpanan dalam akaun Tabung Haji kita, insyaAllah.

Cuma untuk perbelanjaan anak-anak untuk tujuan education dsb, nafkah isteri, mak ayah jangan pula kita kurangkan.

 

10. GUNA WANG SIMPANAN KWSP

Aku tak pernah guna wang KWSP untuk pergi Haji. Tapi ini antara cara yang boleh kita buat untuk tambah duit untuk pergi Haji.

Lebih-lebih lagi apabila pada tahun tersebut kita telah dijemput untuk pergi Haji.

Bagi yang ingin menunaikan Haji, maka anda boleh keluarkan sebahagian simpanan daripada akaun 2 KWSP anda.

Syaratnya:

  1. Berumur kurang 55 tahun
  2. Telah dipanggil untuk pergi Haji
  3. Belum pernah keluarkan duit KWSP untuk tujuan Haji
  4. Simpanan Tabung Haji tidak mencukupi

Rujuk sini untuk dapatkan info lebih lanjut: https://www.kwsp.gov.my/member/withdrawals/partial/hajj

 

11. SEDEKAH & DOA ITU KEAJAIBAN

Masa ini kami berada di Mina untuk tunaikan Haji

Tahukah kita, dengan bersedekah itu rezeki kita juga akan semakin lancar.

Allah akan permudahkan banyak urusan kita dalam hidup.

Maka banyakkan bersedekah.

Zakat dibayar setiap bulan.

Tiap kali pergi ke masjid, jangan ‘kedekut’ untuk masukkan duit dalam tabung masjid.

Rajin-rajin bagi duit kepada mak ayah kita. Walaupun sedikit tapi percayalah mereka pasti akan hargai pemberian kita itu.

Selain itu, usahakan dan utamakan untuk bayar hutang-hutang kita sedia ada.

Jangan lupa, dan jangan buat-buat lupa hutang yang kita ada itu.

Walaupun kita lupa, atau buat-buat lupa. Orang yang pinjamkan kita duit itu sentiasa ingat.

Walaupun pergi Haji itu wajib hukumnya bagi yang berkemampuan.

Namun bayar hutang juga adalah wajib.

Selain itu, percayah doa itu adalah senjata bagi seorang mukmin.

Banyakkanlah berdoa setiap masa, lebih-lebih lagi pada waktu mustajab seperti:

a. Qiyamullail
b. Berpuasa
c. Berbuka puasa
d. Hari Jumaat
e. Antara azan dan iqamat
f. 10 malam terakhir Ramadhan
g. Lailatul Qadr
h. Hari Arafah
i. Ketika dalam sujud

Dan lain-lain lagi.

Aku sangat yakin bahawa dengan doa, Allah pasti akan mudahkan segala urusan kita.

Maka berdoalah kepada Allah dengan yakin dan penuh harapan agar diberi peluang untuk pergi Haji pada usia muda ini.

Dengan berdoa kita akan nampak banyak keajaiban yang akan berlaku di depan mata kita.

Seperkara lagi. Satu nasihat yang pernah aku baca di Facebook sebelum ini lebih kurang begini:

“Kalau nak Allah jemput kita sebagai Dhuyufurrahman di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk Haji dan Umrah, maka penuhi dahulu jemputan-Nya pada waktu solat 5 waktu di masjid-masjid dan surau-surau ketika azan berkumandang”

Bagi wanita pula, solatlah 5 waktu di awal waktu walaupun solat di rumah. Jangan pula kita solat 5 waktu di penghujung waktu solat.

Nasihat yang sangat ‘deep’ namun perlulah kita ambil kira sekiranya kita benar-benar ingin pergi menunaikan ibadah Haji di usia muda ini.

Dan ingatlah, pergi menunaikan ibadah Haji ini merupakan antara jalan untuk kita ‘membeli tiket’ ke Syurga.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

“Dan haji mabrur tidak ada balasan yang selayaknya baginya melainkan syurga.” (HR. Bukhari no. 1773 dan Muslim no. 1349).

Maka marilah ‘beli’ tiket untuk ke Syurga ini dengan bersungguh-sungguh usaha untuk pergi menunaikan ibadah Fardhu Haji ini pada usia kita yang masih muda bertenaga ini.

Semoga Allah mudahkan urusan anda untuk pergi menunaikan ibadah Haji dan kurniakan keikhlasan niat di dalam hati kita semua. Ameen.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: